Hayati nasihat yang diluahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin ini. Cuba berfikir secara jelas dan besar kemungkinan anda akan mendapat petunjuk dari Allah.
Pembohongan dan lebih teruk lagi kesediaan kita untuk hidup dalam pembohongan kerana alpa dan terlalu malas untuk menentang kemungkaran akan hanya menghancurkan kita dan negara tercinta ini.
Ramai yang tidak berani, segelintir lagi melacurkan diri demi wang ringgit, jawatan, anugerah dan sebagainya sehingga pencuri dan pembohong disanjung dan ditatang. Pembunuh pun mungkin diberi permaidani merah. Yang dikeliling tidak peduli jika negara pun digadai.
Yang tidur se-bantal tidak perlu dihurai lagi. Seluruh negara sedar akan penyakit bongkak dan tamak haloba.
Politik ada batasnya. Batas politik adalah apabila tindakan, kelakuan, halatuju dan keputusan dibuat semata-mata kepentingan peribadi, keluarga, rakan-rakan serta tidak berasakan undang-undang dan kepentingan rakyat dan negara. Jauh sekali dari panduan agama.
Apapun bentuk dan rupa, politik yang menghalalkan pengkhianatan, pembohongan dan rompakan khazanah negara mesti ditentang habis-habisan. Tidak kira siapa, pengkhianat tetap pengkhianat walaupun darahnya berlainan warna.
Kita tidak perlu pemimpin yang tidak peduli jika rumah yang diduduki bersama perlu dibakar hanya kerana ingin terus berkuasa dan menyelamatkan diri dari dihumban ke-penjara.
Pantun dibawah ini mungkin hanya dua kerat tetapi makna-nya amat mendalam dan sangat sesuai untuk kita renungkan bersama disebalik tabiat pemimpin yang sudah kerap bercakap bohong kepada rakyat.
Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.
Mungkin dahulu urutan-nya adalah bercakap bohong lama-lama mencuri tetapi kini ada yang mencuri terlebih dahulu sebelum bercakap bohong untuk menipu rakyat.
Saban hari pelbagai cerita dongeng serta pembohongan direkacipta hanya untuk melencongkan pemikiran rakyat daripada jenayah pencurian khazanah negara. Yang membongkar dihina dan dicerca, si-pencuri pula bermegah mendabik dada.
Apakah kita rakyat Malaysia ini sudah terlalu hina sehingga tidak mampu membezakan antara kaca dan permata?
Janganlah kita khianati anak-anak kita dengan tindakan bersekongkol bersama pencuri dan pembohong yang sedang riak dengan kuasa dan jawatan. Ingat, berdiam diri tanda-nya setuju.
Bangkitlah sebelum nasi menjadi bubur.