Showing posts with label rasuah. Show all posts
Showing posts with label rasuah. Show all posts

Wednesday, 20 April 2022

Penjenayah dalam Istana

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang penjenayah yang masih kekal dengan sabitan kesalahan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram serta penyalahgunaan kuasa. 

Proses perbicaraan kes Najib telah melalui Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan jenayah serta hukuman yang telah dijatuhkan.  

Panel tiga hakim kanan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun (keseluruhan 72 tahun) serta denda RM210 juta ke-atas Najib kerana jenayah yang dilakukan ketika penjawat jawatan perdana menteri Malaysia. 

Ketika mengekalkan sabitan kesalahan Najib pada 8 Disember 2021, panel hakim Mahkamah Rayuan merumuskan bahawa jenayah yang dilakukan Najib telah memalukan negara atau  'a national embarrassment'. 

Proses terakhir perbicaraan jenayah dalam sistem kehakiman Malaysia adalah rayuan ke Mahkamah Persekutuan. 

Najib adalah penjenayah dengan sabitan kesalahan-nya kekal sehingga Mahkamah Persekutuan bersidang dan mempertimbangkan rayuan. 

Najib kini bebas dan belum menjalani hukuman penjara kerana Mahkamah Rayuan telah membenarkan hukuman ditangguh sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan, dengan jaminan wang RM 2 juta. 

Setakat ini belum ada pengumuman akan bila Mahkamah Persekutuan akan bersidang dan mengakhiri kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia. 

Media antarabangsa turut mengikuti kes ini yang berkait rapat dengan skandal kleptokrasi terbesar dunia - 1MDB yang turut di-siasat pihak FBI dan Jabatan Peguam Negara di Amerika Syarikat.

Inilah fakta akan kedudukan Najib sebagai penjenayah selaras dengan undang-undang negara kita.

Jadi, bagaimana Najib dibenarkan masuk dan duduk bersama-sama DYMM Yang DiPertuan Agong di-majlis berbuka puasa DYMM Yang DiPertuan Agong bersama anggota kabinet, orang kenamaan dan perwakilan asing di dalam Istana Negara?

Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Hakim Negara juga hadir dalam majlis berbuka puasa itu. 

Menurut laporan Berita Nasional Malaysia - BERNAMA - majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persoalan yang ditimbul bukan berniat menghina individu atau mana-mana institusi tetapi lebih kepada mempertahankan kesucian institusi-institusi serta kedaulatan undang-undang yang menjadi antara paksi utama negara kita. 

Ramai yang amat terkejut dan menimbulkan persoalan kenapa DYMM Yang DiPertuan Agong di letakkan didalam keadaan serba salah (awkward position) kerana terpaksa duduk di meja utama (high table) bersama seorang penjenayah.  

Pelbagai teori dan andaian mula bermain di hati dan pemikiran umum kerana 'penjenayah duduk bersama Agong di hadapan perwakilan asing dan Ketua Hakim Negara'. 

Apakah ada mesej yang ingin di sampaikan?

Siapa yang memastikan agar Najib dilihat bersama di high table untuk tatapan pegawai tertinggi negara serta wakil kedutaan asing ? 

Kejadian ini harus disiasat kerana kita mesti bertindak mempertahan serta melindungi DYMM Yang DiPertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu dari sengaja di-aibkan pihak tidak bertanggungjawab..  

Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahan dan dikekalkan kerana inilah satu-satunya institusi yang menjadi tunjang sistem Raja Berperlembagaan yang kita terima dan amalkan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Kita tidak boleh alpa jika ada percubaan untuk mengaibkan Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan peribadi mana-mana pihak dari luar istana. 

Mungkin Majlis Raja-Raja juga harus mengambil maklum akan perkara ini. Ini adalah sesuatu yang serius dan mampu menimbulkan kecurigaan rakyat.

Anggapan serta tanggapan negatif akan perkara ini harus diperbetulkan segera. 

Kedaulatan undang-undang tidak boleh dipermainkan atau diperlihat seperti dipermainkan secara terbuka. 

Sejujurnya catatan ini adalah untuk menyampaikan persoalan umum dan bukan berniat menghasut atau mencerca. 

Assalamualaikum.   







Sunday, 10 December 2017

Apa nasib anda bila kleptokrat tersungkur ?

SIASAT KERUGIAN BNM & KECURIAN ZAMAN NAJIB RAZAK 


Jika berada dipihak yang benar kenapa takut? 

Jika benar Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak mencuri kenapa sehingga kini siasatan terhadap kes 'samun berkumpulan' 1MDB masih belum ada kesudahannya? 

Jika Suruhanjaya Siasatan DiRaja boleh ditubuhkan, selepas 30 tahun, untuk menyiasat KERUGIAN Bank Negara Malaysia kenapa kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia moden tidak diendahkan oleh pihak berkuasa kita? 

Penjawat awam, khususnya penguatkuasa undang-undang, harus sedar akan tugas dan tanggungjawab sebenar mereka adalah kepada rakyat dan negara.  Jangan biarkan perkhidmatan awam diperkudakan demi kelangsungan seorang kleptokrat yang terdesak. 

Bila kleptokrat tersungkur, apa nasib anda? 


p/s 

Beberapa hari sebelum Presiden Robert Mugabe dari Zimbabwe tumbang baru-baru ini beliau dikatakan mengulangi ungkapan 'hanya tuhan yang melantik saya boleh melucutkan jawatan saya' dengan angkuh, disamping isteri beliau Gucci Grace. Beberapa hari selepas itu Tuhan memakbulkan doa rakyat Zimbabwe. 






Thursday, 27 April 2017

SPRM dan Soros - Siapa lebih berkuasa?

The official is being investigated under Section 53 (3) of the MACC Act and was granted bail of RM100,000 with two sureties, but was rearrested on Dec 2 to assist in investigations into illegal money-laundering activities under Section 4(1) of the Anti Money Laundering Act (AMLA) 2001 and was released under bail of RM100,000, after being detained for 24 hours. In its probe, MACC seized more than RM150 million in cash, vehicles, assets and documents from the official.
This included RM41 million in cash and RM12.6 million in bank accounts, 56 land titles belonging to Yayasan Melaka in Sabah and six State Economic Planning Unit (UPEN) files related to land reclamation projects, seven vehicles (two Toyota Vellfires, a Toyota Camry, a BMW, a Proton Waja, a Perodua Myvi and a Proton Exora).
Also seized were two Toyota FJ Cruiser four-wheel drive vehicles which are worth about RM200,000 each.
Following his release, the official had initially resumed his duties at the MBMB mayor’s office, before Idris announced in a response to a query from the opposition at the state assembly in February, that the official had been removed from the city council and placed at the Tangga Batu Umno service centre.
At the Klebang Kecil Umno Youth, Wanita and Puteri annual conference held at his official residence in Seri Bendahara, Idris announced the official’s appointment as the state BN and Umno special functions secretary. - NST 
A WARRANT of arrest is out for a politician in Malacca implicated in a multimillion-ringgit corruption scandal.
The man was supposed to be charged yesterday with at least 10 counts of offences related to money laundering, but the highly-anticipated court appearance did not materialise.
The New Straits Times was made to understand that the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC), which had been granted the arrest warrant by the Malacca magistrate’s court, failed to serve the document on the 56-year-old politician.
...
On Monday night, a state MACC spokesman confirmed that the commission’s case would be brought to the court yesterday.
The spokesman yesterday, however, said: “I am sorry, there is indeed a case to be charged (at court) tomorrow (yesterday), but I do not know who. I have not received any information pertaining to this case (as this is handled by MACC headquarters).
“I am also awaiting answers from them,” he had said in a text message on Monday.
Late yesterday, however, the spokesman told the NST that the corruption case had been shelved to a later date.
“No one is going to be charged today (yesterday). It has been postponed. 
“I will update if there are new developments.”
He added that a new date could be as early as the end of next week.
It is learnt that the graft busters were also waiting for further instructions from the Attorney-General’s Chambers on the matter. - NST also 

KENYATAAN MEDIA 
27 APRIL 2017

Adakah kelewatan mendakwa pemimpin UMNO Melaka satu cubaan "cover up" ?

Saya berasa terkejut dengan satu laporan NST bertarikh 26 April 2017 melaporkan bahawa pemimpin UMNO Melaka yang terpalit dengan skandal rasuah RM150 juta belum lagi didakwa. 

Pemimpin UMNO Melaka itu yang sepatutnya didakwa kelmarin namun beliau tidak muncul di mahkamah dan belum didakwa lagi walaupun waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya. 

Adalah menjadi rahsia umum bahawa pegawai berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan Idris Haron memandangkan Idris sendiri telah diminta memberikan kerjasama oleh SPRM berkaitan dengan kes rasuah pemimpin UMNO Melaka itu pada awal tahun ini.

Kegagalan mendakwa pemimpin terbabit menimbulkan pelbagai persoalan kepada orang ramai khususnya rakyat Melaka.

Bagaimana beliau masih bebas walaupun waran tangkap telah dikeluarkan ? Dimanakah pemimpin terbabit berada sehinggakan pihak berkuasa gagal membuat tangkap terhadapnya? Apakah beliau dilindungi pimpinan atasan kononnya beliau punyai hubungan secara langsung dengan Ketua Menteri kerana bimbang Idris Haron akan diheret sama? 

Saya mendesak pihak SPRM tampil dengan segera memberikan penjelasan terhadap kelewatan mendakwa pemimpin terbabit bagi mengelakkan sebarang spekulasi timbul. Saya juga mendesak agar menghentikan sebarang percubaan "cover up" oleh pihak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin terbabit.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
AHLI PARLIMEN BUKIT KATIL - MELAKA 


Siapa sebenarnya sipolan yang dikenali sebagai SOROS ini? 

Bagaimana SOROS ini begitu berkuasa sehingga mampu 'menahan' SPRM daripada menjalankan tugas mereka? 

Di Johor Exco Kanan Kerajaan Negeri pun ditangkap dan dituduh dimahkamah oleh pihak SPRM tanpa sebarang campurtangan politik, kerajaan ataupun pihak istana. SPRM bebas menjalankan tugas mereka dalam kes profil tinggi di Johor tempohari.

Bagaimana SOROS dari Negeri Melaka ini seolah-olah lebih berkuasa dari SPRM? 

Persoalan yang ditimbulkan Ahli Parlimen Bukit Katil YB Shamsul Iskandar adalah berasas. Sebenarnya persoalan tersebut telah menjadi bualan umum. 

Apakah benar Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron turut terlibat dalam kes rasuah ini dimana pihak SPRM telah merampas wang tunai dan harta lain bernilai lebih RM150juta? 

Apakah benar kertas pertuduhan kini telah kembali ke-meja Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk 'dikaji semula' selepas sipolan yang melindungi Soros menggunakan 'talian hayat Putrajaya'? 

Ini antara persoalan yang timbul dibibir dan minda rakyat ekoran penyebaran beberapa laporan akhbar dan berita dari 'sumber SPRM'.

Kes terbaru dalam siri operasi kes profil tinggi SPRM ini sebenarnya telah mencuit perhatian masyarakat : 

Pertama kerana jumlah yang terlibat, iaitu lebih RM150 juta; 
dan keduanya kerana kekebalan seorang pekerja parti politik yang baru-baru ini ditugaskan 'hanya untuk memasang bendera dan kain rentang parti'. 

Apa nak jadi dengan laungan amaran Ketua Pesuruhjaya Datuk Dzulkifli Ahmad jikalau tukang pasang bendera pun boleh jentik SPRM dari jauh? 


Amaran tinggal amaran?

Mungkin Dzulkifli harus segera menemui Apandi Ali dan menjernihkan pandangan umum akan kewibawaan SPRM. 

Yang menjadi percaturan sekarang adalah maruah SPRM yang sedang cuba dipulihara selepas rosak teruk akibat siasatan skandal 1MDB dan SRC International. 

Pasti Dzulkifli dan Apandi masih ingat akan episod 1MDB dan SRC yang masih belum berkesudahan itu. 

Pisang nak berbuah lagi?

p/s 


Ada kes boleh jadi tak ada kes dan yang tak ada kes tiba-tiba boleh jadi ada kes. Yang ini apa kes-ah ?





Monday, 20 February 2017

Propaganda atau putar belit murahan


Setakat ini pelbagai percubaan telah dilakukan untuk mengalih perhatian umum dari skandal 1MDB yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak. 

Najib yang juga perdana menteri terlibat secara langsung dalam skandal 1MDB dan telah terbukti menerima lebih RM2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi di Ambank. Hutang yang ditanggung akibat skandal 1MDB telah melampaui 50 bilion ringgit. Jumlah terkini mungkin lebih dari itu.

Selain kehilangan maruah dan dikenali kerana rasuah dan kleptokrasi dipersada antarabangsa Malaysia juga semakin kelihatan sebagai gundik kuasa komunis Republik China. 

Kenapa kita seakan terhutang budi dengan pemerintah komunis China sehingga berkelakuan aneh bertentangan dengan dasar hubungan luar negara? Apakah ini kesan kita meminjam atau bersetuju untuk meminjam berpuluh bilion ringgit dari China? 

Kenapa wilayah milik negara ini digadai sewenang-wenangnya menerusi anugerah hak milik kekal kepada syarikat syarikat dari negara China? 

Individu yang paling layak menjawab persoalan ini adalah perdana menteri yang juga menteri kewangan, yang turut memegang jawatan tertinggi dalam 1MDB dan Umno. 

Kenapa Najib enggan berterus terang? Laporan 1MDB Ketua Audit Negara masih berselindungi disebalik Akta Rahsia Rasmi. Kenapa laporan itu menjadi rahsia? 

Dalam keadaan biasa, jika Umno dan Barisan Nasional berfungsi berdasarkan matlamat penubuhan dan sumpah setia mereka, Najib mungkin telah dilucutkan jawatan dan dihadapkan kemuka pengadilan.

Malangnya negara kita telah menjadi luarbiasa sejak pemecatan Peguam Negara terdahulu Tan Sri Gani Patail sekitar bulan Julai 2015. 

Wang tunai lebih RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib masih belum dijelaskan, lebih-lebih lagi setelah perbicaraan dan siasatan negara luar mendapati 1MDB sebagai sumber duit tersebut. Cerita Pak Arab sudah tidak boleh diterima pakai berikutan bukti yang dikemukakan. 

Sebahagian besar salahlaku, kecurian, pengkhianatan dan jenayah terhadap negara ini tersenarai secara terperinci dalam laporan siasatan awal Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. 

Segala persoalan ini tidak dijawab. Bukan saja tidak dijawab malah yang menyoal ditindas, diugut dan dipenjara. Pemimpin Umno yang letak jawatan kerana 1MDB pun diugut dan diaibkan dengan skandal seks yang direkacipta.

Rakyat biasa cuba dikelirukan dengan pelbagai cerekarama politik yang dimainkan saban hari menerusi media yang dijadikan alat putar belit.  

Cerekarama terbaru terbitan Umno adalah siri jelajah Umno dan BN untuk menjelaskan kenapa kerugian urusniaga mata wang asing Bank Negara pada tahun 90an harus disiasat sekarang, setelah hampir 30 tahun. 

Lain bengkak lain pula yang bernanah. Inilah tahap luarbiasa dalam negara kita pada masa ini.

Penasihat mana yang kata rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu ini dangkal sangat sehingga boleh ditarik kesana kemari seperti lembu dicucuk hidung? Bangsawan rasa orang bawahan bodoh?

Rakyat tahu apa yang berlaku. Rakyat merasai kesan langsung kepincangan pentadbiran negara sekarang, bukannya kerugian dagangan tiga dekad yang lalu. 

Siri jelajah yang diumumkan ketua penerangan Umno yang agak 'popular' itu hanyalah satu lagi putar belit dalam siri putar belit untuk mengaburi mata rakyat. Rakyat tahu. 

Putar belit terbaru ini begitu ketara sehingga tidak layak pun untuk dikategorikan sebagai propaganda. Propaganda harus ada class, ini hanya sekadar putar belit murahan. 

p/s 

Harap Tan Sri Ketua Penerangan Umno lebih berjaga-jaga dengan dana berpuluh juta yang harus diperuntukkan untuk siri jelajah putar belit ni. Bukan apa, kes siasatan SPRM kat Mara pun belum selesai.  
Rintihan salah seorang penguatkuasa undang-undang yang ditindas. 





Wednesday, 18 January 2017

Apa kata Dr Mahathir ?

Serangan bertali arus puak penegak kebatilan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad bermula sejak bekas presiden Umno itu mendesak agar Najib Razak meletak jawatan sebagai perdana menteri. 

Dr Mahathir menolak Najib kerana anak Tun Abdul Razak itu terlibat secara langsung dalam skandal 1MDB yang menggelapkan duit berbillion ringgit milik kerajaan Malaysia. 

Tidak cukup dengan ratusan juta ringgit duit hutang (jaminan kerajaan) yang digelapkan, tanah milik kerajaan (termasuk Kem TUDM Sungai Besi) juga di gadai menjadi milik orang asing. Stesen penjana elektrik juga tidak terlepas dari kerakusan penyamun.

Rakyat harus ingat bahawa Dr Mahathir membuat teguran terbuka ketika kudis Najib belum bernanah lagi. Amaran Dr Mahathir bukan saja tidak dihiraukan malah beliau dimaki hamun dan dicaci cerca.

Kini kudis Najib bukan saja sudah bernanah malah telah mengeluarkan bau yang amat busuk. Oleh kerana Najib masih memegang jawatan perdana menteri maka kebusukannya terpalit pada negara kita Malaysia. 

Makian dan cacian kuncu-kuncu Najib terhadap Dr Mahathir tidak berjaya menutup atau mengalih perhatian dari kudis yang sudah bernanah dan busuk seperti bangkai.

Malaysia kini masyur dan dikenali ramai kerana skandal 1MDB, rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan PERDANA MENTERI nya sendiri. 

Siasatan jenayah berkaitan skandal Najib Razak ini sedang berjalan dibeberapa negara asing, terutamanya di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura. 

Di Singapura beberapa orang yang terlibat sama telah dituduh dan dijatuhi hukuman penjara dan denda. Keterangan ketika perbicaraan di Singapura telah menimbulkan bukti-bukti yang lebih kukuh akan penglibatan PERDANA MENTERI Malaysia dalam skandal 1MDB dan kecurian duit negara. 

Tahap kebusukan semasa Najib mungkin boleh dijelaskan oleh menteri, pembantu menteri dan pegawai-pegawai  Kerajaan Malaysia yang berada di Davos, Switzerland menghadiri Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pada ketika ini. 

Seperti dijangka Najib Razak tidak menghadiri WEF 2017 di Switzerland pada tahun ini tetapi rakyat Malaysia yang hadir di Davos atas pelbagai kapasiti lain terpaksa menanggung malu akibat skandal 1MDB dan jenayah anak Tun Abdul Razak. 

Menurut seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia dari Davos, "Where is your famous Prime Minister ?", 'Why Malaysians have not kicked him out yet?" dan "What is happening to your country?"  adalah antara soalan yang dilontar apabila diberitahu bahawa beliau berasal dari Malaysia. 

"Saya terpaksa mengelak beberapa temujanji dan makan malam dengan delegasi asing kerana malu. Menteri yang hadir pun cuba mengelak tetapi hampir kesemua orang yang kita temui di WEF termasuk media antarabangsa hanya berminat tentang skandal 1MDB dan penglibatan jenayah perdana menteri dan keluarga beliau," katanya. 

Mungkin seluruh dunia sudah tahu kenapa dan mengapa Najib tidak berani menjejak kaki di bumi Switzerland. Yang buat-buat tak tahu hanya anggota kabinet kerajaan Malaysia, para penyokong mereka dan segelintir pihak berkuasa berkaitan yang jelas bersekongkol dengan penjenayah. 

Najib takut peguam negara Switzerland akan mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau? Kalau tak bersalah kenapa bersembunyi?

Puak penegak kebatilan akan terus mempertahankan penjenayah dan pengkhianat selagi mana mereka dapat memperolehi hasil untuk diri dan keluarga masing-masing. 

Kita jangan terkejut jika puak penegak kebatilan ini sanggup berdebat mengatakan bahawa duit hasil judi, duit yang dicuri dan duit lain yang diperolehi dengan cara haram boleh digunakan untuk menunaikan Haji atau Umrah. 

Jangan terkejut kerana puak ini telah melampaui segala batas dan adab kehidupan. Kalau diberi wang ringgit yang cukup, ibu dan bapa mereka pun akan dijual tanpa segan silu. 

Rakyat Malaysia yang waras dan mampu berfikir dan membezakan antara yang baik dan buruk pastinya tidak boleh diperbodohkan oleh puak penegak kebatilan ini. 

Yang waras harus berusaha untuk menyelamatkan Malaysia. 

Ketika melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia beberapa hari yang lalu, Dr Mahathir telah menggariskan ancaman yang dihadapi serta tindakan yang perlu untuk mengembalikan tanahair kita ke landasan yang betul.

Dr Mahathir berikrar bahawa kerajaan baru yang ditubuh selepas puak penegak kebatilan ditumpaskan akan mencari setiap sen dari duit 1MDB yang dirompak

GST yang menjadi beban utama rakyat Malaysia juga akan dihapuskan.

Rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik harus menghayati amanat negarawan ini. Ingat! Dr Mahathir  lahir pada tahun 1925, iaitu 32 tahun sebelum kita mencapai kemerdekaan. https://youtu.be/jAgO0P63r3c



p/s  Baca juga Rasuah Dan Ibadat Haji 


Monday, 15 August 2016

PERINGATAN - Melindungi pengkhianat adalah jenayah





Sidang akhbar bersejarah ini diadakan pada 25hb Januari 2016, lebih kurang tujuh bulan yang lalu, di  pejabat Peguam Negara Malaysia Putrajaya. 

Kandungan sidang akhbar ini diketahui seluruh dunia tetapi sehingga kini ramai yang masih mempertikaikan keputusan Apandi Ali yang dikatakan bertindak lebih sebagai peguambela orang yang disyaki (Najib Razak) daripada tugas hakikinya sebagai peguam negara. 

Dengan bukti-bukti baru yang dikemukakan Kerajaan Amerika Syarikat mungkin Apandi akan membaca kembali kenyataan beliau tempohari kerana isunya bukan sekadar kredibiliti Apandi sebagai peguam negara tetapi juga berkisar dengan kelakuan jenayah melindungi penjenayah.

Kelihatan disebelah kiri Apandi Ali (dalam rakaman video diatas) adalah Datuk Dzulkifli Ahmad (yang memeriksa teks kenyataan yang dibacakan peguam negara dengan teliti). Ketika sidang akhbar ini diadakan pada bulan Januari yang lalu Dzulkifli bertugas dibawah Apandi di Jabatan Peguam Negara. 

Kini Dzulkifli adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia. Perlantikan Dzulkifli memang telah dijangka sejurus selepas sidang akhbar di-atas. 

Jangan terkejut dengan amaran terbaru Dzulkifli, khususnya yang ditujukan kepada penjawat awam, kerana itu adalah tugas terbaru beliau. Saya pasti Dzulkifli sedar bahawa ramai yang sedang memerhatikan beliau secara dekat, dari dalam dan luar SPRM. 

Untuk makluman, Najib Razak adalah penjawat awam.    


p/s 

Bersubahat melindungi jenayah juga adalah jenayah, lebih-lebih lagi jika yang bersubahat itu adalah mereka yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang yang termaktub dibawah Perlembagaan Malaysia. Pastinya hukuman bagi jenayah melindungi kesalahan jenayah akan lebih berat jika yang cuba dilindungi itu adalah pengkhianat negara.



Thursday, 14 July 2016

Maruah siapa ditangan Jho Low ?

Terjumpa video ini yang dimuatnaik lebih kurang 10 bulan yang lalu, pada Sept 2, 2015. Persoalan yang diutarakan didalam rakaman ini amat jelas tetapi kita masih ternanti-nanti akan penjelasan dari pihak yang terlibat. 

Skandal derma dalam akaun peribadi dan 1MDB kini telah berkembang berlipat kali ganda dari setahun yang lalu. Jumlah wang yang disyaki hilang atau disonglap oleh orang-orang yang kita kenali juga telah bertambah mencecah puluhan billion ringgit.

Wayang kulit politik semakin rancak tetapi penjelasan akan perkara pokok masih belum ada. Siapa yang mencuri? 

Kenyataan-kenyataan lawak jenaka bersifat putar belit dari balaci politik yang berniat untuk mengelirukan bukan penjelasan yang ditunggu rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu yang begitu mementingkan maruah bangsa. 

Orang Melayu yang risau akan maruah dan harga diri bangsanya amat berharap agar pemimpin Melayu yang menghadapi siasatan antarabangsa berhubung tuduhan salahguna kuasa, pengubahan wang haram, pembohongan jenayah, mencuri, khianat dan beberapa kesalahan jenayah lain akan 'come clean' atau membersihkan diri dengan membiarkan dirinya disiasat dan diadili. 

Orang Melayu yang benar-benar risau akan maruah serta harga diri bangsanya pasti mengharapkan agar pemimpin MELAYU, yang menyebabkan tercemarnya nama Melayu, membersihkan namanya menerusi proses perundangan yang termaktub dibawah perlembagaan negara. 

Pemuda pemudi Melayu yang benar risau akan tercemarnya maruah bangsa dan negara yang pemerintahannya ditunjangi orang Melayu pasti gundah gulana dengan pelbagai siasatan antarabangsa yang amat memalukan. 

Pemuda pemudi Melayu yang berpendidikan dan bermaruah dengan jatidiri yang masih utuh tahu akan punca skandal 1MDB yang kini hangat diseluruh dunia.

Melayu yang celik, yang benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara dan tidak mudah disogok pasti sedar akan malapetaka yang dibawa Melayu yang bergelar pemimpin. Semakin ramai Melayu yang celik dan mereka ini tidak mudah diperbodohkan dengan slogan dan sentimen membuta tuli.

Walau segala bentuk media perdana dikongkong, pembesar dan ilmuan dikunci mulut, yang tidak rela bersubahat diugut dan diaibkan, Melayu yang celik tahu antara yang haq dan batil. 

Percubaan untuk mengelirukan rakyat, khususnya orang Melayu beragama Islam akan berterusan dengan hasutan membakar semangat bangsa dan penyalahgunaan agama demi kepentingan peribadi dan untuk melepaskan diri. Melayu yang celik tidak bodoh.

Pastinya pelbagai lagi helah akan muncul dengan alasan mempertahankan maruah bangsa dan kesucian agama namun umum mengetahui punca sebenar segala keruntuhan. 

Mungkin mereka yang terpekik melolong demi maruah harus berhenti sejenak dan berfikir dimana sebenarnya maruah mereka dan maruah individu yang mereka ingin pertahankan itu. 

Maruah siapa ditangan Jho Low?
p/s 

Sudah tiba masanya Raja-Raja Melayu, menerusi Majlis Raja-Raja, berdiri mempertahankan maruah rakyat dan negara ini daripada terus dihina didalam dan luar negara. Sebenarnya maruah rakyat dan negara adalah asas kepada maruah Raja-Raja Melayu kita. 

Dikala alim ulama pun diam seribu bahasa walau bukti nyata pengkhianatan dan kezaliman terpampang didepan mata, hanya Raja Raja Melayu boleh menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara ini. 

Inilah harapan rakyat kebanyakan. 

Daulat Tuanku.



Saturday, 25 June 2016

Kepada Allah saya berserah - Muhyiddin Yassin


KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya. 

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara. 

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba. 

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini. 

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah s.w.t terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
25 Jun 2016

Sunday, 10 April 2016

TEMPO Indonesia fitnah Najib Razak lagi?






Najib Razak serta kuncu-kuncunya boleh cuba dan terus mencuba untuk memperbodohkan umum tetapi tembelang mereka telah pecah. Seluruh dunia sudah tahu siapa yang berkomplot cuba merompak Malaysia dalam senyap. Cubaan yang dibuat dalam senyap tetapi tembelang Najib sudah pecah dan baunya amat busuk sekali.

Kerana kuasa masih ditangan dan kerana kuasa itu boleh menagih sokongan membuta tuli maka Najib masih mencuba tetapi umum sudah terhidu bau yang amat busuk dari tembelang yang pecah. 

Mereka yang masih was-was akan tembelang yang telah pecah itu boleh membaca laporan penuh Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara atau Public Accounts Committee (PAC). 

Ini laporan RASMI PARLIMEN MALAYSIA. Jangan mudah terpengaruh dengan ulasan serta kupasan pemakan dedak tegar. Baca dan fahami sendiri.

Gambar-gambar di-atas adalah laporan terbaru majalah TEMPO dari Indonesia yang akan muncul dipasaran tempatan dalam sehari dua lagi. 

Baca laporan majalah TEMPO yang dilampirkan di-atas. TEMPO dilanggan berjuta pembaca di Indonesia dan Malaysia. 

Busuknya tembelang bukan terhenti setakat Indonesia tetapi orang Indonesia pun sudah mentertawakan Perdana Menteri Malaysia secara terbuka kerana rasuah dan salahguna kuasa. 

Laporan Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara agak jelas walaupun disiapkan bersama pelbagai kekangan. Laporan Jabatan Audit Negara seharusnya lebih terperinci tetapi entah mengapa laporan tersebut telah 'di-sulitkan' dibawah Akta Rahsia Rasmi. 

Ini nasib malang kita kerana seekor kerbau yang membawa lumpur.

Dibawah pula adalah barisan Kabinet Malaysia yang masih bersama Najib Razak walaupun mereka tahu akta, fakta dan undang-undang khusus negara berhubungkait amalan rasuah, salahguna kuasa, pecah amanah serta khianat. 

Siapa diantara mereka yang akan bangun untuk menyelamatkan Malaysia dari sial yang menimpa? 

p/s 

Jangan difikir air pasang sahaja.

  

Friday, 8 April 2016

1MDB - Rakyat tahu


Laporan terbaru Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (Public Accounts Committee) Parlimen Malaysia berhubung siasatan keatas 1MDB telah mengundang pelbagai kupasan dan terjemahan. 

Ramai bertudingan disana sini. Ramai juga yang tuding sesama sendiri. Yang dituding rakyat pula semacam memboloskan diri. 

Apa sudah jadi? Harta disana sini tetapi hutang yang ditanggung 50 billion ringgit, naik lagi (peningkatan hutang RM8 billion). Siapa yang merompak kita?

Laporan jawatankuasa kira kira mungkin telah merungkai bagaimana kita dirompak dan kemungkinan anggaran kerugian kita. 

Yang terdesak telah mula mengupas laporan PAC mengikut selera sendiri dan mencanang untuk membersih diri. Itu tindakan pantas yang terdesak, atau mungkin yang sudah ketakutan.  

Yang merompak wang negara harus berasa cemas dan takut pada ketika ini kerana pengkhianatan adalah satu jenayah yang amat keji. Dikebanyakan negara pengkhianat dihukum mati. Yang bernasib baik dibuang negeri. Pengkhianatan anda sudah diketahui.

Walaupun agak menghampakan laporan PAC telah membuka ruang yang sebelum ini tertutup rapat dari pengetahuan umum. Siasatan PAC terhenti di-anaktangga tetapi percayalah bahawa siasatan peringkat antarabangsa diberapa buah negara di Eropah dan Asia akan membogelkan mereka yang mengkhianati negara kita.

Mereka yang mengkhianati negara harus sedar bahawa rakyat menyaksikan segala tingkah laku serta tipu daya mereka dengan mata luas terbuka. Rakyat sudah lama celik, kalau tidak masakan P.Ramlee boleh merangkum dilema kita hari ini berpuluh tahun yang dahulu.  

Saban hari sebahagian besar rakyat menyaksikan lakonan yang dipersembahkan, dalam keadaan sedar ianya sekadar mainan mereka yang terdesak.

Rakyat tahu. Pendekatan atau tindakan mereka akan krisis nasional ini mungkin berbeza tetapi rakyat tahu negara mereka dinodai pengkhianat. 

Ada yang bertindak untuk menyelamatkan Malaysia, ramai yang menyokong dalam diam dan ada juga yang menanti orang lain bertindak untuk mereka tetapi rata-rata kesemuanya bersetuju bahawa mereka yang bersubahat dengan para pengkhianat juga harus dikenalpasti dan dihukum.

Siapa yang bersubahat dengan pengkhianat yang merompak kita?

Rakyat tahu. 

Kalau tak percaya rakyat kita tahu, celik dan boleh membezakan antara yang benar dan batil, buatlah pilihanraya umum dalam jangkamasa terdekat.  

Rakyat tahu.

p/s 

Negeri Setan yang disebut Allahyarham Tan Sri P.Ramlee harus dipertimbangkan jika pengkhianat dibuang negeri. 

Sementara itu.... 


Gali lubang tutup lubang, pinjam duit bayar hutang (RM50 billion).






Friday, 18 March 2016

SURAT KEPADA AHLI-AHLI CAWANGAN UMNO


Saudara-saudari sekalian,
Assalamualaikum,

Izinkan saya menerangkan sedikit berkenaan keputusan saya untuk keluar dari UMNO. Berbanding dengan pemimpin-pemimpin “UMNO” yang ada sekarang, saya lebih lama berada dalam UMNO. Walaupun saya disingkir sekali dan tinggal UMNO dua kali, saya tidak pernah menyertai parti lain. Saya tetap setia kepada UMNO. Saya sayang UMNO bukan kerana nama-nya UMNO tetapi kerana perjuangannya untuk bangsa, agama dan negara.

​Hari ini “UMNO” tidak lagi berjuang kerana bangsa, agama dan negara. Hari ini perjuangan “UMNO” terhad kepada pengekalan Dato’ Sri Najib sebagai Perdana Menteri. Tidak ada Perdana Menteri terdahulu yang menjadikan UMNO sebagai benteng untuk pertahankan diri, tidak Dato Onn, tidak Tunku Abdul Rahman, tidak Tun Razak, tidak Tun Hussein. Saya juga tidak menggunakan UMNO untuk mempertahankan diri. Bahkan saya, seperti Tunku, rela meletak jawatan.

​Oleh kerana perjuangan UMNO sudah bertukar, maka pertubuhan ini bukan lagi UMNO. Ia sudah jadi pertubuhan lain. Pemimpin-pemimpin yang masih ada dalam UMNO kebanyakannya berada kerana kepentingan diri, kerana takut kepada Najib, kerana dapat nikmat dari Najib. Mereka tidak peduli akan skandal kewangan yang melibat Najib, akan wang berbillion yang ada dalam akaun bank Najib. Sesungguhnya Perdana Menteri Malaysia tidak boleh miliki wang berbillion atau terima wang sebegitu banyak.

​Dalam perjuangan kita perlu menentukan sasaran utama kita. Sasaran kita ialah Najib kerana dia merosakkan imej negara, menjadikan negara yang terkenal didunia sebagai mempunyai amalan rasuah tertinggi.

​Kita lihat di Timur Tengah orang Islam yang anggap orang Yahudi adalah musuh mereka yang sebenar tetapi mereka lebih utamakan permusuhan sesama mereka sehingga mereka berperang sesama sendiri. Akhirnya Israel tepuk tangan melihat orang Islam membuat kerja mereka. Di Malaysia hari ini bukan parti lawan yang menjadi musuh utama tetapi Najib, kerana Najib merosakkan parti sehingga hampir kalah PRU 13. Parti lawan tidak boleh kalahkan kita. Tetapi Najib boleh.

​Najib sudah menjadikan UMNO sebagai parti miliknya sendiri. Malangnya kepimpinan Najib melemahkan parti. UMNO tetap kalah PRU 14 jika dipimpin oleh Najib. Adanya parti lawan sejak merdeka tidak pernah menghapuskan sokongan rakyat kepada UMNO sehinggalah Najib memimpin UMNO. Prestasinya lebih buruk dari Abdullah.

​Yang menimbul masalah dan kepincangan dalam negara ialah Najib. Hutang negara meningkat sebanyak lebih dari 50 billion Ringgit kerana 1MDB. Sebilangan besar dari wang ini sudah hilang. Untuk menampung wang yang hilang ini, Najib menjual tanah Kerajaan yang dibeli dengan harga RM60/- satu kaki persegi kepada Tabung Haji dengan harga RM3500/-.

​Tiba-tiba dilaporkan Najib mempunyai wang sebanyak RM2.6 billion dalam akaun peribadinya di Ambank. Juga wang sebanyak RM42 juta dari SRC ada bersama. Dakwaan kononnya semua wang ini adalah hadiah dari orang Arab tidak masuk akal. Perdana Menteri Malaysia tidak harus terima wang yang sebegitu banyak dari sesiapa pun.

​Pemerintahan Najib kejam. Siapa yang menegurnya disingkir dari parti, dibuang jawatan, ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Undang-undang baru dibuat untuk memberi kuasa kepada Kerajaan Najib memasuk dalam tahanan siapa sahaja tanpa dibicara.

​Kerana semua ini saya keluar dari parti pimpinan Najib dan sebagai rakyat negara tercinta ini saya akan sambut desakan ramai rakyat untuk membuat sesuatu bagi mengembali pemerintahan yang adil ke negara ini.

Saya menjemput ahli-ahli UMNO yang sayang kepada perjuangan asal UMNO membantu saya untuk menyelamatkan parti dan negara ini. Kemukakanlah usul undi tidak percaya terhadap Najib sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri di mesyuarat-mesyuarat cawangan UMNO. Usulkan juga agar pemilihan parti tidak ditangguhkan, dan dilaksanakan pada tahun ini juga

​Kita tidak boleh tunggu PRU 14 kerana UMNO yang dipimpin oleh Najib tetap akan kalah. Sekali UMNO kalah ia tidak dapat dipulih semula.

Terima Kasih

Selamat bersidang

Dr Mahathir Bin Mohamad
18 Mac 2016

Saturday, 27 February 2016

KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan.

Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.

Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu Presiden. Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?

Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden.

Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO.

Hari ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden. Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden.

Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini. Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang seluas-luasnya kepada lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih pemimpin-pemimpin utama parti.

Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli, malah majoriti rakyat, diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT semata-mata untuk mempertahankan seorang individu yang terpalit dalam skandal rasuah dan penyelewengan yang amat memalukan.

MT gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma RM2.6 bilion yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau. MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib. Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat.

Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan Peguam Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!

Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya.

MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri saya daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan UMNO dan negara.

Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui saya mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya. Mereka meminta saya melalukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib. Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan UMNO dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.

Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka. Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya.

Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam UMNO? Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk menyatakan yang hak dan menentang yang batil? Telah leburkah semangat perjuangan dalam diri pemimpin UMNO? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah nafsu kuasa yang penuh muslihat dan tipu daya?

Barangkali sistem nilai dalam UMNO telah punah. Mereka yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, tetapi kepentingan diri. Akibat daripada ini UMNO akan rosak dan ditolak oleh rakyat.

Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas. Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup. Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan.

Najib juga sedang mengukuhkan kuasanya. Peguam Negara memberikan alasan paling tidak munasabah untuk menolak pendakwaan ke atas Najib walaupun mempunyai bukti yang kukuh. Hanya kerana dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara tidak berani mendakwa Najib. Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa. Akta Majlis Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.

Dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan segalakuasa yang
ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik. Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baharu.

Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan. Oleh kerana Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasanya di bawah Perlembagaan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, maka sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri boleh terlepas daripada pendakwaan jenayah dengan hanya menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya melucutkan jawatan Peguam Negara.

Jika Peguam Negara bukan seorang yang berani, maka Perdana Menteri akan menjadi seorang yang amat berkuasa dan kebal di sisi undang-undang. Dia boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja jenayah dan terlepas daripada sebarang hukuman. Ini bukanlah sesuatu yang adil malah amat bertentangan dengan prinsip bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.

Selain itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan Polis Di-Raja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan fungsi masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun. Peranan mereka di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara mesti diperkukuhkan. Kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk membolehkan mereka bertindak secara bebas dan telus.

Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita. Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.

Saya menghargai semua pihak yang menyatakan sokongan untuk terus berjuang bersama saya. Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah lebih awal menyatakan sokongan kepada saya. Kepada kedua-dua mereka saya ucapkan terima kasih. Kepada pemimpin akar umbi UMNO terutamanya Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang berani berkata benar saya ucapkan tahniah. Saya juga amat menghargai pendirian UMNO Pagoh yang tidak gentar mengharungi badai gelombang bersama saya. Marilah kita terus berjuang!

Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia.  Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.

Allahu Akbar!
MUHYIDDIN YASSIN
27 Februari 2016

Sunday, 7 February 2016

1MDB - Perdana Menteri derhaka kepada Raja Raja Melayu?


1.​ Sudah empat bulan berlalu sejak Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB di Istana Negara pada 7 haribulan Oktober, 2015. Kenyataan tersebut menyentuh mengenai keprihatinan Majlis terhadap “keresahan dan kebimbangan Rakyat apabila kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam melaksanakan amanah Rakyat mentadbir negara” dikritik.

2.​ Jelas daripada kenyataan tersebut, Majlis melihat bahawa “keamanan dan kemakmuran negara yang perlu berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan Rakyat dapat hidup dalam harmoni” boleh terjejas teruk dengan kontroversi 1MDB.

3.​ Oleh itu, Majlis telah menitahkan semoga siasatan terhadap 1MDB diselesaikan secepat mungkin dan “penemuan siasatan dilaporkan secara lengkap dan telus supaya Rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan Kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran.”

4.​ Persoalannya, setelah empat bulan berlalu adakah Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak telah patuh kepada titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui Majlis Raja-raja yang merupakan harapan terakhir bagi Rakyat memohon dan merayu perlindungan, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri telah tidak diyakini Rakyat?

5.​ Adakah dengan hanya beberapa kenyataan oleh Menteri yang dilihat mengkais ketepi titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, dan tiada respon dari Perdana Menteri sendiri sudah memadai untuk dianggap sebagai jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Majlis? Wajarkah titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ditepis sebegitu rupa tanpa apa-apa respon yang beradab dan munasabah?

6.​ Perlu diingatkan bahawa kenyataan Majlis berakar dari cambahan rungutan yang disembah maklum oleh Rakyat. Majlis tidak akan mengendahkan aduan dan rintihan daripada Rakyat jelata itu jika difikir ianya tidak berasas. Jelas sekali, apabila Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan yang ditujukan khas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai 1MDB, ianya bukan sesuatu yang boleh diremeh dan tidak diendahkan.

7.​ Dalam ucapan saya di Istana Anak Bukit bagi menyembah tahniah bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh Rakyat Kedah Darul Aman sempena Ulang Tahun Keputeraan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang ke-88 pada 17 haribulan Januari, 2016, saya telah sentuh perkara ini dengan ungkapan :
“ Bagi pihak seluruh Rakyat, Patik bimbang akan kemerosotan nilai penghormatan terhadap Institusi DiRaja dan Islam. Rakyat sentiasa menjunjung tinggi naungan Sultan sebagai payung negeri dan negara. Namun, apabila titah Tuanku tidak dijunjung, ianya membangkitkan kemarahan Rakyat kerana titah Sultan dan Majlis Raja-raja Melayu tidak boleh dipandang remeh. ”

8.​ Pada ketika itu, saya sudah dapat lihat betapa titah Majlis Raja-raja tidak diambil serius oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, walhal titah itu mencerminkan keresahan Rakyat. Malah sejak kenyataan tersebut dikeluarkan, tidak ada apa-apa perkembangan yang meyakinkan Rakyat bahawa siasatan ke atas isu 1MDB itu berjalan mengikut lunas undang-undang, dan satu kesudahan yang boleh diterima semua akan terhasil.

9.​ Sebaliknya, Perdana Menteri seolah-olah menjadi suara rasmi 1MDB, mempertahan segala tindakan 1MDB, dan cuba mengaburi pandangan Rakyat dengan pengumuman-pengumuman tidak relevan seperti pembayaran balik hutang-hutang 1MDB.

10.​ Di suatu majlis bersama rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO di Saloma Bistro, Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada 11 haribulan Disember, 2015, saya telah sentuh mengenai keengganan dan kegagalan Perdana Menteri, Menteri-menteri tertentu dan Arul Kanda menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak yang resah dengan kes 1MDB. Walaupun secara berseloroh, namun maksud tersirat saya itu amat difahami oleh semua pihak yang mendengar ucapan tersebut. Malah, Dato’ Seri Najib sendiri menyatakan kepada saya bahawa ucapan itulah yang menimbulkan rasa marah beliau terhadap saya, mengakibatkan saya dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah.

11.​ Pokok pangkalnya, soalan yang ada di dalam pemikiran seluruh Rakyat Malaysia, dan saya fikir termasuk Majlis Raja-raja juga ialah apakah yang terjadi kepada berbillion-billion wang Rakyat yang telah dipinjam dari cagaran aset negara dan dibelanja oleh 1MDB atas persetujuan dan kelulusan Pengerusi Panel Penasihatnya iaitu Perdana Menteri sendiri. Itulah soalan yang paling utama ditanya berulang-ulang kali oleh semua pihak.

12.​ Namun begitu, “jawapan” yang diberikan ialah bahawa dalam masa enam bulan lagi semua hutang-hutang itu akan dilangsaikan dengan penjualan saham anak-anak syarikat 1MDB dan aset.

13.​ Apabila soalan pokok tidak dijawab walaupun ditanya berulang kali, dan penerangan yang diberikan (termasuk melalui cetakan buku-buku oleh pihak JASA) tersasar dari soalan pokok dan cuba mengelirukan Rakyat dengan maklumat-maklumat yang tidak relevan, maka mahu tidak mahu terbentuklah andaian bahawa ada fakta dan kebenaran yang hendak disembunyikan oleh Dato’ Seri Najib.

14.​ Oleh yang demikian, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan berlangsung pada 17 dan 18 haribulan Februari, 2016 ini, dengan penuh hormat dan takzimnya saya merayu kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku  Sultan dan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua-Yang DiPertua Negeri semoga mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk melaporkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai siasatan-siasatan mereka mengenai 1MDB secara telus dan benar tanpa melindungi mana-mana pihak.

15.​ Jika ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campurtangan oleh pihak yang disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin.

16.​ Sesungguhnya, dalam tempoh lebih setahun ini, kes 1MDB dan lain-lain isu membabitkan Perdana Menteri telah membelenggu negara. Tahap keyakinan Rakyat terhadap kewibawaan dan integriti Kerajaan Persekutuan yang diterajui Dato’ Seri Mohd Najib semakin terhakis apabila beberapa pihak berkuasa luar negara membuat kenyataan mengenai siasatan yang telah mereka lancarkan ke atas beberapa transaksi mencurigakan yang melibatkan 1MDB. Ini termasuklah siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland terhadap kes penyelewengan dana yang membabitkan 1MDB.

17.​ Sambil Rakyat meratapi nasib negara, dunia memerhati masalah demi masalah yang menimpa Malaysia, dan tertanya-tanya kenapa ini boleh berlaku dan apa kesudahannya. Rata-rata seluruh dunia mencemuh dan memandang serong terhadap Malaysia yang dikatakan antara negara yang paling korup sekarang. Adakah kita masih boleh memejam sebelah mata dan bersikap toleran lagi?

18.​ Perkara yang saya bangkitkan ini adalah soal kepentingan negara. Janganlah sesiapapun cuba mengalih perhatian Rakyat dengan mempolitikkan kenyataan saya ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberi petunjuk dan hidayah, melindungi negara dan seluruh warganya dari malapetaka, khususnya dari angkara manusia sendiri.


DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Mantan Menteri Besar Kedah Darul Aman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
ADUN Ayer Hitam
Keniaan Akhbar -  07 haribulan Februari, 2016

Monday, 1 February 2016

SKANDAL 1MDB - SUDAH-SUDAHLAH TU !



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nampaknya tiada keinsafan langsung di dalam hati Perdana Menteri dalam kemelut jijik yang tercetus akibat kelemahan diri beliau sendiri. Saban hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan episod demi episod pembohongan oleh agen-agen serta para penasihat beliau bagi menutup jenayah jijik yang menjerumuskan negara ini ke dalam kancah penuh keserabutan. Bukan itu sahaja. Imej negara di arena antarabangsa turut terjejas dengan buruk sekali.

Baru-baru ini Peguam Negara tampil mengumumkan keputusan beliau terhadap hasil siasatan SPRM. Kononnya Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan bersabit "wang derma RM2.6 billion" dan penyelewengan wang negara dalam SRC. Saya tidak tahu di mana beliau belajar undang-undang  tetapi bagi orang seperti saya hasil siasatan SPRM itu amat jelas menunjukkan wujud salahlaku jenayah. 

Betapakan tidak, dokumen carta aliran keluar masuk wang dalam SRC dan akaun bank peribadi Perdana Menteri yang dipamirkan oleh Peguam Negara itulah yang turut saya perolehi dan berbincang dengan pihak SPRM sewaktu saya masih memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dulu. Ketika itu saya aktif membantu Taskforce 1MDB yang ditubuhkan khas untuk menyiasat penyelewengan dalam entiti tersebut. Ibarat sudah terang lagi bersuluh. Mengapa dengan mudah Peguam Negara mengenepikan bukti ini. Bukan sekadar RM42 juta malahan berpuluh juta ringgit lagi digubah di dalam akaun ini dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. 

Tidak kah Peguam Negara nampak bukti-bukti ini??? 

Berapa banyak dari wang negara ini yang telah diguna untuk menjelaskan hutang piutang kad kredit PM??? 

Cepat sungguh Peguam Negara dapat membaca hati PM dengan mengatakan bahawa PM tidak tahu menahu asal usul wang SRC itu!!! Jika PM menyatakan bahawa beliau tidak tahu wang tersebut adalah 'Public Fund' atau wang kerajaan mengapa sehingga saat ini pun beliau tidak MENGEMBALIKAN SEMULA wang tersebut kepada kerajaan ??? Ingat ya......bukan RM42 juta sahaja tetapi ada berpuluh juta lagi yang masih belum diisytiharkan.

Saya juga ingin bertanya di sini samada wang berbillion billion yang "didermakan" itu sudah dibayar cukai ataupun belum??? Jika belum, saya mohon LHDN menagih cukai tersebut supaya penderma misteri tersebut sedar bahawa di Malaysia ada undang-undang berkaitan dengan "derma" se macam ini.

Wahai Peguam Negara, ingatlah kuasa mutlak yang diberikan oleh Perlembagaan Negara itu wajib digunakan untuk melindungi kepentingan negara. Bukannya untuk menegakkan benang yang basah!!! Kuasa tersebut bukannya untuk digunakan sesuka hati bagi MELINDUNGI JENAYAH. 

Jika Peguam Negara kurang yakin dengan segala bukti yang telah dikemukakan oleh SPRM maka aktifkan semula Special Taskforce 1MDB yang sekarang ini hanya tinggal nama sahaja. 

Saya menawarkan diri untuk sama-sama tampil membantu taskforce ini menyiasat salahlaku pengurusan 1MDB. Saya amat yakin dengan kejujuran Tan Sri Zeti, Tan Sri Abu Kassim, Tan Sri Gani Patail dan saya sanggup berjumpa Tan Sri Khalid, KPN, untuk mendedahkan banyak bukti lain. 

Sungguh janggal sekali apabila Peguam Negara bertindak mengarah siasatan kes ini dihentikan oleh semua pihak dan failnya ditutup. Amboi amboi amboi !!! Mudah sekali ya tugas dan tanggungjawab Peguam Negara yang baru ini. Mengapa rendah sangat martabat diri??? Siapa kah yang ditakuti........hantu, toyol, iblis, syaitan, puaka ??? 

Saya CABAR Peguam Negara agar bertindak dengan penuh amanah dan jujur supaya memberikan alasan-alasan untuk membuktikan PM tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kes ini.

Menyentuh tentang wang derma RM2.6 billion. Ish...ish...ish... Cukuplah dengan segala pembohongan ini. Mengapa takut sangat nak dedahkan identiti penderma tersebut jika hamba Allah ini benar-benar wujud. Mengapa berdolak  dalik dalam memberi jawapan sehinggakan Timbalan Perdana Menteri pun terpaksa 'masuk daun' untuk 'akun' (slang orang Sabah bagi perkataan 'mengaku') bahawa kononnya beliau telah bertemu dengan wakil penderma tersebut??? 

Sudahlah!!! Jangan perbodohkan orangramai. Fokuskan tugas itu untuk membasmi gejala judi cybercafe dan dadah yang berleluasa hampir di seluruh negara. Sudah berpuluh ribu belia di negara ini yang rosak akhlak akibat ketagihan benda-benda haram ini. Jangan cemar integriti diri sendiri untuk kepentingan politik.

Pendedahan Peguam Negara bahawa sebahagian besar wang "derma Arab halimunan" ini telah dikembalikan  sungguhlah menakjubkan. Sekarang saya ingin bertanya, bolehkah Peguam Negara tunjukkan bukti bagaimana, caramana serta institusi bank mana atau syarikat mana proses pemulangan wang ini dilakukan ??? 

Jika tidak boleh dijelaskan maka wajarlah Peguam Negara segera mengeluarkan arahan kepada SPRM untuk mendapatkan bukti-bukti tersebut di luarnegara menerusi  peruntukan MLAT. Saya amat yakin jejak wang atau money trail ini akan membuktikan bahawa penderma RM2.6 billion itu sebahagian besarnya adalah MITOS yang SENGAJA direka untuk menutup bangkai gajah.

Kepada Perdana Menteri saya ingin menyeru agar bertindak berani sebagai seorang Pahlawan Bugis. Beranikan diri untuk tampil sendiri memberi penjelasan. Bukankah itu salah satu ciri pahlawan??? Sedarlah bahawa diantara sifat2 kepahlawanan jati termasuklah berani bercakap benar....berani menggadai nyawa demi mempertahankan  pertiwi.....tegas melawan kejahatan.....membela orang yang teraniaya..... 

Di antara ciri-ciri PENGECUT pula termasuklah menggunakan oranglain sebagai jurucakap untuk menabur fitnah bagi mengalih tumpuan dari isu ....mengguna harta kekayaan untuk menutup kebenaran......menggunakan duit untuk membeli kesetiaan.....menggunakan agensi kerajaan untuk mengugut dan menggertak pegawai kerajaan......mengikut telunjuk isteri secara membabi buta. 

Sedarlah bahawa sifat2 keji ini dimurkai Allah SWT. Sudahlah tu......sudah cukup kalut keadaan dalam negara masakini. Sampai bila episod penganiayaan ini akan berakhir??? 

Tidakkah ada perasaan keinsafan dan belas ihsan dalam diri apabila melihat negara dalam keadaan begini. Percayalah bahawa orangramai semakin jelik dan meluat melihat telatah pemimpin politik demi pemimpin politik mengeluarkan kenyataan bohong bagi menutup bangkai gajah ini. Kalau kita pergi ke Mekah seminggu sekalipun dosa kita tidak akan terhapus dengan sebegitu mudah.

Ada pihak yang berpandangan bahawa skandal 1MDB ini tidak akan ada kesudahannya kerana PM terlalu kuat pengaruhnya hinggakan Presiden OBAMA sendiri akan menggunakan kuasa veto presiden untuk menghentikan siasatan pihak FBI ke atas kes MONEY LAUNDERING di Amerika. Nonsense !!! Kononnya pihak FBI terpaksa menunggu Presiden Obama mengakhiri tempoh jawatan presidennya pada bulan september depan. Nonsense!!! FBI tetap FBI. Pandai, pandai tupai melompat....

Kepada teman2 saya di dalam media arus perdana saya doakan agar datuk/dato semua dikurniakan Allah SWT kesedaran diri serta dibekalkan kekuatan untuk berani berkata benar. Aamiin. Jangan bertindak berpaksikan sesuatu ideologi yang jelas menyimpang dan sempit. Terimalah hakikat bahawa negara sedang dilanda krisis kepercayaan orangramai akibat perbuatan rasuah dan penyelewengan pemimpin tertinggi kita sendiri. Selagi pemimpin terbabit tidak berani berterus terang maka krisis ini akan berlarutan. Ia tidak ada kena mengena dengan ISIS!!! 

Elakkanlah taktik melaga-lagakan orang Melayu dengan orang Cina. Isu penyelewengan 1MDB ini tidak ada kena mengena dengan cubaan kaum Cina nak memalukan pemimpin Melayu. Majoriti orang Melayu sendiri mahukan penjelasan ikhlas dari pemimpin yang bertanggungjawab. Hentikanlah usaha jahat nak "membeli kesetiaan" akhbar SINAR tu. ...dan kita akan tengok dalam masa terdekat ini samada penyakit BODEK ini akan turut dijangkiti oleh FREE MALAYSIA TODAY

Kepada orangramai saya merayu agar tidak terpengaruh dengan pelbagai cerita2 yang menyentuh peribadi pegawai2 tinggi SPRM yang bakal ditonjolkan oleh agen2 jahat tersebut bagi mengalihkan tumpuan. Ia ditimbulkan dengan niat MENGALIH TUMPUAN dan untuk melaga-lagakan pegawai SPRM. Taktik hina ini hanya layak digunakan oleh manusia yang PENGECUT. 

Agen-agen yang mabuk kuasa dan arak serta "giler"duit ini akan terus bertindak untuk menghakiskan kredibiliti SPRM dengan pelbagai cerita dengan harapan orangramai akan meragui keikhlasan agensi ini. Jangan bimbang RAKYAT BUKAN BODOH.  Agen-agen jahat ini sedia mempunyai KECACATAN pada imej dan diri masing-masing. Yang menghairankan saya ialah ada di kalangan PEMBODEK ini pada suatu ketika dulu pernah mendabik dada lantang mengkritik amalan rasuah dan penyelewengan!!! Tetapi dalam sekelip mata buat U-turn 180 darjah. 

Kepada semua pegawai SPRM saya menyeru supaya jangan sekali-kali takut dengan gertakan/ugutan sesiapapun. Pertahankan kesucian peranan dan tanggungjawab agensi. Jalankan kerja dengan niat yang ikhlas demi kepentingan negara. Contohilah integriti agensi anti rasuah negara jiran kita, Indonesia. Para pegawai KOMISI PEMBERANTASAN KORUPSI di negara tersebut berani dan telus bertindak tanpa memilih bulu. Orangramai dapat merasakan betapa ikhlas SPRM memainkan peranannya untuk menyingkap segala salahlaku oleh pemimpin2 negara. Just carry on with your tasks without fear or favour......rakyat tahu menilai di antara yang baik dengan yang buruk!!!. KIPIDAP DONGIBAB!!!

Bagi diri saya, in syaa allah, saya yakin bahawa tindakan saya ini tidak menyalahi mana2 undang-undang negara. Sebagai seorang pegawai polis saya telah mengangkat sumpah untuk menjalankan kewajipan saya dengan sebaik2nya bagi memenuhi kehendak Akta Polis. 

Peranan dan fungsi utama saya adalah untuk mengesan dan mencegah jenayah. Undang-undang itu sendiri mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat mengenai perlakuan jenayah. 

Jika KPN mendapat arahan dari langit Putrajaya untuk menangkap saya maka saya redha. Hati ini semakin redha apabila mengenangkan Hari Polis 25 Mac depan semakin hampir. Masih kuat lagi semangat di dalam hati ini untuk menyanyikan lagu POLIS SEDIA BERKHIDMAT. Sewaktu dalam lokap nanti saya akan kumandangkan lagu keramat ini.

Semua manusia mempunyai harga untuk dibeli dan dikompromi. Begitulah kata orang tua-tua dulu. Harga bagi diri saya ialah........mengaku sajalah dan bertaubat. 

Sudahlah tu.....

Salam hormat dan GONGXI FA CAI

ABDUL HAMID BADOR
1 Feb 2016

p/s 

Datuk Hamid Bador ialah bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Di-Raja Malaysia yang 'ditamatkan perkhidmatan' dan ditukar ke Jabatan Perdana Menteri secara tergesa-gesa ketika skandal 1MDB meletus.