Showing posts with label kampung pok. Show all posts
Showing posts with label kampung pok. Show all posts

Friday, 31 July 2015

Gelombang JOHOR untuk UMNO



Gambar di-atas dari Umno Cawangan Kampung Pok - Bahagian Gelang Patah di Johor. Maksud tersurat luahan orang Umno Kampung Pok amat jelas. (terima kasih kepada pembaca untuk gambar berserta penjelasan ringkas)

Penduduk Kampung Pok dari Johor ini bukan berhimpun untuk menggulingkan kerajaan menerusi cara yang tidak demokratik. 

Mereka juga bukan memegang sepanduk serta kain rentang berkempen untuk merebut jawatan parti atau kerajaan. Penduduk kampung ini hanya berhimpun meluahkan perasaan rakyat akar umbi serta menyatakan sokongan untuk kebenaran. Tolong jangan ugut untuk sumbat mereka ke dalam lokap.

Orang kampung serta rakyat biasa bukan tidak tahu akan musibah yang sedang melanda parti yang menunjangi kerajaan pada masa ini. 

Rakyat era ledakan teknologi maklumat kini dapat memperolehi bermacam jenis maklumat. Apa pun percubaan untuk mengelirukan rakyat terbanyak menerusi akhbar serta televisyen hanya usaha sia-sia.

Kenyataan Timbalan Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Mohamad Aziz yang juga orang kuat Umno Johor menzahirkan dengan jelas perasaan tersirat kebanyakkan ahli Umno serta segelintir pemimpin yang tahu tapi takut. Ada yang takut bini tetapi ramai lagi yang takut akan kehilangan jawatan serta habuan.

Seperti kata Tan Sri Mohamad Aziz yang juga bekas Ahli Parlimen Sri Gading yang kini Speaker Dewan Undangan Negeri Johor;- 

Najib patut tahu apa lebih penting – 1MDB atau kelangsungan Umno

Kenapa Timbalan Pengerusi Tetap Umno itu mengeluarkan amaran sedemikian kepada Presiden parti. Apakah tujuan beliau ini untuk mengelirukan ahli Umno seperti yang sering dituduh bila ada kritikan terhadap pemimpin? Saya percaya akar umbi Umno lebih arif tentang kenyataan Mohamad Aziz. 

Kita maklum pelbagai aksi sarkas dan pertunjukkan silap mata cuba digunakan untuk mengaburi rakyat tetapi hanya yang buta hati mungkin terpedaya. 

Gambar dibawah dari Umno Bandar Pulai Jaya 2 pula tersebar dua hari selepas kehadiran Syawal. Ketika itu ada pihak yang tidak berapa faham atau buat-buat tidak faham akan maklumat akar umbi ini tetapi kini dua minggu setelah kita menyambut Aidil Fitri situasi sebenar semakin jelas.
Kenapa penyokong akar umbi Umno dari negeri kelahiran parti itu mula menyuarakan hasrat agar Najib 'wajib letak jawatan kalau ada maruah' jauh sebelum rombakan kabinet beberapa hari yang lalu? 

Ada kemungkinan mereka telah menghidu sesuatu lebih awal tetapi kita tidak harus menolak kemungkinan bahawa desakan supaya Najib berundur sebenarnya berpunca dari isu-isu besar yang lain serta kegagalan sebagai pemimpin. 

Ungkapan 'Poket didahulukan Rakyat dikorbankan' mungkin berkisar sekitar skandal 1MDB yang nyata akan terus menelan berbillion ringgit duit rakyat. Ungkapan itu juga mungkin mencerminkan luahan rakyat terhadap cukai GST

Yang pasti semakin hari semakin ramai penduduk negara kita yang hilang keyakinan terhadap Umno yang masih menjadi akar tunjang Kerajaan yang memerintah. 

Tepuk dada, tanya selera. Kenapa orang ramai, termasuk ahli/orang/penyokong Umno , hilang keyakinan yang suatu ketika dahulu tinggi melangit? 

Apakah Umno masih lagi layak memerintah jika keadaan ini berterusan? 
Nota: 

1- Saya harap penulisan ini tidak di-takrif sebagai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan menerusi cara yang bertentangan dengan demokrasi. 

2 - Syabas kepada ahli serta pemimpin peringkat Bahagian yang masih berpegang kepada perjuangan sebenar dan tidak hanyut dengan apa-apa bentuk habuan atau ugutan.