Showing posts with label Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara. Show all posts
Showing posts with label Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara. Show all posts

Tuesday, 12 April 2016

1MDB - Dimana maruah Najib Razak ?

Jika Najib seorang yang bermaruah, dia sepatutnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin


KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN BERHUBUNG LAPORAN PAC MENGENAI 1MDB

1. Saya telah tegaskan dari awal lagi bahawa penubuhan 1MDB adalah tidak perlu. Dengan struktur modal hanya RM1 juta dan hutang RM42 bilion, model perniagaan 1MDB tidak mapan dan akhirnya menjadi beban kepada negara. Saya juga telah menasihati Dato’ Seri Najib supaya beliau tidak menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB kerana ia tidak wajar. Saya menyatakan agak luar biasa sebuah syarikat mempunyai Lembaga Penasihat.

2. Saya juga pernah menzahirkan kebimbangan saya mengenai masalah aliran tunai syarikat yang amat teruk sehinggakan tidak mampu membayar hutang. Juga mengenai pelaburan yang mencurigakan tanpa dibuat due diligence sebelum perjanjian dimaterai.

3. Saya juga mempersoalkan pelan rasionalisasi 1MDB yang belum tentu dapat ditunaikan. Malah penjualan aset-aset 1MDB tidak menjamin boleh menyelesaikan hutang-piutangnya yang bukan semakin berkurang tetapi meningkat kepada RM50 bilion. Saya juga telah meminta seluruh ahli Lembaga Pengarah dipecat dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Baru kini mereka meletak jawatan.

4. Laporan PAC mengesahkan segala pandangan dan kebimbangan saya mengenai 1MDB. Najib nampaknya bersedia menerima laporan PAC, tetapi malangnya dia telah menghukum saya apabila saya menyuarakan hal yang sama di dalam kabinet. Hari ini penyokong-penyokong Najib mencanang bahawa nama Najib telah dibersihkan oleh PAC dan meminta rakyat terus bergerak ke hadapan dengan melupakan episod hitam penyelewengan 1MDB. Mana mungkin? Berapa kali dalam laporan PAC disebut Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, iaitu Najib.

5. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara  (PAC) mengenai 1MDB tidak membebaskan Najib daripada dakwaan penyelewangan. Sebaliknya laporan PAC mendedahkan mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Najib terbabit secara langsung membuat keputusan-keputusan penting berkaitan komitmen kewangan syarikat, termasuk pelaburan. Justeru, tidak hairanlah sepertimana yang dilaporkan oleh PAC, pihak pengurusan 1MDB banyak membelakangkan arahan Lembaga Pengarah syarikat dalam melaksanakan usahasama dan pelaburan kerana kuasa tersebut terletak di tangan Perdana Menteri. 

6. Antaranya ialah keputusan Lembaga Pengarah meluluskan pemindahan sebanyak USD1 billion ke dalam akaun bank syarikat usahasama 1MDB Petrosaudi Ltd. Pihak pengurusan hanya memindahkan sebanyak USD300 juta ke dalam akaun bank 1MDB Petrosaudi Ltd, manakala baki sebanyak USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited milik Taek Jho Low, iaitu kenalan rapat Najib.

7. Sepertimana yang dilapor dalam hansard prosiding PAC, mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral mengesahkan pemindahan wang berjumlah USD1 bilion untuk usahasama dengan PetroSaudi Ltd telah mendapat kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri. Saya percaya pihak pengurusan 1MDB juga menerima arahan daripada Perdana Menteri dalam membuat keputusan-keputusan pelaburan berisiko tinggi yang tidak masuk akal. Antaranya ialah keputusan untuk melabur sejumlah USD2.318 bilion dalam Segregated Portfolio Company (SPC) melalui Bridge Global Absolute Return Fund SPC, iaitu sebuah syarikat yang baru sebulan ditubuhkan, tiada lesen sebagai pengurus dana dan tiada pengalaman untuk menguruskan dana yang besar. Begitu juga dengan dana berjumlah USD3 bilion yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan TRX tetapi telah dipindahkan kepada 1MDB sebanyak USD 1 bilion, kepada 1MDB Energy Ltd sebanyak USD 28.85 juta, kepada Brazen Sky Ltd sebanyak USD 1.5 juta dan pelaburan di luar negara sebanyak USD1.58 billion.

8. Penyelewengan dalam 1MDB telah menyebabkan syarikat ini gagal menjana pendapatan yang mencukupi untuk membayar hutang. Malah 1MDB terpaksa meminjam wang untuk membayar hutang yang telah meningkat secara mendadak daripada RM5 bilion pada tahun 2009 kepada RM50 bilion pada tahun 2016. 1MDB memerlukan RM3 bilion setahun untuk membayar faedah ke atas hutang sahaja. Dengan kebanyakan aset 1MDB telah dijual dan pelaburan yang mencurigakan, berkemungkinan besar kerajaan terpaksa menanggung segala hutang syarikat. Saya amat bimbang beban onar 1MDB akhirnya akan terpaksa ditanggung oleh rakyat.

9. Antara skop laporan PAC ialah untuk menentukan samada wang hasil pelaburan 1MDB di Cayman Islands berjumlah USD2.318 bilion sudah dibawa balik ke Malaysia. Malangnya, PAC gagal menyatakan perkara ini dengan jelas. Tidak dapat juga dipastikan ke mana perginya wang USD700 juta dan USD330 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Good Star Limited milik Jho Low; USD3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Limited; USD940  juta dalam bentuk 'unit' yang dikatakan disimpan dalam Bank BSI di Singapura; dan USD1.56 bilion yang dilabur dalam 1MDB Global Investments Ltd. Kesemuanya berjumlah USD7 billion (RM28 billion).

10. Terbaharu, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi menafikan syarikat tersebut atau unitnya Aabar Investment PJS telah menerima USD3.5 bilion daripada 1MDB menerusi Aabar BVI sepertimana yang dilapor kepada PAC. IPIC juga menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan 1MDB. Ini suatu pendedahan yang amat memalukan. Ia suatu penipuan. Jika IPIC tidak menerima sebarang bayaran daripada 1MDB, ke mana perginya wang ini? Kegagalan untuk memastikan ke mana perginya wang ini mengukuhkan lagi pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB sejak dari awal lagi adalah satu skim untuk menipu. 

11. Jadi kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri yang menganggap penyelewengan 1MDB telah selesai dan namanya telah dibersihkan, seraya mengajak rakyat supaya bergerak ke hadapan, janganlah anda cuba bersandiwara atau mengalihkan isu. Rakyat tidak akan lupa puluhan bilion wang negara telah diseleweng. Orang yang mencuri ayam pun ditangkap dan didakwa. Masakan individu yang mencuri puluhan bilion wang negara terlepas begitu sahaja?

12. PAC telah memperakukan supaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral, disiasat oleh pihak berkuasa. Saya menggesa supaya pihak berkuasa segera membuat siasatan dan Datuk Shahrol mestilah menyatakan perkara yang sebenar. Siasatan mengenai aliran keluar wang 1MDB yang masih belum terjawab juga perlu diteruskan.

13. Tanpa memperkecilkan laporan PAC, penyiasatan yang dijalankan ke atas 1MDB tidak konklusif. T maklumat-maklumat penting berkaitan pelaburan luar negara yang tidak dapat ditentukan kesahihannya. Apa lagi ia telah menyebabkan kerugian bernilai berbilion ringgit kepada IMDB seperti usahasama dengan Petrosaudi. Sebenarnya Najib bertanggungjawab sepenuhnya di atas penyelewengan 1MDB. Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang berkuasa membuat keputusan berkaitan komitmen kewangan syarikat, dia tidak boleh mencuci tangan dengan meletakkan semua kesalahan ke atas Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan syarikat.

14. Gesaan saya selama ini supaya Najib meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ternyata berasas. Mana pernah berlaku dalam sejarah negara kita seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi sebuah syarikat awam. Hal ini telah diakui oleh PAC dalam laporannya yang membuat perakuan supaya Lembaga Penasihat bersama Artikel 117 M&A syarikat dimansuhkan.

15. Namun, pemansuhan Lembaga Penasihat 1MDB sahaja tidak memadai. Najib ialah orang yang terlibat secara langsung dalam penyelewengan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat ini menanggung beban hutang yang besar dan kerajaan terdedah kepada risiko hutang RM20 bilion. Jangan pula nanti ada tindakan bail out oleh kerajaan. 

17. Penyelewengan 1MDB amat jelas. Jika Najib seorang yang bermaruah, dia sepatutnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

MUHYIDDIN YASSIN
12 APRIL 2016



Sunday, 10 April 2016

TEMPO Indonesia fitnah Najib Razak lagi?






Najib Razak serta kuncu-kuncunya boleh cuba dan terus mencuba untuk memperbodohkan umum tetapi tembelang mereka telah pecah. Seluruh dunia sudah tahu siapa yang berkomplot cuba merompak Malaysia dalam senyap. Cubaan yang dibuat dalam senyap tetapi tembelang Najib sudah pecah dan baunya amat busuk sekali.

Kerana kuasa masih ditangan dan kerana kuasa itu boleh menagih sokongan membuta tuli maka Najib masih mencuba tetapi umum sudah terhidu bau yang amat busuk dari tembelang yang pecah. 

Mereka yang masih was-was akan tembelang yang telah pecah itu boleh membaca laporan penuh Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara atau Public Accounts Committee (PAC). 

Ini laporan RASMI PARLIMEN MALAYSIA. Jangan mudah terpengaruh dengan ulasan serta kupasan pemakan dedak tegar. Baca dan fahami sendiri.

Gambar-gambar di-atas adalah laporan terbaru majalah TEMPO dari Indonesia yang akan muncul dipasaran tempatan dalam sehari dua lagi. 

Baca laporan majalah TEMPO yang dilampirkan di-atas. TEMPO dilanggan berjuta pembaca di Indonesia dan Malaysia. 

Busuknya tembelang bukan terhenti setakat Indonesia tetapi orang Indonesia pun sudah mentertawakan Perdana Menteri Malaysia secara terbuka kerana rasuah dan salahguna kuasa. 

Laporan Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara agak jelas walaupun disiapkan bersama pelbagai kekangan. Laporan Jabatan Audit Negara seharusnya lebih terperinci tetapi entah mengapa laporan tersebut telah 'di-sulitkan' dibawah Akta Rahsia Rasmi. 

Ini nasib malang kita kerana seekor kerbau yang membawa lumpur.

Dibawah pula adalah barisan Kabinet Malaysia yang masih bersama Najib Razak walaupun mereka tahu akta, fakta dan undang-undang khusus negara berhubungkait amalan rasuah, salahguna kuasa, pecah amanah serta khianat. 

Siapa diantara mereka yang akan bangun untuk menyelamatkan Malaysia dari sial yang menimpa? 

p/s 

Jangan difikir air pasang sahaja.

  

Friday, 8 April 2016

1MDB - Rakyat tahu


Laporan terbaru Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (Public Accounts Committee) Parlimen Malaysia berhubung siasatan keatas 1MDB telah mengundang pelbagai kupasan dan terjemahan. 

Ramai bertudingan disana sini. Ramai juga yang tuding sesama sendiri. Yang dituding rakyat pula semacam memboloskan diri. 

Apa sudah jadi? Harta disana sini tetapi hutang yang ditanggung 50 billion ringgit, naik lagi (peningkatan hutang RM8 billion). Siapa yang merompak kita?

Laporan jawatankuasa kira kira mungkin telah merungkai bagaimana kita dirompak dan kemungkinan anggaran kerugian kita. 

Yang terdesak telah mula mengupas laporan PAC mengikut selera sendiri dan mencanang untuk membersih diri. Itu tindakan pantas yang terdesak, atau mungkin yang sudah ketakutan.  

Yang merompak wang negara harus berasa cemas dan takut pada ketika ini kerana pengkhianatan adalah satu jenayah yang amat keji. Dikebanyakan negara pengkhianat dihukum mati. Yang bernasib baik dibuang negeri. Pengkhianatan anda sudah diketahui.

Walaupun agak menghampakan laporan PAC telah membuka ruang yang sebelum ini tertutup rapat dari pengetahuan umum. Siasatan PAC terhenti di-anaktangga tetapi percayalah bahawa siasatan peringkat antarabangsa diberapa buah negara di Eropah dan Asia akan membogelkan mereka yang mengkhianati negara kita.

Mereka yang mengkhianati negara harus sedar bahawa rakyat menyaksikan segala tingkah laku serta tipu daya mereka dengan mata luas terbuka. Rakyat sudah lama celik, kalau tidak masakan P.Ramlee boleh merangkum dilema kita hari ini berpuluh tahun yang dahulu.  

Saban hari sebahagian besar rakyat menyaksikan lakonan yang dipersembahkan, dalam keadaan sedar ianya sekadar mainan mereka yang terdesak.

Rakyat tahu. Pendekatan atau tindakan mereka akan krisis nasional ini mungkin berbeza tetapi rakyat tahu negara mereka dinodai pengkhianat. 

Ada yang bertindak untuk menyelamatkan Malaysia, ramai yang menyokong dalam diam dan ada juga yang menanti orang lain bertindak untuk mereka tetapi rata-rata kesemuanya bersetuju bahawa mereka yang bersubahat dengan para pengkhianat juga harus dikenalpasti dan dihukum.

Siapa yang bersubahat dengan pengkhianat yang merompak kita?

Rakyat tahu. 

Kalau tak percaya rakyat kita tahu, celik dan boleh membezakan antara yang benar dan batil, buatlah pilihanraya umum dalam jangkamasa terdekat.  

Rakyat tahu.

p/s 

Negeri Setan yang disebut Allahyarham Tan Sri P.Ramlee harus dipertimbangkan jika pengkhianat dibuang negeri. 

Sementara itu.... 


Gali lubang tutup lubang, pinjam duit bayar hutang (RM50 billion).