Laporan terbaru Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (Public Accounts Committee) Parlimen Malaysia berhubung siasatan keatas 1MDB telah mengundang pelbagai kupasan dan terjemahan.
Ramai bertudingan disana sini. Ramai juga yang tuding sesama sendiri. Yang dituding rakyat pula semacam memboloskan diri.
Apa sudah jadi? Harta disana sini tetapi hutang yang ditanggung 50 billion ringgit, naik lagi (peningkatan hutang RM8 billion). Siapa yang merompak kita?
Laporan jawatankuasa kira kira mungkin telah merungkai bagaimana kita dirompak dan kemungkinan anggaran kerugian kita.
Yang terdesak telah mula mengupas laporan PAC mengikut selera sendiri dan mencanang untuk membersih diri. Itu tindakan pantas yang terdesak, atau mungkin yang sudah ketakutan.
Yang merompak wang negara harus berasa cemas dan takut pada ketika ini kerana pengkhianatan adalah satu jenayah yang amat keji. Dikebanyakan negara pengkhianat dihukum mati. Yang bernasib baik dibuang negeri. Pengkhianatan anda sudah diketahui.
Walaupun agak menghampakan laporan PAC telah membuka ruang yang sebelum ini tertutup rapat dari pengetahuan umum. Siasatan PAC terhenti di-anaktangga tetapi percayalah bahawa siasatan peringkat antarabangsa diberapa buah negara di Eropah dan Asia akan membogelkan mereka yang mengkhianati negara kita.
Mereka yang mengkhianati negara harus sedar bahawa rakyat menyaksikan segala tingkah laku serta tipu daya mereka dengan mata luas terbuka. Rakyat sudah lama celik, kalau tidak masakan P.Ramlee boleh merangkum dilema kita hari ini berpuluh tahun yang dahulu.
Saban hari sebahagian besar rakyat menyaksikan lakonan yang dipersembahkan, dalam keadaan sedar ianya sekadar mainan mereka yang terdesak.
Rakyat tahu. Pendekatan atau tindakan mereka akan krisis nasional ini mungkin berbeza tetapi rakyat tahu negara mereka dinodai pengkhianat.
Ada yang bertindak untuk menyelamatkan Malaysia, ramai yang menyokong dalam diam dan ada juga yang menanti orang lain bertindak untuk mereka tetapi rata-rata kesemuanya bersetuju bahawa mereka yang bersubahat dengan para pengkhianat juga harus dikenalpasti dan dihukum.
Siapa yang bersubahat dengan pengkhianat yang merompak kita?
Rakyat tahu.
Kalau tak percaya rakyat kita tahu, celik dan boleh membezakan antara yang benar dan batil, buatlah pilihanraya umum dalam jangkamasa terdekat.
Rakyat tahu.
p/s
Negeri Setan yang disebut Allahyarham Tan Sri P.Ramlee harus dipertimbangkan jika pengkhianat dibuang negeri.
Gali lubang tutup lubang, pinjam duit bayar hutang (RM50 billion).

