Showing posts with label benar. Show all posts
Showing posts with label benar. Show all posts

Wednesday, 9 December 2015

Apa nilai sebenar parti keramat ?


Dimana letaknya kekuatan parti politik yang selama ini diiktiraf umum sebagai pejuang agama, bangsa dan negara ?

Bagi sebahagian besar ahli dan sebilangan kecil para pemimpin-nya, kekuatan parti ini masih terletak pada nilai-nilai murni serta asas perjuangan yang mengutamakan agama, bangsa dan paling penting sekali negara bertuah ini. Apakah kepercayaan mereka ini berasas?

Parti yang pada suatu ketika dahulu menunjangi pemerintahan negara ini secara dominan masih pada landasan yang serupa atau telah terpesong dari hala tuju yang termaktub dalam perlembagaan parti dan negara? 

Parti ini masih yang serupa atau nilai-nilai murni yang digenggam erat dahulu telah ditukar ganti dengan nilai wang ringgit serta habuan-habuan lain demi kepentingan peribadi segelintir pemimpin yang telah 'menculik' parti ini?

Perhimpunan pemimpin akar umbi kali ini amat penting untuk parti ini kerana umum sedang menanti untuk menterjemahkan semula nilai-nilai sebenar pertubuhan yang seringkali dilaungkan sebagai parti keramat ini. 

Nilai mana yang sebenarnya menjana jantung hati perjuangan parti keramat ini? Nilai perjuangan agama, bangsa dan negara atau nilai ringgit dan dollar Amerika? 

Ini peluang terakhir untuk mereka yang masih berpegang kepada nilai sebenar untuk bangun mempertahankan pertubuhan mereka. Jika tidak berani kerana benar yang batil akan terus ber-maharajalela. 

Ini peluang terakhir untuk bercakap yang benar, berpegang kepada yang benar, bangkit menegakkan yang benar dan menolak segala yang tidak benar bersama onar dan duri yang merosakkan.

Ini peluang sebenar untuk menunjukkan kepada umum apa sebenarnya nilai parti keramat ini. 

Bertindak sekarang sebelum nasi menjadi bubur. 

Jangan gadai maruah diri, agama, bangsa dan negara demi wang ringgit. Ini haram se-haram-haramnya! (Gambar hiasan, jangan gundah gulana)
Jangan hancurkan harapan anak muda

p/s

Kepada blogger tak sedar diri yang begitu gah menyalak mempertahankan pencuri dan penyamun. Sudah-sudahlah mengata orang lain. Cermin diri sendiri dahulu. Tolong jangan beri anak-anak makan dengan duit hasil kerja tidak bermaruah kamu. Jangan merajuk, ini hanya teguran ikhlas. 



Saturday, 13 June 2015

Antara kaca dan permata - Jangan BOHONG!


Hayati nasihat yang diluahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin ini. Cuba berfikir secara jelas dan besar kemungkinan anda akan mendapat petunjuk dari Allah.

Pembohongan dan lebih teruk lagi kesediaan kita untuk hidup dalam pembohongan kerana alpa dan terlalu malas untuk menentang kemungkaran akan hanya menghancurkan kita dan negara tercinta ini. 

Ramai yang tidak berani, segelintir lagi melacurkan diri demi wang ringgit, jawatan, anugerah dan sebagainya sehingga pencuri dan pembohong disanjung dan ditatang. Pembunuh pun mungkin diberi permaidani merah. Yang dikeliling tidak peduli jika negara pun digadai.

Yang tidur se-bantal tidak perlu dihurai lagi. Seluruh negara sedar akan penyakit bongkak dan tamak haloba.

Politik ada batasnya. Batas politik adalah apabila tindakan, kelakuan, halatuju dan keputusan dibuat semata-mata kepentingan peribadi, keluarga, rakan-rakan serta tidak berasakan undang-undang dan kepentingan rakyat dan negara. Jauh sekali dari panduan agama. 

Apapun bentuk dan rupa, politik yang menghalalkan pengkhianatan, pembohongan dan rompakan khazanah negara mesti ditentang habis-habisan. Tidak kira siapa, pengkhianat tetap pengkhianat walaupun darahnya berlainan warna.

Kita tidak perlu pemimpin yang tidak peduli jika rumah yang diduduki bersama perlu dibakar hanya kerana ingin terus berkuasa dan menyelamatkan diri dari dihumban ke-penjara.

Pantun dibawah ini mungkin hanya dua kerat tetapi makna-nya amat mendalam dan sangat sesuai untuk kita renungkan bersama disebalik tabiat pemimpin yang sudah kerap bercakap bohong kepada rakyat. 

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri. 

Mungkin dahulu urutan-nya adalah bercakap bohong lama-lama mencuri tetapi kini ada yang mencuri terlebih dahulu sebelum bercakap bohong untuk menipu rakyat. 

Saban hari pelbagai cerita dongeng serta pembohongan direkacipta hanya untuk melencongkan pemikiran rakyat daripada jenayah pencurian khazanah negara. Yang membongkar dihina dan dicerca, si-pencuri pula bermegah mendabik dada. 

Apakah kita rakyat Malaysia ini sudah terlalu hina sehingga tidak mampu membezakan antara kaca dan permata?

Janganlah kita khianati anak-anak kita dengan tindakan bersekongkol bersama pencuri dan pembohong yang sedang riak dengan kuasa dan jawatan. Ingat, berdiam diri tanda-nya setuju.

Bangkitlah sebelum nasi menjadi bubur. 


Site Meter