Showing posts with label umno pagoh. Show all posts
Showing posts with label umno pagoh. Show all posts

Saturday, 25 June 2016

Umno Pagoh tolak Najib

Datuk Seri Najib Razak yang harus ditendang keluar dari Umno kerana merosakkan parti keramat itu, bukannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Secara kesimpulan itu pendapat Umno Bahagian Pagoh yang bersidang hari ini. 

Umno Pagoh juga telah membuat pendirian berdiri teguh dibelakang Muhyiddin Yassin dan menolak keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk memecat Timbalan Presiden Umno itu dari parti kerana tindakan MT tidak mengikut perlembagaan dan peruntukan dalam parti.

Umno Pagoh juga sekali lagi memperingatkan pimpinan pusat bahawa yang melakukan salahlaku dan jenayah yang amat memalukan parti, kerajaan, negara dan rakyat adalah presiden parti dan bukannya pemimpin/ahli lain.

Yang jelas Umno Pagoh memberi amaran - Biar apapun berlaku, UMNO Pagoh akan terus padu kerana kami sayang UMNO Johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor.

Berikut adalah kenyataan penuh Umno Bahagian Pagoh dari Pekembar bertarikh 25 Jun 2016. 


KENYATAAN MEDIA
UMNO BAHAGIAN PAGOH

UMNO Bahagian Pagoh yang bermesyuarat pada hari ini 25 Jun 2016 yang dipengerusikan oleh YB. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh memutuskan 
MENOLAK keputusan MT memecat YB. Tan Sri Muhyiddin berdasarkan perkara berikut :-

1.  Tidak mengikut prosedur yang sepatutnya mengikut saluran yang berperingkat  seperti yang termaktub dalam perlembagaan Parti (Fasal 20 Disiplin). MKT dan Perlembagaan UMNO disalahguna oleh Presiden dan mengenepikan amalan demokrasi dalam UMNO. YB Tan Sri Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak awal penggantungannya.

2. Tan Sri Muhyiddin telah dipilih Timbalan Presiden UMNO dan  Ketua UMNO Bahagian Pagoh  oleh ahli Parti seluruh Negara makanya tindakan MT telah mengkhianati ahli UMNO. YB. Tan Sri Muhyiddin tidak diberi peluang dan dinafikan hak untuk berucap dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Parti. Oleh yang demikian, beliau terpaksa menggunakan pentas NGO untuk pejuangan ini. 

3. YB. Tan Sri menyatakan masalah salah laku / jenayah yang dilakukan oleh Presiden berdasarkan daripada laporan yang berintegriti daripada Agensi Kerajaan seperti bekas Peguam Negara, Bekas Gabenor Bank Negara dan SPRM. Isu ini masih terus didedahkan di peringkat Antarabangsa dan tiada penghujungnya. Laporan PAC selari dengan apa yang disuarakan oleh YB Tan Sri Muhyiddin seperti membubarkan Lembaga Penasihat 1MDB dan sebagainya.

4. YB. Tan Sri menegur Presiden adalah untuk memperkukuhkan Parti bukan untuk kepentingan peribadi.Beliau mengambil tanggungjawab mempertahankan Parti dan imej negara . Beliau tidak pernah memburukkan parti dan bertindak untuk memastikan parti diperkasakan.

5. Sebahagian besar UMNO Cawangan dalam Pagoh ( 103 cawangan daripada 106 Cawangan ) telah melahirkan rasa kekecewaan terhadap Presiden Parti yang bertindak merosakan parti terutamanya isu 2.6b dan 1MDB. Sebahagian besar menyokong Tan Sri Muhyiddin dan memutuskan Presiden Parti berundur .

6. Tindakan MT memecat YB Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puashati kepada Ahli UMNO Bahagian Pagoh dan merosakkan perpaduan serta keutuhan yang selama ini menjadi kekuatan UMNO Bahagian Pagoh. Pemecatan ini berlaku di bulan Ramadan dan kita merasai sepatutnya pemimpin mewujudkan perpaduan dikalangan ahli parti.

7. UMNO Bahagian Pagoh merasakan bangga dengan perjuangan YB. Tan Sri Muhyiddin dalam menegakkan kebenaran dan terus istiqamah dalam perjuangannya. 

UMNO Pagoh akan terus berdiri teguh bersama YB. Tan Sri Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin dalam perjuangannya dalam menegakkan kebenaran.
Biar apapun berlaku, UMNO Pagoh akan terus padu kerana kami sayang UMNO Johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor.

Berani Kerana Benar