Wednesday 7 October 2015

1MDB bukan kebal - MUHYIDDIN


Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Titah yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad  semalam menunjukkan keprihatinan DYMM Raja-Raja terhadap kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

DYMM Raja-Raja pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ianya melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara. Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara. Titah DYMM Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.

Oleh kerana DYMM Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan. Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu YAB Perdana Menteri sendiri. 

Beliau mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak. Lebih penting lagi, jika hasil siasatian mendapati  terdapat pihak-pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB. Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada bulan Ogos yang lalu. 

Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.

Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis. Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

Mengambil semangat titah DYMM Raja-Raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai dan menyerahkan  hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. 

Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB. Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. 

Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan. Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala. Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB. Yang terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB. 

Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme. Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan? 

Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu. Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara.

Memandangkan DYMM Raja-Raja telahpun bertitah menggesa kerajaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit, maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali. Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.

Malaysia adalah sebuah negara yang amat dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan diyakini oleh para pelabur dan pedagang di seluruh dunia. Janganlah kita biarkan kemelut 1MDB mencemarkan nama baik Malaysia. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Oleh yang demikian, amatlah wajar bagi kerajaan dan pihak berkuasa negara kita menjunjung sepenuhnya titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO

7 Oktober 2015






11 comments:

Anonymous said...

Senyap terus kaki salak Boogeese Warrior bila Majlis Raja-Raja keluarkan perintah. Aku harap Boogeese Warrior ambik langkah terhormat. Ambil tindakan segera menjunjung perintah diRaja ni atau resign!!!!....bagi pada mereka yang lebih berkemampuan dan kurang excess bagage....

Unknown said...

AsSalam.....saya berasa sceptical dgn ketaatan Najib dan kuncunya untuk menjunjung titah Majlis Raja2. Lihat sahaja tajuk berita di media2 arus perdana, Utusan dan BHarian.....langsung tidak memberi ruang kpd titah baginda ini. Sangat kurang ajar....!!

megrah said...

Rasanya titah Majlis Raja2 kali akan dilayan sepi sambil mereka terus bermain belon buih sabun seperti adanya.

Anonymous said...

Bro,

Bugis will continue with his elegant silence.Salleh Ketiak and Rahman Dalang will spew some nonsense bordering on utmost stupidity.

In a few days time TV3 and the mainstream print media will run down the monarchy.

They may even quote India which brought the monarchy to its end not so long ago

Desperados will do anything to save their hide.

Following the royal call,can we have about 30 odd MP's from BN to support the vote of no confidence ?

If they can do that.....future generations will never forget their actions for saving our beloved nation from the vulture (s)

They (the MP's) will go down in history as the brave hearted that stood up against a thieving bully who is bent on destroying 58 years of hard work and toil.

Ada berani ?

Anonymous said...

TAI GOR JIB! The buck stops here ... (we don't mean the billions bucks you stashed away lah). Understand or not? haiyah!

"The buck stops here" was popularized by US president Harry Truman. The phrase is based on the metaphorical expression "passing the buck", derived from poker game play, that came to mean "passing blame", or absolving oneself of responsibility or concern by denying authority or jurisdiction over a given matter.

Apanama said...

Lodge more reports ! http://www.theedgemarkets.com/my/article/muhyiddin-tells-citizens-voice-out-lodge-reports-1mdb

Anonymous said...

Apa Jua Committe (PAC atau sebaliknys) yang ditubuhkan mesti mendapat restu Majlis Raja Raja. Ini akan memastikan bahawa ahli yang dilantik bukan terdiri dari kuncu kuncu penyokong penyamun Negara!

Unknown said...

IGP should now feel relieved and can perform his job freely. Raja dah bg titah, apa tunggu lagi....siasat Najib dan kuncu2 dia....panggil Najib dan Rosmah untuk soal siasat.....nasihat Najib utk pergi bercuti hingga tamat siasatan....klu degil gak, guna SOSMA sbb cubaan sabotaj siasatan DiRaja. Hmmm....klu x brani jugak, buang jer lah perkataan 'DiRaja Malaysia' kan ujung nama Polis tu...!! Pulangkan smula panji2 DiRaja, ur Department not deserve to have one....!! Tukaq nama jadi Polis BeRaja Najib....!!

Praxis said...

At last the monarchy have taken a stand on the side of good governance, and Muhyiddn's response is a timely, wise, detailed call for action and scrutiny of all the steps and actions of the governors in office.

Hopefully this is a sign of the change of the tide. and will bring to naught the rule of the wicked and the reign of cash is king.

Anonymous said...

Quote, "Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini. " Unquote.

Ya Tan Sri. Amat malang juga yang Tan Sri digugurkan dan orang-orang ini pula dimasukkan ke dalam Kabinet. Tan Sri Timbalan Presiden Umno yang sepatutnya juga menjadi Timbalan PM. Tan Sri sudah lama berkhidmat di dalam Umno dan Kerajaan. Banyak pengalaman Tan Sri yang boleh digunakan dan pada masa yang sama Tan Sri mempunyai "insight" dalam banyak masalah kerajaan sekarang termasuk soal 1MDB ini.

TETAPI kenapa baru sekarang Tan Sri keluar bersuara setelah sekian lama dan selepas Majlis Raja Raja bersuara. Mana perginya Tan Sri selama sebulan lebih sebelum ini, termasuk bila Tun Mahathir banyak memberi keluhan dan juga Khairudin ditangkap dan merengkok dalam lock-up polis ? Anina pula dibuang dari Umno ?

Sudahlah Tan Sri. Kalau nak tunjuk berani untuk bersuara, sile lakukan sepanjang masa macam Tun Mahathir. Jika tidak nampak sangat gelagat Tan Sri. Sekian terima kasih !

PakKaduk said...

Tan Sri Muhyiddin, enough talk, please ACT!