Showing posts with label Tan Sri Muhyiddin Yassin. Show all posts
Showing posts with label Tan Sri Muhyiddin Yassin. Show all posts

Wednesday, 29 June 2016

UMNO - Najib KOYAK diSemporna


Saksikan video yang dirakam ketika himpunan pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Semporna. Kita tahu sebelum ini bahawa dalam himpunan ini Umno Semporna ditalkinkan oleh ahli dan pimpinan bahagian yang sudah tidak percaya lagi kepada Najib Razak.

Sebenarnya Najib sudah koyak di Semporna. Saksikan video di-atas sekali lagi.

Rupanya orang Semporna lah yang benar-benar bersemangat pahlawan dan keberanian mereka menongkah arus seharusnya menjadi teladan kepada ramai (terutamanya ahli, pemimpin serta penyokong) yang masih berpeluk tubuh walau parti, kerajaan dan negara mereka sedang dirogol oleh penyamun dan kuncu-kuncunya. 

Siapa lagi yang berani kerana benar, seperti Semporna?


p/s Satu lagi himpunan besar-besaran di Istana Johor ?




Tuesday, 28 June 2016

UMNO bunuh diri ?

Sepatutnya rombakan kabinet yang diumumkan oleh Najib Razak semalam menjadi berita utama tetapi kemelut dalaman Barisan Nasional, khususnya Umno, lebih menonjol dan meledak menjadi berita utama. 

Barisan Nasional Sarawak menerima tamparan hebat dalam rombakan kabinet kali ini kerana satu jawatan menteri dirampas dari BN Sarawak yang masih meraikan kemenangan besar dalam pilihanraya negeri baru-baru ini. 

Cara Najib Razak menghargai sumbangan BN Sarawak adalah agak pelik dan sukar difahami umum, terutamanya pemimpin dan rakyat Sarawak yang bertungkus lumus memenangkan BN.

Perdana Menteri yang diselubungi skandal 1MDB dan salahlaku jenayah pula menerima tamparan apabila Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah 'berundur' dari kabinet. 

Husni yang memegang beberapa jawatan tinggi dalam Umno dan BN juga turut meletakkan semua jawatan parti dan BN dengan serta merta menerusi kenyataan ringkas yang dikeluarkan setiausaha politik beliau sejurus selepas Najib mengumumkan rombakan kabinet.
Kenyataan Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin, Mantan Setiausaha Politik Menteri Kewangan II, Dato' Seri Husni Hanadzlah.

Dato' Seri Husni Hanadzlah mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Malaysia, Bendahari Agung Barisan Nasional, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO  Negeri Perak, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Tambun.

Sekian.

27 Jun 2016

Laporan berita - Sinar Harian 

Kenapa seorang pemimpin yang begitu lama berkhidmat didalam parti dan kerajaan bertindak meletakkan semua jawatan yang disandang dalam masa kurang 60 minit selepas pengumuman rombakan kabinet?

Seperti lazim dalam budaya politik kotor masakini sudah terdapat cubaan untuk memperlekeh dan memperkecilkan khidmat Husni  sebagai Menteri Kewangan II namun retak sebenar dan cerita disebalik tabir mengapa beliau 'berundur' juga telah mula keluar. 

Sebenarnya kenapa Husni 'berundur' ? Persoalan ini akan terjawab dalam jangkamasa terdekat.  

Sedang penyingkiran Husni menjadi topik hangat Umno Najib menerima satu lagi tamparan hebat dari Semporna, Sabah. 





Pengerusi Tetap Umno Bahagian Semporna bersama seluruh Jawatankuasa Bahagian, bersama-sama TIGA RATUS Ketua Cawangan didalam bahagian Semporna bertindak meletakkan jawatan dan keluar dari Umno beramai-ramai dalam satu majlis ringkas. 

Umno Semporna telah terbubar dengan sendirinya apabila seluruh ahli jawatankuasa bertindak keluar parti.

Majlis letak jawatan dan keluar ramai-ramai Umno Semporna itu adalah ekoran kehilangan kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Umno yang diterajui Najib Razak. 

Menurut seorang (bekas) pemimpin kanan bahagian Semporna perletakan jawatan dan tindakan keluar Umno semalam hanya langkah permulaan. 

"Bila Majlis Tertinggi bertindak kuku besi tidak mahu mengikut peraturan dan perlembagaan maka kami tiada pilihan. Orang Semporna ada maruah bukan seperti Najib dan kuncu-kuncunya disana. Selepas ini beribu ahli Umno disini akan ikut serta".

"Kami sudah tidak percaya pada presiden dan majlis tertinggi. Umno ini sudah jadi serupa syarikat persendirian milik individu tertentu. Ahli Umno tidak boleh berdiam diri," tambah pemimpin muda itu. 

Tindakan drastik pimpinan Umno Semporna ini tercetus dengan penggantungan keahlian ketua bahagian mereka Datuk Seri Shafie Afdal yang juga Naib Presiden Umno. Shafie juga adalah antara individu yang bertanggungjawab membawa Umno ke Sabah pada tahun 1990. 

Manakala Shafie digantung keahlian, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Mentri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir telah dipecat terus dari Umno tanpa dipanggil untuk membela diri. 

Muhyiddin dan Mukhriz telah menyatakan bahawa Majlis Tertinggi telah membelakangkan perlembagaan parti kerana gagal mematuhi proses pemecatan yang termaktub didalam perlembagaan Umno.

Siapa pula yang akan Umno gantung selepas ini?


p/s Husni adalah ketua bahagian Umno Tambun (Perak) yang seharusnya mengenali 1MDB secara lebih dekat dan mendalam. 



Saturday, 25 June 2016

Kepada Allah saya berserah - Muhyiddin Yassin


KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya. 

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara. 

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba. 

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini. 

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah s.w.t terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
25 Jun 2016

Umno Pagoh tolak Najib

Datuk Seri Najib Razak yang harus ditendang keluar dari Umno kerana merosakkan parti keramat itu, bukannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Secara kesimpulan itu pendapat Umno Bahagian Pagoh yang bersidang hari ini. 

Umno Pagoh juga telah membuat pendirian berdiri teguh dibelakang Muhyiddin Yassin dan menolak keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk memecat Timbalan Presiden Umno itu dari parti kerana tindakan MT tidak mengikut perlembagaan dan peruntukan dalam parti.

Umno Pagoh juga sekali lagi memperingatkan pimpinan pusat bahawa yang melakukan salahlaku dan jenayah yang amat memalukan parti, kerajaan, negara dan rakyat adalah presiden parti dan bukannya pemimpin/ahli lain.

Yang jelas Umno Pagoh memberi amaran - Biar apapun berlaku, UMNO Pagoh akan terus padu kerana kami sayang UMNO Johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor.

Berikut adalah kenyataan penuh Umno Bahagian Pagoh dari Pekembar bertarikh 25 Jun 2016. 


KENYATAAN MEDIA
UMNO BAHAGIAN PAGOH

UMNO Bahagian Pagoh yang bermesyuarat pada hari ini 25 Jun 2016 yang dipengerusikan oleh YB. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh memutuskan 
MENOLAK keputusan MT memecat YB. Tan Sri Muhyiddin berdasarkan perkara berikut :-

1.  Tidak mengikut prosedur yang sepatutnya mengikut saluran yang berperingkat  seperti yang termaktub dalam perlembagaan Parti (Fasal 20 Disiplin). MKT dan Perlembagaan UMNO disalahguna oleh Presiden dan mengenepikan amalan demokrasi dalam UMNO. YB Tan Sri Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak awal penggantungannya.

2. Tan Sri Muhyiddin telah dipilih Timbalan Presiden UMNO dan  Ketua UMNO Bahagian Pagoh  oleh ahli Parti seluruh Negara makanya tindakan MT telah mengkhianati ahli UMNO. YB. Tan Sri Muhyiddin tidak diberi peluang dan dinafikan hak untuk berucap dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Parti. Oleh yang demikian, beliau terpaksa menggunakan pentas NGO untuk pejuangan ini. 

3. YB. Tan Sri menyatakan masalah salah laku / jenayah yang dilakukan oleh Presiden berdasarkan daripada laporan yang berintegriti daripada Agensi Kerajaan seperti bekas Peguam Negara, Bekas Gabenor Bank Negara dan SPRM. Isu ini masih terus didedahkan di peringkat Antarabangsa dan tiada penghujungnya. Laporan PAC selari dengan apa yang disuarakan oleh YB Tan Sri Muhyiddin seperti membubarkan Lembaga Penasihat 1MDB dan sebagainya.

4. YB. Tan Sri menegur Presiden adalah untuk memperkukuhkan Parti bukan untuk kepentingan peribadi.Beliau mengambil tanggungjawab mempertahankan Parti dan imej negara . Beliau tidak pernah memburukkan parti dan bertindak untuk memastikan parti diperkasakan.

5. Sebahagian besar UMNO Cawangan dalam Pagoh ( 103 cawangan daripada 106 Cawangan ) telah melahirkan rasa kekecewaan terhadap Presiden Parti yang bertindak merosakan parti terutamanya isu 2.6b dan 1MDB. Sebahagian besar menyokong Tan Sri Muhyiddin dan memutuskan Presiden Parti berundur .

6. Tindakan MT memecat YB Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puashati kepada Ahli UMNO Bahagian Pagoh dan merosakkan perpaduan serta keutuhan yang selama ini menjadi kekuatan UMNO Bahagian Pagoh. Pemecatan ini berlaku di bulan Ramadan dan kita merasai sepatutnya pemimpin mewujudkan perpaduan dikalangan ahli parti.

7. UMNO Bahagian Pagoh merasakan bangga dengan perjuangan YB. Tan Sri Muhyiddin dalam menegakkan kebenaran dan terus istiqamah dalam perjuangannya. 

UMNO Pagoh akan terus berdiri teguh bersama YB. Tan Sri Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin dalam perjuangannya dalam menegakkan kebenaran.
Biar apapun berlaku, UMNO Pagoh akan terus padu kerana kami sayang UMNO Johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor.

Berani Kerana Benar



Tuesday, 12 April 2016

1MDB - Dimana maruah Najib Razak ?

Jika Najib seorang yang bermaruah, dia sepatutnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin


KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN BERHUBUNG LAPORAN PAC MENGENAI 1MDB

1. Saya telah tegaskan dari awal lagi bahawa penubuhan 1MDB adalah tidak perlu. Dengan struktur modal hanya RM1 juta dan hutang RM42 bilion, model perniagaan 1MDB tidak mapan dan akhirnya menjadi beban kepada negara. Saya juga telah menasihati Dato’ Seri Najib supaya beliau tidak menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB kerana ia tidak wajar. Saya menyatakan agak luar biasa sebuah syarikat mempunyai Lembaga Penasihat.

2. Saya juga pernah menzahirkan kebimbangan saya mengenai masalah aliran tunai syarikat yang amat teruk sehinggakan tidak mampu membayar hutang. Juga mengenai pelaburan yang mencurigakan tanpa dibuat due diligence sebelum perjanjian dimaterai.

3. Saya juga mempersoalkan pelan rasionalisasi 1MDB yang belum tentu dapat ditunaikan. Malah penjualan aset-aset 1MDB tidak menjamin boleh menyelesaikan hutang-piutangnya yang bukan semakin berkurang tetapi meningkat kepada RM50 bilion. Saya juga telah meminta seluruh ahli Lembaga Pengarah dipecat dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Baru kini mereka meletak jawatan.

4. Laporan PAC mengesahkan segala pandangan dan kebimbangan saya mengenai 1MDB. Najib nampaknya bersedia menerima laporan PAC, tetapi malangnya dia telah menghukum saya apabila saya menyuarakan hal yang sama di dalam kabinet. Hari ini penyokong-penyokong Najib mencanang bahawa nama Najib telah dibersihkan oleh PAC dan meminta rakyat terus bergerak ke hadapan dengan melupakan episod hitam penyelewengan 1MDB. Mana mungkin? Berapa kali dalam laporan PAC disebut Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, iaitu Najib.

5. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara  (PAC) mengenai 1MDB tidak membebaskan Najib daripada dakwaan penyelewangan. Sebaliknya laporan PAC mendedahkan mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Najib terbabit secara langsung membuat keputusan-keputusan penting berkaitan komitmen kewangan syarikat, termasuk pelaburan. Justeru, tidak hairanlah sepertimana yang dilaporkan oleh PAC, pihak pengurusan 1MDB banyak membelakangkan arahan Lembaga Pengarah syarikat dalam melaksanakan usahasama dan pelaburan kerana kuasa tersebut terletak di tangan Perdana Menteri. 

6. Antaranya ialah keputusan Lembaga Pengarah meluluskan pemindahan sebanyak USD1 billion ke dalam akaun bank syarikat usahasama 1MDB Petrosaudi Ltd. Pihak pengurusan hanya memindahkan sebanyak USD300 juta ke dalam akaun bank 1MDB Petrosaudi Ltd, manakala baki sebanyak USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited milik Taek Jho Low, iaitu kenalan rapat Najib.

7. Sepertimana yang dilapor dalam hansard prosiding PAC, mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral mengesahkan pemindahan wang berjumlah USD1 bilion untuk usahasama dengan PetroSaudi Ltd telah mendapat kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri. Saya percaya pihak pengurusan 1MDB juga menerima arahan daripada Perdana Menteri dalam membuat keputusan-keputusan pelaburan berisiko tinggi yang tidak masuk akal. Antaranya ialah keputusan untuk melabur sejumlah USD2.318 bilion dalam Segregated Portfolio Company (SPC) melalui Bridge Global Absolute Return Fund SPC, iaitu sebuah syarikat yang baru sebulan ditubuhkan, tiada lesen sebagai pengurus dana dan tiada pengalaman untuk menguruskan dana yang besar. Begitu juga dengan dana berjumlah USD3 bilion yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan TRX tetapi telah dipindahkan kepada 1MDB sebanyak USD 1 bilion, kepada 1MDB Energy Ltd sebanyak USD 28.85 juta, kepada Brazen Sky Ltd sebanyak USD 1.5 juta dan pelaburan di luar negara sebanyak USD1.58 billion.

8. Penyelewengan dalam 1MDB telah menyebabkan syarikat ini gagal menjana pendapatan yang mencukupi untuk membayar hutang. Malah 1MDB terpaksa meminjam wang untuk membayar hutang yang telah meningkat secara mendadak daripada RM5 bilion pada tahun 2009 kepada RM50 bilion pada tahun 2016. 1MDB memerlukan RM3 bilion setahun untuk membayar faedah ke atas hutang sahaja. Dengan kebanyakan aset 1MDB telah dijual dan pelaburan yang mencurigakan, berkemungkinan besar kerajaan terpaksa menanggung segala hutang syarikat. Saya amat bimbang beban onar 1MDB akhirnya akan terpaksa ditanggung oleh rakyat.

9. Antara skop laporan PAC ialah untuk menentukan samada wang hasil pelaburan 1MDB di Cayman Islands berjumlah USD2.318 bilion sudah dibawa balik ke Malaysia. Malangnya, PAC gagal menyatakan perkara ini dengan jelas. Tidak dapat juga dipastikan ke mana perginya wang USD700 juta dan USD330 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Good Star Limited milik Jho Low; USD3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Limited; USD940  juta dalam bentuk 'unit' yang dikatakan disimpan dalam Bank BSI di Singapura; dan USD1.56 bilion yang dilabur dalam 1MDB Global Investments Ltd. Kesemuanya berjumlah USD7 billion (RM28 billion).

10. Terbaharu, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi menafikan syarikat tersebut atau unitnya Aabar Investment PJS telah menerima USD3.5 bilion daripada 1MDB menerusi Aabar BVI sepertimana yang dilapor kepada PAC. IPIC juga menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan 1MDB. Ini suatu pendedahan yang amat memalukan. Ia suatu penipuan. Jika IPIC tidak menerima sebarang bayaran daripada 1MDB, ke mana perginya wang ini? Kegagalan untuk memastikan ke mana perginya wang ini mengukuhkan lagi pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB sejak dari awal lagi adalah satu skim untuk menipu. 

11. Jadi kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri yang menganggap penyelewengan 1MDB telah selesai dan namanya telah dibersihkan, seraya mengajak rakyat supaya bergerak ke hadapan, janganlah anda cuba bersandiwara atau mengalihkan isu. Rakyat tidak akan lupa puluhan bilion wang negara telah diseleweng. Orang yang mencuri ayam pun ditangkap dan didakwa. Masakan individu yang mencuri puluhan bilion wang negara terlepas begitu sahaja?

12. PAC telah memperakukan supaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral, disiasat oleh pihak berkuasa. Saya menggesa supaya pihak berkuasa segera membuat siasatan dan Datuk Shahrol mestilah menyatakan perkara yang sebenar. Siasatan mengenai aliran keluar wang 1MDB yang masih belum terjawab juga perlu diteruskan.

13. Tanpa memperkecilkan laporan PAC, penyiasatan yang dijalankan ke atas 1MDB tidak konklusif. T maklumat-maklumat penting berkaitan pelaburan luar negara yang tidak dapat ditentukan kesahihannya. Apa lagi ia telah menyebabkan kerugian bernilai berbilion ringgit kepada IMDB seperti usahasama dengan Petrosaudi. Sebenarnya Najib bertanggungjawab sepenuhnya di atas penyelewengan 1MDB. Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang berkuasa membuat keputusan berkaitan komitmen kewangan syarikat, dia tidak boleh mencuci tangan dengan meletakkan semua kesalahan ke atas Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan syarikat.

14. Gesaan saya selama ini supaya Najib meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ternyata berasas. Mana pernah berlaku dalam sejarah negara kita seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi sebuah syarikat awam. Hal ini telah diakui oleh PAC dalam laporannya yang membuat perakuan supaya Lembaga Penasihat bersama Artikel 117 M&A syarikat dimansuhkan.

15. Namun, pemansuhan Lembaga Penasihat 1MDB sahaja tidak memadai. Najib ialah orang yang terlibat secara langsung dalam penyelewengan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat ini menanggung beban hutang yang besar dan kerajaan terdedah kepada risiko hutang RM20 bilion. Jangan pula nanti ada tindakan bail out oleh kerajaan. 

17. Penyelewengan 1MDB amat jelas. Jika Najib seorang yang bermaruah, dia sepatutnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

MUHYIDDIN YASSIN
12 APRIL 2016



Saturday, 27 February 2016

KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan.

Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.

Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu Presiden. Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?

Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden.

Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO.

Hari ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden. Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden.

Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini. Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang seluas-luasnya kepada lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih pemimpin-pemimpin utama parti.

Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli, malah majoriti rakyat, diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT semata-mata untuk mempertahankan seorang individu yang terpalit dalam skandal rasuah dan penyelewengan yang amat memalukan.

MT gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma RM2.6 bilion yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau. MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib. Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat.

Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan Peguam Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!

Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya.

MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri saya daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan UMNO dan negara.

Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui saya mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya. Mereka meminta saya melalukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib. Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan UMNO dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.

Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka. Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya.

Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam UMNO? Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk menyatakan yang hak dan menentang yang batil? Telah leburkah semangat perjuangan dalam diri pemimpin UMNO? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah nafsu kuasa yang penuh muslihat dan tipu daya?

Barangkali sistem nilai dalam UMNO telah punah. Mereka yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, tetapi kepentingan diri. Akibat daripada ini UMNO akan rosak dan ditolak oleh rakyat.

Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas. Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup. Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan.

Najib juga sedang mengukuhkan kuasanya. Peguam Negara memberikan alasan paling tidak munasabah untuk menolak pendakwaan ke atas Najib walaupun mempunyai bukti yang kukuh. Hanya kerana dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara tidak berani mendakwa Najib. Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa. Akta Majlis Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.

Dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan segalakuasa yang
ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik. Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baharu.

Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan. Oleh kerana Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasanya di bawah Perlembagaan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, maka sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri boleh terlepas daripada pendakwaan jenayah dengan hanya menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya melucutkan jawatan Peguam Negara.

Jika Peguam Negara bukan seorang yang berani, maka Perdana Menteri akan menjadi seorang yang amat berkuasa dan kebal di sisi undang-undang. Dia boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja jenayah dan terlepas daripada sebarang hukuman. Ini bukanlah sesuatu yang adil malah amat bertentangan dengan prinsip bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.

Selain itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan Polis Di-Raja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan fungsi masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun. Peranan mereka di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara mesti diperkukuhkan. Kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk membolehkan mereka bertindak secara bebas dan telus.

Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita. Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.

Saya menghargai semua pihak yang menyatakan sokongan untuk terus berjuang bersama saya. Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah lebih awal menyatakan sokongan kepada saya. Kepada kedua-dua mereka saya ucapkan terima kasih. Kepada pemimpin akar umbi UMNO terutamanya Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang berani berkata benar saya ucapkan tahniah. Saya juga amat menghargai pendirian UMNO Pagoh yang tidak gentar mengharungi badai gelombang bersama saya. Marilah kita terus berjuang!

Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia.  Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.

Allahu Akbar!
MUHYIDDIN YASSIN
27 Februari 2016

Tuesday, 13 October 2015

Keranamu Malaysia



The move to defend and protect this nation from thieves and traitors was basically reinforced and rejuvenated by yesterday's coming together of our statesmen and leaders. 

The move by stalwarts to set aside all other differences and stand together, is purely to safeguard the best interests of the nation and her people. It is because of Malaysia, for Malaysia.

This is not about politics. This is about protecting our nation and her future together with that of our coming generations of Malaysians.

This is not about politics. This is about standing up to save a nation that is in a critical situation and risk sliding into a full blown crisis if we don't get out of the 'tidak apa' attitude and stop the rot. 

This is not politics. This is not about overthrowing a government. 

This is about protecting our beloved nation from thieves and traitors. This is about removing a Prime Minister / Finance Minister who has clearly abused his position and committed blatant acts of criminal breach of trust (CBT). (Sue me and I'll explain this in detail)

This is just about saving our beloved nation from a criminal who has hijacked the Prime Minister of Malaysia's position. 

We must free this country from Najib Razak and his small group of goons who are raping Malaysia from all angles.    

Keranamu Malaysia!  


Monday, 12 October 2015

KENYATAAN MEDIA BERSAMA


Penahanan peguam Matthias Chang dan sebelum ini anak guamnya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012, adalah satu penyalahgunaan kuasa serta tindakan terdesak untuk mendiamkan pengkritik. Penggunaan SOSMA untuk menahan kedua-dua individu ini juga adalah bertentangan dengan semangat dan tujuan Akta ini diluluskan oleh Parlimen.

Amatlah malang bagi rakyat Malaysia apabila tindakan tersebut diambil oleh pihak berkuasa, mesej yang sampai kepada rakyat ialah apabila seseorang melaporkan berlaku kesalahan, orang yang membuat laporan akan ditangkap.

Pada akal yang sihat, tindakan ini juga memperlihatkan apabila ada pihak yang didakwa melakukan kesalahan dan apabila laporan dibuat terhadapnya, apa jua peruntukan undang-undang yang ada akan digunakan untuk menutup kesalahan pihak yang didakwa.

Tidakkah amat memalukan apabila seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak berusaha membuktikan kebenaran ataupun “his innocence” tetapi sebaliknya orang yang melaporkan kesalahan ditahan.

Oleh kerana tidak ada undang-undang yang dapat digunakan untuk menahan dan menangkap orang yang membuat laporan, maka digunakan satu undang-undang yang digubal untuk tujuan memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam serta memperuntukkan satu hukuman yang berat untuk membuat tahanan dan tangkapan.

SOSMA yang diperbuat menurut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah khusus untuk menghalang sebarang tindakan  atau ancaman oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia:

1)​untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;

(2)​untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;

(3) ​yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;

atau

(4)​untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang.

Matthias Chang adalah peguam yang mengiringi Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan mengenai dakwaan salahlaku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan di luar Malaysia. Tindakan ini tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara dan tidak boleh dianggap sebagai suatu ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam yang dilindungi oleh SOSMA.

Malahan laporan-laporan yang dibuat oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah mengikut lunas-lunas demokrasi serta hak yang dijamin oleh mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Justeru, kami menegaskan bahawa penahanan Matthias Chang dan Khairuddin Abu Hassan di bawah SOSMA adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa yang jelas bercanggah dengan tujuan undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen.

Ia menyekat hak dan kebebasan individu untuk mengambil suatu tindakan yang sah dalam sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Apatah lagi, YAB Perdana Menteri sendiri ketika membentangkan Rang Undang-Undang SOSMA 2012 di Dewan Rakyat pada 16 April 2012 memberikan jaminan bahawa setiap individu “bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan”. Malahan, beliau berjanji “tidak ada sesiapa akan dihukum hanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara”.

Berdasarkan janji ini, maka kedua-kedua warganegara ini mestilah dibebaskan serta-merta dan pihak berkuasa memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah SOSMA hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat dan kritikan serta mengambil apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.


YABhg Tun Dr Mahathir Mohamd
YABhg Tun Dr Ling Liong Sik 
YB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj Mohd Yassin
YB Datuk Seri Shafie Apdal
YBM Tengku Razaleigh Hamzah
YBhg Tan Sri Ong Tee Keat 
YBhg Tan Sri Sanusi Junid

Wednesday, 7 October 2015

1MDB bukan kebal - MUHYIDDIN


Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Titah yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad  semalam menunjukkan keprihatinan DYMM Raja-Raja terhadap kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

DYMM Raja-Raja pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ianya melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara. Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara. Titah DYMM Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.

Oleh kerana DYMM Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan. Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu YAB Perdana Menteri sendiri. 

Beliau mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak. Lebih penting lagi, jika hasil siasatian mendapati  terdapat pihak-pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB. Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada bulan Ogos yang lalu. 

Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.

Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis. Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

Mengambil semangat titah DYMM Raja-Raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai dan menyerahkan  hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. 

Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB. Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. 

Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan. Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala. Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB. Yang terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB. 

Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme. Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan? 

Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu. Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara.

Memandangkan DYMM Raja-Raja telahpun bertitah menggesa kerajaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit, maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali. Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.

Malaysia adalah sebuah negara yang amat dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan diyakini oleh para pelabur dan pedagang di seluruh dunia. Janganlah kita biarkan kemelut 1MDB mencemarkan nama baik Malaysia. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Oleh yang demikian, amatlah wajar bagi kerajaan dan pihak berkuasa negara kita menjunjung sepenuhnya titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO

7 Oktober 2015






Wednesday, 9 September 2015

Timbalan Presiden Umno selamat, Presiden Umno ikut 'lorong tikus'


Antara pendukung UMNO yang juga penyokong tegar Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Pagoh yang menanti dengan seribu persoalan akan perkembangan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn PWTC petang tadi.
                                 
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang tadi yang berlangsung selama lebih kurang tiga jam dari pukul tiga petang nampaknya hanya satu lagi 'mesyuarat biasa' MT. 

Mesyuarat MT pada hari ini akhirnya berjaya diadakan, setelah ditangguh dua kali sejak penyingkiran Timbalan Presiden Umno dari kerajaan. 

Segala desas desus bahawa Presiden Umno akan dengan berani mengambil peluang ketika mesyuarat MT hari ini untuk menyingkirkan Timbalan Presiden bersama-sama pemimpin tertinggi lain yang tidak sehaluan dengan beliau juga ternyata tidak kesampaian. 

Presiden bukan sahaja tidak berani berbunyi tentang tindakan ke-atas sesiapa malah Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga tidak berani melalui pintu masuk utama Menara Dato Onn ketika menghadiri mesyuarat petang tadi. 

Yang tertunggu-tunggu di pintu masuk utama Menara Dato Onn PWTC sebelum dan selepas mesyuarat MT UMNO petang tadi hanya ahli Umno dan para jurugambar yang agak kecewa bila diberitahu bahawa Najib telah keluar dan terus meninggalkan PWTC melalui laluan alternatif atau 'lorong tikus'. 

Mungkin tindakan Mohd Najib menggunakan laluan 'lorong tikus' adalah sifat kepahlawanan yang tidak diketahui umum sebelum ini. 

Sementara itu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melangkah keluar dari Menara Dato Onn disambut meriah dengan sorakan serta nyanyian bersemangat ratusan penyokong Umno dari Bahagian Pagoh serta seluruh negeri Johor.
Masih segar dalam ingatan - Pada tahun 1998 selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang membuat keputusan menyingkir Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden Umno, Presiden Umno ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar pulang menaiki helicopter dari atas Menara Dato Onn kerana situasi penyokong Anwar diperkarangan PWTC sudah menjadi ganas. 

Pihak keselamatan berulangkali menasihatkan Dr Mahathir agar tidak turun kebawah dari aras 38 tetapi kerana berpegang teguh kepada prinsip #beranikeranabenar dan dengan sifat bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat MT pada malam yang bersejarah itu, Dr Mahathir tetap turun dan melalui jalan utama ke kenderaan beliau. 

Ratusan penyokong Anwar memang bertindak ganas dan membaling pelbagai macam objek kearah Dr Mahathir serta beberapa ahli MT yang berani melangkah keluar bersama-sama beliau. 

Pihak Polis melindungi Dr Mahathir serta ahli-ahli MT yang lain, termasuk Tan Sri Rafidah Aziz yang berani berhadapan dengan ratusan penyokong yang agak liar, dan mengiringi kenderaan mereka keluar dengan selamat. 

Presiden Umno, malah Ketua Wanita pun, tidak menggunakan 'lorong tikus' untuk melarikan diri dari ahli UMNO ketika itu.


P.S. Sekadar mengimbas kembali zaman kegemilangan Umno dibawah pemimpin yang #beranikeranabenar

Dibawah adalah gambar-gambar yang sempat dirakam diperkarangan Menara Dato Onn petang tadi. 
















Wednesday, 26 August 2015

Terima Kasih KHAIRY JAMALUDDIN


KENYATAAN MEDIA
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

26 OGOS 2015

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri. Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan Saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan UMNO, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda UMNO dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state). Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.

Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya menyampaikan kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi. Saya lakukan ini kerana saya sayangkan UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam UMNO sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita. Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan. Seorang Ketua Bahagian di negeri Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti.

Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada UMNO cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam UMNO lebih 40 tahun. Malah, ketika UMNO diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula UMNO di Johor sehingga UMNO kembali kuat dan negeri Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya umum. Saya juga tetap setia bersama parti ketika UMNO menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.

Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan negara. Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO 

Thursday, 20 August 2015

With love from Pontian - Johor Darul Ta'zim



Ikuti ucapan penuh Ketua Bahagian Umno Pontian Datuk Hasni Mohamad dan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika majlis perasmian mesyuarat Umno Bahagian Pontian baru-baru ini. 

Dengar baik-baik, ini mesej kepada mereka yang masih belum berpijak dibumi yang nyata. 

#muafakatmembawaberkat
#jangankhianat

Sunday, 9 August 2015

Menurut biar akal, menentang biar adab - #muafakatmembawaberkat


YAB Datuk Seri Presiden, 
  1. Pada pagi ini, saya hanya ada tiga perkara yang ingin saya sampaikan, sebagai mewakili pendukung UMNO Pasir Gudang. Pertama, pada ketika dan waktu ini, kita harus berlaku benar. Mengakui bahawa parti, tidak berada dalam kedudukan yang sebaiknya.
  1. Pendukung kita di Johor, berada dalam keadaan yang resah. Sangat gelisah dan ramai yang keliru. Isu-isu seperti 1MDB, Felda, kejatuhan nilai ringgit, kos sara hidup dan pelaksanaan GST meniti dari bibir ke bibir kebanyakan ahli dan rakyat Malaysia.
  2. Selain ahli UMNO, rakyat kebanyakan juga semakin keliru, skeptikal, pesimis dan mempersoalkan kewibawaan dan kredibiliti setiap penjelasan dan tindakan kita. Apa jua penjelasan, dilihat tidak memadamkan rasa gelisah dan gundah gulana ini. Malah, semakin mengelirukan. Semua masalah itu sekarang, mula membebani UMNO.
  1. Dan ia membebani UMNO pada saat UMNO berhadapan dengan pelbagai masalah lain. Pada saat UMNO tidak sekuat dahulu. Pada saat UMNO cuba untuk memulihkan dirinya agar menjadi relevan dengan generasi muda. Pada saat UMNO sedang berhempas pulas mencari jalan terbaik bagi mendepani demokrasi Malaysia yang semakin matang.
  1. Justeru, UMNO memerlukan pencerahan dan jalan ke hadapan kepada segala kemelut dan krisis yang melandanya waktu ini. Kerana itulah kami menyatakan sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Presiden agar semua kemelut ini boleh diselesaikan.
  1. Diselesaikan dengan cara yang telus. Diselesaikan dengan cara yang terbaik. Diselesaikan dengan cara yang mengangkat keadilan dan kebenaran. Tidak lebih dari itu.
Nyata bukan sokongan membuta tuli menghalalkan yang HARAM.

Apa kata Khaled Nordin lagi...  


Datuk Seri Presiden,
  1. Kami yakin, Datuk Seri berkongsi pendirian dan rasa seperti kami jua. Tiada siapa lebih utama kepada kita kerana yang menjadi keutamaan UMNO ialah perjuangan untuk menjaga kepentingan bangsa.
  1. Justeru kerana itu, bila Tan Sri Timbalan Presiden digugurkan, UMNO Johor mengambil pendirian untuk menghormati keputusan Perdana Menteri. Kerana UMNO Johor mengambil ketetapan bahawa urusan Kerajaan adalah budi bicara mutlak seorang Perdana Menteri. Ia mesti dihormati dan didukung. Walau pada hakikatnya, ada di kalangan kami yang terluka.
  1. Dan kami juga mengambil ketetapan. UMNO hanya ada satu Nakhoda, iaitu Presiden UMNO dan kita mesti memberikan kepercayaan untuk dia mengemudi bahtera ini.  Tetapi hormat kami tidak akan berkurang pada Timbalan Presiden.
  1. Cara Johor, ialah mendamaikan dan mengajak semua pihak ke arah muafakat kerana semua kita adalah bahagian penting dalam keluarga besar UMNO.
  1. Kerana itu, kita menyeru agar Timbalan Presiden terus dihormati. Mana mungkin kami akan membelakangkan beliau hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri. Persabahatan kami bukan kerana darjat, bukan kerana pangkat, bukan kerana gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat.
  1. Kepada Tan Sri Muhyiddin, harapan kami ialah semoga dapat terus bersama mendukung perjuangan UMNO, memperbaiki bangsa dan agama.
  1. Inilah UMNO Johor. Mementingkan nilai, berbudaya tinggi dan teguh pada prinsip.  Kerana itu, UMNO terus diyakini di Johor. Bak pesan Datuk Laksamana Hang Tuah, menurut biar akal, menentang biar beradap.
Baca ucapan penuh Ketua Bahagian Pasir Gudang yang juga Mentri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin di UMNO JOHOR. 

#muafakatmembawaberkat 


Nota: Nampaknya tahap kesabaran WANITA UMNO semakin tipis. Pasti ramai yang faham akan luahan 'berapi' ini.