Skandal derma dalam akaun peribadi dan 1MDB kini telah berkembang berlipat kali ganda dari setahun yang lalu. Jumlah wang yang disyaki hilang atau disonglap oleh orang-orang yang kita kenali juga telah bertambah mencecah puluhan billion ringgit.
Wayang kulit politik semakin rancak tetapi penjelasan akan perkara pokok masih belum ada. Siapa yang mencuri?
Kenyataan-kenyataan lawak jenaka bersifat putar belit dari balaci politik yang berniat untuk mengelirukan bukan penjelasan yang ditunggu rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu yang begitu mementingkan maruah bangsa.
Orang Melayu yang risau akan maruah dan harga diri bangsanya amat berharap agar pemimpin Melayu yang menghadapi siasatan antarabangsa berhubung tuduhan salahguna kuasa, pengubahan wang haram, pembohongan jenayah, mencuri, khianat dan beberapa kesalahan jenayah lain akan 'come clean' atau membersihkan diri dengan membiarkan dirinya disiasat dan diadili.
Orang Melayu yang benar-benar risau akan maruah serta harga diri bangsanya pasti mengharapkan agar pemimpin MELAYU, yang menyebabkan tercemarnya nama Melayu, membersihkan namanya menerusi proses perundangan yang termaktub dibawah perlembagaan negara.
Pemuda pemudi Melayu yang benar risau akan tercemarnya maruah bangsa dan negara yang pemerintahannya ditunjangi orang Melayu pasti gundah gulana dengan pelbagai siasatan antarabangsa yang amat memalukan.
Pemuda pemudi Melayu yang berpendidikan dan bermaruah dengan jatidiri yang masih utuh tahu akan punca skandal 1MDB yang kini hangat diseluruh dunia.
Melayu yang celik, yang benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara dan tidak mudah disogok pasti sedar akan malapetaka yang dibawa Melayu yang bergelar pemimpin. Semakin ramai Melayu yang celik dan mereka ini tidak mudah diperbodohkan dengan slogan dan sentimen membuta tuli.
Walau segala bentuk media perdana dikongkong, pembesar dan ilmuan dikunci mulut, yang tidak rela bersubahat diugut dan diaibkan, Melayu yang celik tahu antara yang haq dan batil.
Percubaan untuk mengelirukan rakyat, khususnya orang Melayu beragama Islam akan berterusan dengan hasutan membakar semangat bangsa dan penyalahgunaan agama demi kepentingan peribadi dan untuk melepaskan diri. Melayu yang celik tidak bodoh.
Pastinya pelbagai lagi helah akan muncul dengan alasan mempertahankan maruah bangsa dan kesucian agama namun umum mengetahui punca sebenar segala keruntuhan.
Mungkin mereka yang terpekik melolong demi maruah harus berhenti sejenak dan berfikir dimana sebenarnya maruah mereka dan maruah individu yang mereka ingin pertahankan itu.
![]() |
| Maruah siapa ditangan Jho Low? |
Sudah tiba masanya Raja-Raja Melayu, menerusi Majlis Raja-Raja, berdiri mempertahankan maruah rakyat dan negara ini daripada terus dihina didalam dan luar negara. Sebenarnya maruah rakyat dan negara adalah asas kepada maruah Raja-Raja Melayu kita.
Dikala alim ulama pun diam seribu bahasa walau bukti nyata pengkhianatan dan kezaliman terpampang didepan mata, hanya Raja Raja Melayu boleh menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara ini.
Inilah harapan rakyat kebanyakan.
Daulat Tuanku.
