Monday 15 August 2016

PERINGATAN - Melindungi pengkhianat adalah jenayah





Sidang akhbar bersejarah ini diadakan pada 25hb Januari 2016, lebih kurang tujuh bulan yang lalu, di  pejabat Peguam Negara Malaysia Putrajaya. 

Kandungan sidang akhbar ini diketahui seluruh dunia tetapi sehingga kini ramai yang masih mempertikaikan keputusan Apandi Ali yang dikatakan bertindak lebih sebagai peguambela orang yang disyaki (Najib Razak) daripada tugas hakikinya sebagai peguam negara. 

Dengan bukti-bukti baru yang dikemukakan Kerajaan Amerika Syarikat mungkin Apandi akan membaca kembali kenyataan beliau tempohari kerana isunya bukan sekadar kredibiliti Apandi sebagai peguam negara tetapi juga berkisar dengan kelakuan jenayah melindungi penjenayah.

Kelihatan disebelah kiri Apandi Ali (dalam rakaman video diatas) adalah Datuk Dzulkifli Ahmad (yang memeriksa teks kenyataan yang dibacakan peguam negara dengan teliti). Ketika sidang akhbar ini diadakan pada bulan Januari yang lalu Dzulkifli bertugas dibawah Apandi di Jabatan Peguam Negara. 

Kini Dzulkifli adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia. Perlantikan Dzulkifli memang telah dijangka sejurus selepas sidang akhbar di-atas. 

Jangan terkejut dengan amaran terbaru Dzulkifli, khususnya yang ditujukan kepada penjawat awam, kerana itu adalah tugas terbaru beliau. Saya pasti Dzulkifli sedar bahawa ramai yang sedang memerhatikan beliau secara dekat, dari dalam dan luar SPRM. 

Untuk makluman, Najib Razak adalah penjawat awam.    


p/s 

Bersubahat melindungi jenayah juga adalah jenayah, lebih-lebih lagi jika yang bersubahat itu adalah mereka yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang yang termaktub dibawah Perlembagaan Malaysia. Pastinya hukuman bagi jenayah melindungi kesalahan jenayah akan lebih berat jika yang cuba dilindungi itu adalah pengkhianat negara.