Showing posts with label timbalan perdana menteri. Show all posts
Showing posts with label timbalan perdana menteri. Show all posts

Tuesday, 28 July 2015

KENYATAAN MEDIA YBHG TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Saya menerima keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada kabinet dengan hati yang terbuka. Saya menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.
Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha.

Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
28 Julai 2015

Monday, 27 July 2015

1MDB - UCAPAN PENUH TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN - Umno Bahagian Cheras

Ikuti ucapan penuh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menutup Mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Ahad, 26 Julai 2015.

p/s Sila dengar dan cuba fahami apa yang diucapkan sebelum bertindak melabel Muhyiddin sebagai pengkhianat atau Najib sebagai pahlawan bacul. Terima Kasih

1MDB - Timbalan Perdana Menteri desak penjelasan Najib Razak




Dengar dengan teliti apa yang diperkatakan oleh Timbalan Perdana Menteri berkenaan krisis politik, ketirisan kepercayaan umum terhadap kerajaan serta pemimpin dan yang paling penting tentang skandal 1MDB. 

Ini sebahagian daripada ucapan Timbalan Presiden Umno ketika menutup persidangan perwakilan Umno Bahagian Cheras di-ibu negara malam tadi.

Sebenarnya kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini sudah lama dinanti-nanti. Lebih kurang dua bulan lalu Muhyiddin telah pun membangkitkan kerisauan beliau akan 'bencana 1MDB' tetapi malangnya nasihat beliau hilang begitu sahaja seperti daun keladi disiram air. - Luahan hati Timbalan Presiden Umno - 1MDB 

Antara inipati desakan kali ini demi kesinambungan Umno serta Barisan Nasional adalah agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tampil merungkai sendiri skandal 1MDB yang kini semakin hanyir. 

Muhyiddin secara terus terang berkata Najib harus tampil menjelaskan laporan akhbar The Wall Street Journal yang menyatakan bahawa wang tunai berjumlah lebih kurang RM2.6 billion ringgit telah dimasukkan kedalam akaun peribadi Perdana Menteri. 

Selain penjelasan penuh berhubung hutang mencecah RM42 billion yang ditanggung 1MDB, umum sudah tidak sabar untuk mendengar penjelasan Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak berkenaan duit berbillion dalam akaun peribadi beliau. 

Jika fitnah katakan fitnah, berdiam diri bukan lagi pilihan. 

Sebaliknya jika laporan WSJ itu benar maka mungkin sudah tiba masanya untuk Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak untuk dihadapkan kemuka pengadilan. Tidak mungkin ada apa-apa bentuk penjelasan bagaimana duit berbillion ringgit boleh disalurkan kedalam akaun peribadi seorang penjawat awam berstatus Perdana Menteri. 

Mungkin juga sudah tiba masanya untuk pihak berwajib memulakan siasatan serta tindakan yang sewajarnya terhadap sesiapa sahaja, terutamanya penjawat awam serta anggota kabinet, yang disyaki cuba melindungi jenayah terhadap negara. 

Individu-individu yang berkomplot untuk melindungi jenayah dengan kenyataan dan laporan palsu bertujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa tidak harus terlepas. Media yang berhempas pulas mengelirukan rakyat dengan pembohongan juga tidak harus terlepas dari tindakan sewajarnya. 

Hanya ini langkah penyelesaian bagi skandal yang telah merosakkan nama negara diperingkat antarabangsa. Dunia sedang perhatikan kita.

P.S. Kita harus ambil maklum akan laporan bahawa beberapa badan penyiasatan jenayah merentasi sempadan, termasuk dari Singapura, Britain, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Switzerland juga sedang menyiasat skandal 1MDB serta beberapa syarikat dan individu berkaitan untuk kesalahan pengubahan wang haram, pemalsuan dokumen serta penipuan cukai. Pihak berkuasa Singapura juga telah membekukan dua akaun bank berkaitan 1MDB di republik itu.


Saturday, 4 July 2015

Kenyataan rasmi Timbalan Perdana Menteri

YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri

Saya berasa amat bimbang dengan pendedahan terkini Wall Street Journal mengenai beberapa akaun peribadi milik YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak yang didakwa telah menerima sejumlah wang daripada beberapa buah entiti yang dikatakan mempunyai hubungan dengan 1MDB.

Tuduhan ini amatlah berat kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti Dato' Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan. Isu ini juga telah menarik perhatian rakyat serta media antarabangsa dan pastinya menyentuh kepentingan awam.

Oleh itu, saya berpendirian bahawa pihak berkuasa penyiasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara perlu bertindak segera untuk menyiasat segala tuduhan yang dibuat terhadap Dato' Seri Najib. Saya yakin siasatan mengenai perkara ini akan dijalankan secara terperinci, telus dan bebas demi mencari kebenaran.

Oleh kerana tuduhan ini adalah bersifat peribadi, maka adalah wajar bagi Dato' Seri Najib untuk memberikan penjelasan yang meyakinkan atau membuat penafian. Sehubungan itu, saya menyambut baik kenyataan Dato' Seri Najib yang telah menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau. Sekiranya beliau yakin semua tuduhan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata, maka adalah wajar beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang membuat tuduhan demi membersihkan nama beliau dan mengembalikan kredibiliti kerajaan.

Sementara siasatan terperinci dijalankan, saya menyeru semua pihak supaya bertenang. Saya pasti kebenaran akan muncul hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Saya berdoa mudah-mudahan di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, Allah s.w.t akan memberikan kita segala tawfiq dan hidayah untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku dan mengurniakan kesejahteraan yang berkekalan kepada rakyat dan negara kita.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri Malaysia


4 Julai 2015




Saturday, 13 June 2015

Antara kaca dan permata - Jangan BOHONG!


Hayati nasihat yang diluahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin ini. Cuba berfikir secara jelas dan besar kemungkinan anda akan mendapat petunjuk dari Allah.

Pembohongan dan lebih teruk lagi kesediaan kita untuk hidup dalam pembohongan kerana alpa dan terlalu malas untuk menentang kemungkaran akan hanya menghancurkan kita dan negara tercinta ini. 

Ramai yang tidak berani, segelintir lagi melacurkan diri demi wang ringgit, jawatan, anugerah dan sebagainya sehingga pencuri dan pembohong disanjung dan ditatang. Pembunuh pun mungkin diberi permaidani merah. Yang dikeliling tidak peduli jika negara pun digadai.

Yang tidur se-bantal tidak perlu dihurai lagi. Seluruh negara sedar akan penyakit bongkak dan tamak haloba.

Politik ada batasnya. Batas politik adalah apabila tindakan, kelakuan, halatuju dan keputusan dibuat semata-mata kepentingan peribadi, keluarga, rakan-rakan serta tidak berasakan undang-undang dan kepentingan rakyat dan negara. Jauh sekali dari panduan agama. 

Apapun bentuk dan rupa, politik yang menghalalkan pengkhianatan, pembohongan dan rompakan khazanah negara mesti ditentang habis-habisan. Tidak kira siapa, pengkhianat tetap pengkhianat walaupun darahnya berlainan warna.

Kita tidak perlu pemimpin yang tidak peduli jika rumah yang diduduki bersama perlu dibakar hanya kerana ingin terus berkuasa dan menyelamatkan diri dari dihumban ke-penjara.

Pantun dibawah ini mungkin hanya dua kerat tetapi makna-nya amat mendalam dan sangat sesuai untuk kita renungkan bersama disebalik tabiat pemimpin yang sudah kerap bercakap bohong kepada rakyat. 

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri. 

Mungkin dahulu urutan-nya adalah bercakap bohong lama-lama mencuri tetapi kini ada yang mencuri terlebih dahulu sebelum bercakap bohong untuk menipu rakyat. 

Saban hari pelbagai cerita dongeng serta pembohongan direkacipta hanya untuk melencongkan pemikiran rakyat daripada jenayah pencurian khazanah negara. Yang membongkar dihina dan dicerca, si-pencuri pula bermegah mendabik dada. 

Apakah kita rakyat Malaysia ini sudah terlalu hina sehingga tidak mampu membezakan antara kaca dan permata?

Janganlah kita khianati anak-anak kita dengan tindakan bersekongkol bersama pencuri dan pembohong yang sedang riak dengan kuasa dan jawatan. Ingat, berdiam diri tanda-nya setuju.

Bangkitlah sebelum nasi menjadi bubur. 


Site Meter

Thursday, 21 May 2015

Luahan hati Timbalan Presiden Umno - 1MDB



Kesimpulannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun membuat pendirian yang amat jelas berhubung skandal 1MDB serta langkah serta merta yang harus diambil demi masa depan parti, kerajaan dan negara.

Timbalan Perdana Menteri membuat kenyataan yang begitu jelas dihadapan beberapa pemimpin tertinggi Umno dan Kerajaan serta ratusan pemimpin akar umbi bahawa seluruh lembaga pengarah 1MDB harus dipecat dan 'POLIS dipanggil untuk menyiasat mereka'. 

Kepada mereka yang masih percaya bahawa masalah negara masakini ialah kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad, sila fikir semula. Ini adalah masalah besar yang akan membuat kita terjerumus dengan beban hutang yang jauh mengatasi kemampuan. 

Hentikanlah cemuhan dan cacian keatas Dr Mahathir. Media arus perdana, terutamanya TV3 hanya cuba menegakkan benang yang sudah kuyup. 

Secara peribadi saya agak lega kerana masih ada lagi pemimpin tertinggi negara yang mampu melihat serta memahami isu sebenar yang cuba diselesaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Masih ada harapan rupanya.

Kepada penyokong akarumbi yang tidak tahu apa-apa serta 'langau jadian' yang sentiasa mengelilingi Perdana Menteri dan Presiden Umno, sedar lah bahawa bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup dengan nasihat punahsihat. 

Saya percaya, Najib Razak tidak ada pilihan lain kecuali meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dengan kadar segera jika beliau benar-benar sayangkan Umno, Barisan Nasional dan negara kita Malaysia. 

Undurlah Datuk Seri Najib Razak, anda sudah menjadi beban kepada kami.

p/s Sila sampaikan luahan hati Timbalan Presiden Umno ini kepada rakyat. Masalah kita akan selesai bila Umno dan Tan Sri Muhyiddin menentukan siapa akan menjadi Timbalan beliau. Insyaallah!



Site Meter

Friday, 6 March 2015

Kerajaan tidak wajar 'bail-out' 1MDB, tegas Muhyiddin



KENYATAAN AKHBAR YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI
BERHUBUNG ISU 1MDB

6 MAC 2015

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2015, Jemaah Menteri telah diberikan taklimat oleh 1MDB dan firma auditnya Deloitte berhubung beberapa dakwaan yang dibuat terhadap dana pelaburan strategik itu.

Saya menyambut baik arahan YAB Perdana Menteri supaya Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB yang mana laporannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara untuk penelitian lanjut.

Saya berpandangan Ketua Audit Negara wajar mengaudit akaun 1MDB secara telus, bebas dan menyeluruh dengan meneliti akaun 1MDB sejak awal penubuhannya. Ini kerana beberapa tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu adalah berhubung urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit oleh firma Deloitte.

Ini termasuk tuduhan berlakunya penyelewengan dalam usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International seperti yang ditimbulkan oleh beberapa portal berita. Saya percaya pengauditan yang telus, bebas dan menyeluruh adalah penting untuk membersihkan nama dana pelaburan strategik milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

Oleh kerana dakwaan terhadap 1MDB melibatkan urusniaga korporat yang agak kompleks serta menyentuh kepentingan negara dan kerajaan, Ketua Audit Negara mestilah diberikan sokongan sumber, kepakaran dan tempoh masa yang tidak terlalu lama untuk menyiapkan satu laporan yang lengkap dan komprehensif. Ini penting untuk memulihkan reputasi 1MDB dan mengembalikan keyakinan pelabur. Audit forensik hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga 1MDB. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga boleh memulakan siasatannya sendiri tanpa perlu menunggu Laporan Ketua Audit Negara disiapkan.

1MDB mesti memandang serius semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya terutama di media sosial. Untuk membersihkan nama 1MDB, tindakan undang--undang hendaklah diambil terhadap sesiapa sahaja yang melemparkan tuduhan tidak berasas. Lembaga Pengarah 1MDB juga perlu mengambil tanggungjawab bersama dan bersedia menghadapi tindakan undang-undang sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kecuaian atau penyelewengan dalam urusniaga 1MDB.

Lembaga Pengarah perlu memberikan penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan. Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat. Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.


TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri



Site Meter