Showing posts with label pencuri. Show all posts
Showing posts with label pencuri. Show all posts

Wednesday, 18 January 2017

Apa kata Dr Mahathir ?

Serangan bertali arus puak penegak kebatilan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad bermula sejak bekas presiden Umno itu mendesak agar Najib Razak meletak jawatan sebagai perdana menteri. 

Dr Mahathir menolak Najib kerana anak Tun Abdul Razak itu terlibat secara langsung dalam skandal 1MDB yang menggelapkan duit berbillion ringgit milik kerajaan Malaysia. 

Tidak cukup dengan ratusan juta ringgit duit hutang (jaminan kerajaan) yang digelapkan, tanah milik kerajaan (termasuk Kem TUDM Sungai Besi) juga di gadai menjadi milik orang asing. Stesen penjana elektrik juga tidak terlepas dari kerakusan penyamun.

Rakyat harus ingat bahawa Dr Mahathir membuat teguran terbuka ketika kudis Najib belum bernanah lagi. Amaran Dr Mahathir bukan saja tidak dihiraukan malah beliau dimaki hamun dan dicaci cerca.

Kini kudis Najib bukan saja sudah bernanah malah telah mengeluarkan bau yang amat busuk. Oleh kerana Najib masih memegang jawatan perdana menteri maka kebusukannya terpalit pada negara kita Malaysia. 

Makian dan cacian kuncu-kuncu Najib terhadap Dr Mahathir tidak berjaya menutup atau mengalih perhatian dari kudis yang sudah bernanah dan busuk seperti bangkai.

Malaysia kini masyur dan dikenali ramai kerana skandal 1MDB, rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan PERDANA MENTERI nya sendiri. 

Siasatan jenayah berkaitan skandal Najib Razak ini sedang berjalan dibeberapa negara asing, terutamanya di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura. 

Di Singapura beberapa orang yang terlibat sama telah dituduh dan dijatuhi hukuman penjara dan denda. Keterangan ketika perbicaraan di Singapura telah menimbulkan bukti-bukti yang lebih kukuh akan penglibatan PERDANA MENTERI Malaysia dalam skandal 1MDB dan kecurian duit negara. 

Tahap kebusukan semasa Najib mungkin boleh dijelaskan oleh menteri, pembantu menteri dan pegawai-pegawai  Kerajaan Malaysia yang berada di Davos, Switzerland menghadiri Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pada ketika ini. 

Seperti dijangka Najib Razak tidak menghadiri WEF 2017 di Switzerland pada tahun ini tetapi rakyat Malaysia yang hadir di Davos atas pelbagai kapasiti lain terpaksa menanggung malu akibat skandal 1MDB dan jenayah anak Tun Abdul Razak. 

Menurut seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia dari Davos, "Where is your famous Prime Minister ?", 'Why Malaysians have not kicked him out yet?" dan "What is happening to your country?"  adalah antara soalan yang dilontar apabila diberitahu bahawa beliau berasal dari Malaysia. 

"Saya terpaksa mengelak beberapa temujanji dan makan malam dengan delegasi asing kerana malu. Menteri yang hadir pun cuba mengelak tetapi hampir kesemua orang yang kita temui di WEF termasuk media antarabangsa hanya berminat tentang skandal 1MDB dan penglibatan jenayah perdana menteri dan keluarga beliau," katanya. 

Mungkin seluruh dunia sudah tahu kenapa dan mengapa Najib tidak berani menjejak kaki di bumi Switzerland. Yang buat-buat tak tahu hanya anggota kabinet kerajaan Malaysia, para penyokong mereka dan segelintir pihak berkuasa berkaitan yang jelas bersekongkol dengan penjenayah. 

Najib takut peguam negara Switzerland akan mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau? Kalau tak bersalah kenapa bersembunyi?

Puak penegak kebatilan akan terus mempertahankan penjenayah dan pengkhianat selagi mana mereka dapat memperolehi hasil untuk diri dan keluarga masing-masing. 

Kita jangan terkejut jika puak penegak kebatilan ini sanggup berdebat mengatakan bahawa duit hasil judi, duit yang dicuri dan duit lain yang diperolehi dengan cara haram boleh digunakan untuk menunaikan Haji atau Umrah. 

Jangan terkejut kerana puak ini telah melampaui segala batas dan adab kehidupan. Kalau diberi wang ringgit yang cukup, ibu dan bapa mereka pun akan dijual tanpa segan silu. 

Rakyat Malaysia yang waras dan mampu berfikir dan membezakan antara yang baik dan buruk pastinya tidak boleh diperbodohkan oleh puak penegak kebatilan ini. 

Yang waras harus berusaha untuk menyelamatkan Malaysia. 

Ketika melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia beberapa hari yang lalu, Dr Mahathir telah menggariskan ancaman yang dihadapi serta tindakan yang perlu untuk mengembalikan tanahair kita ke landasan yang betul.

Dr Mahathir berikrar bahawa kerajaan baru yang ditubuh selepas puak penegak kebatilan ditumpaskan akan mencari setiap sen dari duit 1MDB yang dirompak. 

GST yang menjadi beban utama rakyat Malaysia juga akan dihapuskan.

Rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik harus menghayati amanat negarawan ini. Ingat! Dr Mahathir  lahir pada tahun 1925, iaitu 32 tahun sebelum kita mencapai kemerdekaan. - https://youtu.be/jAgO0P63r3c



p/s  Baca juga Rasuah Dan Ibadat Haji 


Wednesday, 7 December 2016

Tersipu ?



Kandungan surat diatas adalah sedia maklum.

Mungkin hanya Tuan Syed Danial Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang tahu cerita disebalik tindakan ini. Mungkin beliau hanya menurunkan tandatangan setelah menerima arahan. Arahan dari siapa?

Rakyat pasti faham Tuan Syed Danial hanya menjalankan tugas tetapi bila dan dimana Majlis Raja-Raja membuat keputusan. Kenapa? 

Siapa sebenarnya yang membuat keputusan ini?

Pastinya rakyat ingin tahu mengapa Majlis Raja-Raja membatalkan jemputan kepada seorang negarawan dan isteri beliau setelah surat jemputan rasmi dihantar. 
Apakah ini sesuatu yang dirancang untuk menghina Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kerana kelantangan Dr Mahathir dalam usaha menyelamatkan Malaysia?

Pastinya rakyat yang waras ingin tahu kenapa seorang negarawan yang berjasa kepada negara dalam pelbagai kedudukan, termasuk kedudukan tertinggi kerajaan sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, dihina sebegini rupa? 

Istiadat di Istana Negara ini pastinya bukan majlis Umno.

Jika ianya majlis dimana Datin Seri Rosmah Mansor mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baru menggantikan suaminya, rakyat mungkin faham kenapa jemputan dan pembatalan ini berlaku tetapi ini Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong. 

Penghinaan ini tidak mungkin datang dari mana-mana istana, termasuk Istana Negara. 

Tidak mungkin Raja Raja Melayu yang disembah dan didokong rakyat jelata sebagai payung negara terjebak dalam muslihat kotor seorang pencuri yang terdesak. Tidak mungkin.

Ekoran penyebaran surat pembatalan jemputan diatas timbul pelbagai persoalan dan pemikiran dihati dan minda rakyat. 

Rata-rata perbincangan di media sosial seperti Twitter dan Facebook serta kumpulan Whatsapp dan Telegram tidak percaya cubaan menghina Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah datangnya dari Dulu Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu. 

Kami mengesyaki ini adalah angkara seorang pencuri yang telah merampas hampir segala kuasa yang ada dalam negara pada ketika ini. 

Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu mungkin tahu siapa pencuri ini dan jenayah yang telah dilakukan terhadap rakyat dan negara bertuah ini. 

Rakyat gusar akan kehilangan tempat berlindung bilamana yang terdesak cuba mengarah dan menguasai Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu . 

Ampun Tuanku. 

Rakyat tahu bahawa Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu tidak mungkin boleh diperkotak-katikkan oleh sesiapa, tetapi rakyat sudah mula gusar.

Ampun Tuanku. 

Apa-apa percubaan untuk 'menggunakan' Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu untuk menyelamatkan diri dari tindakan undang-undang dan menekan suara rakyat mesti dihentikan sebelum ianya melarat. 

Rakyat risau muslihat dan angkara anasir dari luar Istana ini akan mencalar kedudukan dan imej Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu.

Ampun Tuanku. 

Seharusnya pencuri yang harus tersipu dan dinasihatkan agar mengelak kesipuan, bukannya Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah. 

Ampun Tuanku.  


p/s 

Coretan ini tidak bermasuk untuk menghasut atau menghina Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu, Majlis Raja Raja, Tuan Syed Danial atau Institusi Raja Raja Melayu. Sebaliknya ia bermaksud untuk menyampaikan maklumat dan feedback kepada Majlis Raja Raja supaya Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu tidak menjadi mangsa seorang pencuri yang berkuasa.








Wednesday, 7 October 2015

1MDB bukan kebal - MUHYIDDIN


Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Titah yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad  semalam menunjukkan keprihatinan DYMM Raja-Raja terhadap kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

DYMM Raja-Raja pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ianya melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara. Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara. Titah DYMM Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.

Oleh kerana DYMM Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan. Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu YAB Perdana Menteri sendiri. 

Beliau mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak. Lebih penting lagi, jika hasil siasatian mendapati  terdapat pihak-pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB. Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada bulan Ogos yang lalu. 

Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.

Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis. Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

Mengambil semangat titah DYMM Raja-Raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai dan menyerahkan  hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. 

Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB. Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. 

Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan. Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala. Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB. Yang terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB. 

Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme. Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan? 

Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu. Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara.

Memandangkan DYMM Raja-Raja telahpun bertitah menggesa kerajaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit, maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali. Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.

Malaysia adalah sebuah negara yang amat dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan diyakini oleh para pelabur dan pedagang di seluruh dunia. Janganlah kita biarkan kemelut 1MDB mencemarkan nama baik Malaysia. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Oleh yang demikian, amatlah wajar bagi kerajaan dan pihak berkuasa negara kita menjunjung sepenuhnya titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO

7 Oktober 2015






Monday, 17 August 2015

Gerak jarum dari Umno Pontian dan kedangkalan pemimpin

Sedutan ucapan Ketua Bahagian Umno Pontian Datuk Hasni Mohammad ini amat ringkas namun mempunyai mesej yang amat jelas serta tepat pada masanya. Fikir-fikirkan wahai ahli, pemimpin serta orang-orang Umno, sementara anda masih ada sedikit lagi ruang untuk menyelamatkan keadaan yang semakin hari semakin merudum. 

Ketika ekonomi serta nilai ringgit kita meluncur turun  akibat ketirisan keyakinan akan kepimpinan negara masih ada lagi mereka yang bergelar pemimpin mencuba sedaya upaya untuk memperbodohkan rakyat menerusi kenyataan yang amat dangkal lagi jijik. 

Isu RM2.6 Billion - Dari Awal Lagi Rakyat Telah DiPerbodohkan !! 




Saturday, 13 June 2015

Antara kaca dan permata - Jangan BOHONG!


Hayati nasihat yang diluahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin ini. Cuba berfikir secara jelas dan besar kemungkinan anda akan mendapat petunjuk dari Allah.

Pembohongan dan lebih teruk lagi kesediaan kita untuk hidup dalam pembohongan kerana alpa dan terlalu malas untuk menentang kemungkaran akan hanya menghancurkan kita dan negara tercinta ini. 

Ramai yang tidak berani, segelintir lagi melacurkan diri demi wang ringgit, jawatan, anugerah dan sebagainya sehingga pencuri dan pembohong disanjung dan ditatang. Pembunuh pun mungkin diberi permaidani merah. Yang dikeliling tidak peduli jika negara pun digadai.

Yang tidur se-bantal tidak perlu dihurai lagi. Seluruh negara sedar akan penyakit bongkak dan tamak haloba.

Politik ada batasnya. Batas politik adalah apabila tindakan, kelakuan, halatuju dan keputusan dibuat semata-mata kepentingan peribadi, keluarga, rakan-rakan serta tidak berasakan undang-undang dan kepentingan rakyat dan negara. Jauh sekali dari panduan agama. 

Apapun bentuk dan rupa, politik yang menghalalkan pengkhianatan, pembohongan dan rompakan khazanah negara mesti ditentang habis-habisan. Tidak kira siapa, pengkhianat tetap pengkhianat walaupun darahnya berlainan warna.

Kita tidak perlu pemimpin yang tidak peduli jika rumah yang diduduki bersama perlu dibakar hanya kerana ingin terus berkuasa dan menyelamatkan diri dari dihumban ke-penjara.

Pantun dibawah ini mungkin hanya dua kerat tetapi makna-nya amat mendalam dan sangat sesuai untuk kita renungkan bersama disebalik tabiat pemimpin yang sudah kerap bercakap bohong kepada rakyat. 

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri. 

Mungkin dahulu urutan-nya adalah bercakap bohong lama-lama mencuri tetapi kini ada yang mencuri terlebih dahulu sebelum bercakap bohong untuk menipu rakyat. 

Saban hari pelbagai cerita dongeng serta pembohongan direkacipta hanya untuk melencongkan pemikiran rakyat daripada jenayah pencurian khazanah negara. Yang membongkar dihina dan dicerca, si-pencuri pula bermegah mendabik dada. 

Apakah kita rakyat Malaysia ini sudah terlalu hina sehingga tidak mampu membezakan antara kaca dan permata?

Janganlah kita khianati anak-anak kita dengan tindakan bersekongkol bersama pencuri dan pembohong yang sedang riak dengan kuasa dan jawatan. Ingat, berdiam diri tanda-nya setuju.

Bangkitlah sebelum nasi menjadi bubur. 


Site Meter