Showing posts with label budaya rusuhan. Show all posts
Showing posts with label budaya rusuhan. Show all posts

Tuesday, 11 October 2016

Selamatkan Malaysia... sebelum terlambat


Rusuhan jalanan yang mengorbankan nyawa dan hartabenda pernah berlaku dalam negara kita. Walau bukan baru namun kesan yang ditinggal rusuhan berdarah amat mendalam. Sungguh dalam sehingga ianya digunapakai untuk menakutkan orang ramai sehingga ke hari ini.

Kita tidak harus keliru atau dikelirukan antara tunjuk perasaan dan rusuhan terancang. Tunjuk perasaan atau demonstrasi harus aman diiringi hak bebas bersuara bersandarkan undang-undang negara. 

Merusuh adalah jenayah. Merusuh mencederakan orang lain dan merosakkan harta benda adalah satu kesalahan berat.  

Dalam negara kini sudah ada golongan pelampau yang secara terang-terangan mengugut untuk merusuh jika pandangan mereka tidak diterima. Mereka mengancam orang lain secara terbuka.

Apa yang boleh rakyat buat bilamana pelampau politik mula bertindak ganas dan mengugut untuk mencetus rusuhan. Kita boleh tunggu dan lihat sambil berleter memaki hamun atau mendesak tindakan undang-undang. 

Katanya pihak berkuasa masih menyiasat. Ketua kumpulan yang disiasat pula dilihat sedang menikmati hidangan durian bersama penyamun.

Institusi-institusi yang berdiri dan terdiri kerana rakyat harus sedar akan tugas, tanggungjawab dan sumpah setia mereka kepada tanahair kita Malaysia. 

Kalau mereka terlupa rakyat akan tolong ingatkan. 

Ingat! Sumpah taat setia adalah kepada negara dan bukan tiket untuk menjadi kadam mana-mana individu atau kumpulan. Jangan khianati  dan terus bersekongkol bersama golongan yang membelakangkan undang-undang negara.

Budaya politik samseng yang wujud sekarang adalah amat berbahaya kerana dalang seolah dilindungi pihak berpengaruh. 

Yang terdesak akan melakukan apa saja untuk melepaskan tengkuk tetapi mereka dikeliling harus sedar bahawa wang ringgit dan kuasa yang dirampas tidak mungkin bertahan lama.  

Rusuhan yang sengaja dicetuskan pelampau politik demi kelangsungan agenda mereka bukanlah sesuatu yang baru. Jika tidak mahu mencermin diri lihatlah keadaan dinegara lain. 

Perbuatan puak pelampau membakar bangunan, rumah kediaman serta kenderaan awam dijalanan adalah perlakuan biasa di negara-negara yang tidak perlu dinamakan. 

Disebuah negara Asean penganjuran rusuhan telah menjadi semacam industri kecil dimana peserta rusuhan dibayar wang dan diberi makan serta minum. Tugas mereka hanya merusuh. Mungkinkah budaya ini telah mula meresap menjangkaui sempadan?

Dinegara lain, bila budaya rusuhan berasaskan sentimen sempit mencapai tahap kemuncak, ada yang sanggup membakar diri. Ini realiti budaya rusuhan anjuran pemimpin politik yang gila kuasa. Rakyat dijadikan taruhan. 

Di Amerika Latin dan Afrika sindiket dadah dan penyeludup berlian diketahui menganjurkan rusuhan untuk menentang penguatkuasaan undang-undang.

Pengkhianatan sebegini wujud dan penjenayah yang terdesak sanggup melakukan apa saja untuk melepaskan diri atau untuk terus memegang kuasa. 

Sudah tiba waktu untuk institusi-institusi yang berdiri dan terdiri kerana rakyat bertindak demi rakyat. Biarkan politik ditempatnya, ini tanggungjawab anda kepada negara. 

Selamatkan Malaysia... sebelum terlambat.