Saturday 30 April 2022

Kembalikan Kuasa Mutlak Raja

Kita kembali kepada asal

Sistem Raja Berperlembagaan sudah tidak relevan. Kita sudah boleh kembali kepada sistem Raja dengan kuasa mutlak atau Beraja Mutlak - Monarki Mutlak.

Sistem Beraja Mutlak - Absolute Monarchy adalah sistem asal yang di-amal bilamana Raja dan Sultan berkuasa penuh atas segala urusan dalam dan luar negara. 

Segala kuasa pentadbiran serta kuasa-kuasa lain yang berkaitan seperti kewangan, pertahanan dan keselamatan akan dipegang oleh DYMM Yang DiPertuan Agong diperingkat persekutuan. 

Diperingkat negeri kuasa boleh dikembalikan kepada Raja dan Sultan. 

Sudah ada pun negeri yang secara dasarnya telah mengembalikan segala kuasa kepada istana. Ketua kerajaan yang dipilih rakyat pun begitu cekap dan tuntas dalam melaksanakan arahan istana. 

Rakyat pun nampak senang serta sering mendapat pelbagai bantuan serta buah tangan. Beras sekampit pun diberi percuma. Apa lagi yang rakyat mahu?

Malaysia sudah boleh menggantung perlembagaan-nya dan kembalikan kuasa mutlak serta segala hak kepada DYMM Yang DiPertuan Agong. 

Tidak perlu lagi rakyat gundah gulana memikirkan siapa yang mempunyai majoriti di Dewan Rakyat dan siapa pula yang akan jadi Perdana Menteri. 

Wakil-wakil rakyat pun tidak perlu lagi melompat kesana-sini. 

Buat persidangan khas dan mansuhkan sahaja perlembagaan. Kembalikan kuasa kepada Raja dan Sultan.

Tidak perlu lagi dicadangkan nama sipolan dan sipolan untuk jawatan perdana menteri atau mentri besar. Segalanya adalah kuasa mutlak Raja. 

Kita kukuhkan Institusi Raja-Raja Melayu dan serahkan kuasa kepada Sultan dan Raja. Tidak perlu lagi pilihanraya, kecil ataupun besar.

Perlembagaan kita pun seolah-olah  sudah lapok dan sering diperlekehkan dari segenap sudut. 

Kedaulatan undang-undang pun makin hilang daulatnya bila saban hari dipermainkan secara terbuka. 

Apa gunanya undang-undang jika yang berkuasa serta berpengaruh dilihat duduk diatas undang-undang? 

Apa guna-nya perlembagaan jika ianya dayus dan tidak berupaya mempertahankan kewujudan-nya sebagai asas kerajaan dalam sistem Raja Berperlembagaan? 

Perlembagaan serta undang-undang yang tidak dipatuhi sendiri oleh mereka yang memegang amanah rakyat hanyalah cebisan kertas yang tiada nilainya.  

Lebih elok jika kita kembali ke zaman  dimana perlembagaan dan undang-undang tidak tersurat. 

Kuasa Raja adalah kuasa mutlak dan Raja tidak perlu tunduk kepada perlembagaan persekutuan mahupun undang-undang. Titah Raja adalah undang-undang.

Sistem demokrasi dengan Raja Berperlembagaan sudah tidak mampu mentadbir urus negara in dengan baik. Kita semakin tercorot di pentas dunia.

Kembalikan Sistem Beraja Mutlak. Biar Raja bebas lakukan apa sahaja. 

DAULAT TUANKU!


Wednesday 20 April 2022

Penjenayah dalam Istana

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang penjenayah yang masih kekal dengan sabitan kesalahan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram serta penyalahgunaan kuasa. 

Proses perbicaraan kes Najib telah melalui Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan jenayah serta hukuman yang telah dijatuhkan.  

Panel tiga hakim kanan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun (keseluruhan 72 tahun) serta denda RM210 juta ke-atas Najib kerana jenayah yang dilakukan ketika penjawat jawatan perdana menteri Malaysia. 

Ketika mengekalkan sabitan kesalahan Najib pada 8 Disember 2021, panel hakim Mahkamah Rayuan merumuskan bahawa jenayah yang dilakukan Najib telah memalukan negara atau  'a national embarrassment'. 

Proses terakhir perbicaraan jenayah dalam sistem kehakiman Malaysia adalah rayuan ke Mahkamah Persekutuan. 

Najib adalah penjenayah dengan sabitan kesalahan-nya kekal sehingga Mahkamah Persekutuan bersidang dan mempertimbangkan rayuan. 

Najib kini bebas dan belum menjalani hukuman penjara kerana Mahkamah Rayuan telah membenarkan hukuman ditangguh sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan, dengan jaminan wang RM 2 juta. 

Setakat ini belum ada pengumuman akan bila Mahkamah Persekutuan akan bersidang dan mengakhiri kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia. 

Media antarabangsa turut mengikuti kes ini yang berkait rapat dengan skandal kleptokrasi terbesar dunia - 1MDB yang turut di-siasat pihak FBI dan Jabatan Peguam Negara di Amerika Syarikat.

Inilah fakta akan kedudukan Najib sebagai penjenayah selaras dengan undang-undang negara kita.

Jadi, bagaimana Najib dibenarkan masuk dan duduk bersama-sama DYMM Yang DiPertuan Agong di-majlis berbuka puasa DYMM Yang DiPertuan Agong bersama anggota kabinet, orang kenamaan dan perwakilan asing di dalam Istana Negara?

Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Hakim Negara juga hadir dalam majlis berbuka puasa itu. 

Menurut laporan Berita Nasional Malaysia - BERNAMA - majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persoalan yang ditimbul bukan berniat menghina individu atau mana-mana institusi tetapi lebih kepada mempertahankan kesucian institusi-institusi serta kedaulatan undang-undang yang menjadi antara paksi utama negara kita. 

Ramai yang amat terkejut dan menimbulkan persoalan kenapa DYMM Yang DiPertuan Agong di letakkan didalam keadaan serba salah (awkward position) kerana terpaksa duduk di meja utama (high table) bersama seorang penjenayah.  

Pelbagai teori dan andaian mula bermain di hati dan pemikiran umum kerana 'penjenayah duduk bersama Agong di hadapan perwakilan asing dan Ketua Hakim Negara'. 

Apakah ada mesej yang ingin di sampaikan?

Siapa yang memastikan agar Najib dilihat bersama di high table untuk tatapan pegawai tertinggi negara serta wakil kedutaan asing ? 

Kejadian ini harus disiasat kerana kita mesti bertindak mempertahan serta melindungi DYMM Yang DiPertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu dari sengaja di-aibkan pihak tidak bertanggungjawab..  

Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahan dan dikekalkan kerana inilah satu-satunya institusi yang menjadi tunjang sistem Raja Berperlembagaan yang kita terima dan amalkan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Kita tidak boleh alpa jika ada percubaan untuk mengaibkan Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan peribadi mana-mana pihak dari luar istana. 

Mungkin Majlis Raja-Raja juga harus mengambil maklum akan perkara ini. Ini adalah sesuatu yang serius dan mampu menimbulkan kecurigaan rakyat.

Anggapan serta tanggapan negatif akan perkara ini harus diperbetulkan segera. 

Kedaulatan undang-undang tidak boleh dipermainkan atau diperlihat seperti dipermainkan secara terbuka. 

Sejujurnya catatan ini adalah untuk menyampaikan persoalan umum dan bukan berniat menghasut atau mencerca. 

Assalamualaikum.   







Monday 11 April 2022

Kembalilah ke pangkal jalan



Apakah pegangan hidup kita, rakyat Malaysia yang hidup dałam masyarakat bertamadun didałam sebuah negara yang merdeka? 

Persoalan ini berkait nilai hidup dan budaya dalam sebuah negara yang sebilangan besar penduduknya adalah orang Islam. 


Nilai masyarakat kita dewasa ini sebenarnya bercelaru dan tidak berpegang kepada yang nyata. Kompas moral kita seolah tidak berfungsi langsung.


Kecelaruan kita wujud dari pelbagai sudut namun tahap kecelaruan yang melampau atau ‘absurdity’ pada ketika ini amat membimbangkan. 


Kita hidup dalam keadaan dimana politik menjadi pegangan hidup. 

Agama dan nilai hidup diperlakukan seolah alat yang digunakan semata-mata untuk kelangsungan politik sahaja.


Kecelaruan kini tidak masuk akal dan tidak waras. Kecelaruan ini tidak tertumpu pada agama atau bangsa, tetapi Islam yang dianuti sebahagian besar rakyat Malaysia seharusnya menjadi panduan untuk kita. 


Malangnya kita seolah terpesong jauh. Kita sesat angkara pelbagai bentuk rasuah serta sogokan. 


Pemikiran sebahagain besar rakyat, khususnya orang Melayu, sudah tidak stabil.   


Kerana nyamuk se-ekor kita bakar kelambu tetapi najis ditengah meja santapan kita buat tak tahu.  


Pencuri tabung masjid di-mandikan seperti mayat, orang Melayu marah berhari-hari tanpa hujung pangkal.  


Pelajar di-hina pensyarah, orang Melayu menyumpah tak sudah-sudah. 


Pelajar terpaksa panjat pokok untuk capaian internet orang Melayu meronta sehingga menara dipacak dan internet dipancar. 


Reaksi masyarakat Melayu terhadap isu-isu diatas, yang tersebar luas terutamanya dalam jaringan media sosial, nampak normal tetapi sebenarnya agak janggal.

 

Reaksi ini janggal kerana masyarakat Melayu ini cenderung dengan  yang kecil serta mudah melatah tetapi tidak peduli akan perkara lain yang jauh lebih besar dan memudaratkan.


Reaksi masyarakat Melayu tidak konsisten dań tidak berdasarkan nilai atau pegangan hidup, jauh lagi dari ajaran agama. 


Orang Melayu kini berpendidikan tetapi malangnya mereka lebih seronok dengan khabar angın, cerita kedai kopi dan propaganda politik.


Mana mungkin Islam mengajar kita mengagungkan penjenayah yang telah terbukti mengkhianati agama, bangsa dan negara-nya sendiri. 

 

Ini bukan cerita kedai kopi atau tampalan media sosial berunsur propaganda. Ini bukan lawak yang menjadi ikutan di TikTok. 


Ini fakta, bukan auta. 


Orang Melayu yang rata-ratanya mengaku beragama Islam dań mempunyai nilai hidup yang suci murni, secara terbuka bersekongkol dengan anasır yang merompak masa depan anak-anak mereka. 


Orang Melayu yang sering mendabik dada akan kelebihan nilai hidup mereka mengatasi bangsa dan agama lain, tidak sedikitpun malu untuk bersama penjenayah yang terlibat secara langsung dalam jenayah kleptokrasi terbesar dalam dunia. - Cuba Google jika tidak faham erti kleptokrasi


Orang Melayu, termasuk golongan terlebih Islam yang begitu melampau akan tafsiran halal dan haram sehingga menghadkan pergaulan anak-anak dengan orang bukan Islam, nampak tidak peduli akan haramnya rasuah serta penyelewengan yang dilakukan penjenayah yang menggelarkan dirinya penyelamat Melayu. 


Apakah kerana penjenayah itu juga berbangsa Melayu, bergelar pemimpin dan boleh memberi duit untuk sokongan maka ajaran Islam serta nilai hidup boleh di tong-sampahkan? 


Orang Melayu yang begitu geli dan jijik dengan babi dan sanggup menutup mata dan hidung daripada melihat atau terbau daging babi yang tergantung jauh diseberang jalan, tidak pula geli atau jijik dengan penjenayah yang telah terbukti mengkhianati negara dan merogol khazanah bangsa. 


Jenayah yang dilakukan pengkhianat ini, sewaktu menyandang jawatan perdana menteri Malaysia, telah dibuktikan di tiga mahkamah berasingan dalam negara. 


Butiran pengkhianatan anak bekas perdana menteri ini juga telah mula dilondehkan secara lebih terperinci ketika perjalanan kes berkait 1MDB di Amerika Syarikat. 


Perincian dari mahkamah di AS menerangkan lagi bagaimana khazanah Malaysia dirogol oleh bajingan ini dan sekutunya tanpa sekelumit pun rasa bersalah. 


Mereka berhutang dengan jaminan Kerajaan Malaysia dan kemudiannya mencuri duit yang dihutang itu. Begitu hina pengkhianatan bekas perdana menteri berbangsa Melayu dan mengaku beragama Islam ini.


Pengkhianat ini tidak mungkin diperdaya orang lain. Jika benar dipedaya kenapa bersekongkol mengubah laporan audit negara bila jenayah mula terbongkar?  


Jenayah yang dilakukan bangsawan yang terbangsat itu telah dibuktikan menerusi fakta kukuh melampaui keraguan barisan hakim tertinggi negara, dan bukan nya menerusi propaganda politik murahan atau tampalan di Facebook. 


Yang di nanti kini dalam negara hanya rayuan di mahkamah terakhir. Itu sahaja proses keadilan yang berbaki. Senarai bukti terlalu panjang dan kukuh untuk dinafi.


Di Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Jangan tipu diri dan keluarga sendiri.


Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu Islam, yang masih berpegang pada ajaran agama yang suci - kembalilah ke jalan yang benar.


Jangan terpedaya dengan ajaran sesat serta kelicikan pengkhianat agama, bangsa dan negara yang hanya ingin menyelamatkan diri dari hukuman.


Bebaskan diri ke jalan yang benar. 


Assalamualaikum.