Showing posts with label polis. Show all posts
Showing posts with label polis. Show all posts

Monday, 1 February 2016

SKANDAL 1MDB - SUDAH-SUDAHLAH TU !



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nampaknya tiada keinsafan langsung di dalam hati Perdana Menteri dalam kemelut jijik yang tercetus akibat kelemahan diri beliau sendiri. Saban hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan episod demi episod pembohongan oleh agen-agen serta para penasihat beliau bagi menutup jenayah jijik yang menjerumuskan negara ini ke dalam kancah penuh keserabutan. Bukan itu sahaja. Imej negara di arena antarabangsa turut terjejas dengan buruk sekali.

Baru-baru ini Peguam Negara tampil mengumumkan keputusan beliau terhadap hasil siasatan SPRM. Kononnya Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan bersabit "wang derma RM2.6 billion" dan penyelewengan wang negara dalam SRC. Saya tidak tahu di mana beliau belajar undang-undang  tetapi bagi orang seperti saya hasil siasatan SPRM itu amat jelas menunjukkan wujud salahlaku jenayah. 

Betapakan tidak, dokumen carta aliran keluar masuk wang dalam SRC dan akaun bank peribadi Perdana Menteri yang dipamirkan oleh Peguam Negara itulah yang turut saya perolehi dan berbincang dengan pihak SPRM sewaktu saya masih memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dulu. Ketika itu saya aktif membantu Taskforce 1MDB yang ditubuhkan khas untuk menyiasat penyelewengan dalam entiti tersebut. Ibarat sudah terang lagi bersuluh. Mengapa dengan mudah Peguam Negara mengenepikan bukti ini. Bukan sekadar RM42 juta malahan berpuluh juta ringgit lagi digubah di dalam akaun ini dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. 

Tidak kah Peguam Negara nampak bukti-bukti ini??? 

Berapa banyak dari wang negara ini yang telah diguna untuk menjelaskan hutang piutang kad kredit PM??? 

Cepat sungguh Peguam Negara dapat membaca hati PM dengan mengatakan bahawa PM tidak tahu menahu asal usul wang SRC itu!!! Jika PM menyatakan bahawa beliau tidak tahu wang tersebut adalah 'Public Fund' atau wang kerajaan mengapa sehingga saat ini pun beliau tidak MENGEMBALIKAN SEMULA wang tersebut kepada kerajaan ??? Ingat ya......bukan RM42 juta sahaja tetapi ada berpuluh juta lagi yang masih belum diisytiharkan.

Saya juga ingin bertanya di sini samada wang berbillion billion yang "didermakan" itu sudah dibayar cukai ataupun belum??? Jika belum, saya mohon LHDN menagih cukai tersebut supaya penderma misteri tersebut sedar bahawa di Malaysia ada undang-undang berkaitan dengan "derma" se macam ini.

Wahai Peguam Negara, ingatlah kuasa mutlak yang diberikan oleh Perlembagaan Negara itu wajib digunakan untuk melindungi kepentingan negara. Bukannya untuk menegakkan benang yang basah!!! Kuasa tersebut bukannya untuk digunakan sesuka hati bagi MELINDUNGI JENAYAH. 

Jika Peguam Negara kurang yakin dengan segala bukti yang telah dikemukakan oleh SPRM maka aktifkan semula Special Taskforce 1MDB yang sekarang ini hanya tinggal nama sahaja. 

Saya menawarkan diri untuk sama-sama tampil membantu taskforce ini menyiasat salahlaku pengurusan 1MDB. Saya amat yakin dengan kejujuran Tan Sri Zeti, Tan Sri Abu Kassim, Tan Sri Gani Patail dan saya sanggup berjumpa Tan Sri Khalid, KPN, untuk mendedahkan banyak bukti lain. 

Sungguh janggal sekali apabila Peguam Negara bertindak mengarah siasatan kes ini dihentikan oleh semua pihak dan failnya ditutup. Amboi amboi amboi !!! Mudah sekali ya tugas dan tanggungjawab Peguam Negara yang baru ini. Mengapa rendah sangat martabat diri??? Siapa kah yang ditakuti........hantu, toyol, iblis, syaitan, puaka ??? 

Saya CABAR Peguam Negara agar bertindak dengan penuh amanah dan jujur supaya memberikan alasan-alasan untuk membuktikan PM tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kes ini.

Menyentuh tentang wang derma RM2.6 billion. Ish...ish...ish... Cukuplah dengan segala pembohongan ini. Mengapa takut sangat nak dedahkan identiti penderma tersebut jika hamba Allah ini benar-benar wujud. Mengapa berdolak  dalik dalam memberi jawapan sehinggakan Timbalan Perdana Menteri pun terpaksa 'masuk daun' untuk 'akun' (slang orang Sabah bagi perkataan 'mengaku') bahawa kononnya beliau telah bertemu dengan wakil penderma tersebut??? 

Sudahlah!!! Jangan perbodohkan orangramai. Fokuskan tugas itu untuk membasmi gejala judi cybercafe dan dadah yang berleluasa hampir di seluruh negara. Sudah berpuluh ribu belia di negara ini yang rosak akhlak akibat ketagihan benda-benda haram ini. Jangan cemar integriti diri sendiri untuk kepentingan politik.

Pendedahan Peguam Negara bahawa sebahagian besar wang "derma Arab halimunan" ini telah dikembalikan  sungguhlah menakjubkan. Sekarang saya ingin bertanya, bolehkah Peguam Negara tunjukkan bukti bagaimana, caramana serta institusi bank mana atau syarikat mana proses pemulangan wang ini dilakukan ??? 

Jika tidak boleh dijelaskan maka wajarlah Peguam Negara segera mengeluarkan arahan kepada SPRM untuk mendapatkan bukti-bukti tersebut di luarnegara menerusi  peruntukan MLAT. Saya amat yakin jejak wang atau money trail ini akan membuktikan bahawa penderma RM2.6 billion itu sebahagian besarnya adalah MITOS yang SENGAJA direka untuk menutup bangkai gajah.

Kepada Perdana Menteri saya ingin menyeru agar bertindak berani sebagai seorang Pahlawan Bugis. Beranikan diri untuk tampil sendiri memberi penjelasan. Bukankah itu salah satu ciri pahlawan??? Sedarlah bahawa diantara sifat2 kepahlawanan jati termasuklah berani bercakap benar....berani menggadai nyawa demi mempertahankan  pertiwi.....tegas melawan kejahatan.....membela orang yang teraniaya..... 

Di antara ciri-ciri PENGECUT pula termasuklah menggunakan oranglain sebagai jurucakap untuk menabur fitnah bagi mengalih tumpuan dari isu ....mengguna harta kekayaan untuk menutup kebenaran......menggunakan duit untuk membeli kesetiaan.....menggunakan agensi kerajaan untuk mengugut dan menggertak pegawai kerajaan......mengikut telunjuk isteri secara membabi buta. 

Sedarlah bahawa sifat2 keji ini dimurkai Allah SWT. Sudahlah tu......sudah cukup kalut keadaan dalam negara masakini. Sampai bila episod penganiayaan ini akan berakhir??? 

Tidakkah ada perasaan keinsafan dan belas ihsan dalam diri apabila melihat negara dalam keadaan begini. Percayalah bahawa orangramai semakin jelik dan meluat melihat telatah pemimpin politik demi pemimpin politik mengeluarkan kenyataan bohong bagi menutup bangkai gajah ini. Kalau kita pergi ke Mekah seminggu sekalipun dosa kita tidak akan terhapus dengan sebegitu mudah.

Ada pihak yang berpandangan bahawa skandal 1MDB ini tidak akan ada kesudahannya kerana PM terlalu kuat pengaruhnya hinggakan Presiden OBAMA sendiri akan menggunakan kuasa veto presiden untuk menghentikan siasatan pihak FBI ke atas kes MONEY LAUNDERING di Amerika. Nonsense !!! Kononnya pihak FBI terpaksa menunggu Presiden Obama mengakhiri tempoh jawatan presidennya pada bulan september depan. Nonsense!!! FBI tetap FBI. Pandai, pandai tupai melompat....

Kepada teman2 saya di dalam media arus perdana saya doakan agar datuk/dato semua dikurniakan Allah SWT kesedaran diri serta dibekalkan kekuatan untuk berani berkata benar. Aamiin. Jangan bertindak berpaksikan sesuatu ideologi yang jelas menyimpang dan sempit. Terimalah hakikat bahawa negara sedang dilanda krisis kepercayaan orangramai akibat perbuatan rasuah dan penyelewengan pemimpin tertinggi kita sendiri. Selagi pemimpin terbabit tidak berani berterus terang maka krisis ini akan berlarutan. Ia tidak ada kena mengena dengan ISIS!!! 

Elakkanlah taktik melaga-lagakan orang Melayu dengan orang Cina. Isu penyelewengan 1MDB ini tidak ada kena mengena dengan cubaan kaum Cina nak memalukan pemimpin Melayu. Majoriti orang Melayu sendiri mahukan penjelasan ikhlas dari pemimpin yang bertanggungjawab. Hentikanlah usaha jahat nak "membeli kesetiaan" akhbar SINAR tu. ...dan kita akan tengok dalam masa terdekat ini samada penyakit BODEK ini akan turut dijangkiti oleh FREE MALAYSIA TODAY

Kepada orangramai saya merayu agar tidak terpengaruh dengan pelbagai cerita2 yang menyentuh peribadi pegawai2 tinggi SPRM yang bakal ditonjolkan oleh agen2 jahat tersebut bagi mengalihkan tumpuan. Ia ditimbulkan dengan niat MENGALIH TUMPUAN dan untuk melaga-lagakan pegawai SPRM. Taktik hina ini hanya layak digunakan oleh manusia yang PENGECUT. 

Agen-agen yang mabuk kuasa dan arak serta "giler"duit ini akan terus bertindak untuk menghakiskan kredibiliti SPRM dengan pelbagai cerita dengan harapan orangramai akan meragui keikhlasan agensi ini. Jangan bimbang RAKYAT BUKAN BODOH.  Agen-agen jahat ini sedia mempunyai KECACATAN pada imej dan diri masing-masing. Yang menghairankan saya ialah ada di kalangan PEMBODEK ini pada suatu ketika dulu pernah mendabik dada lantang mengkritik amalan rasuah dan penyelewengan!!! Tetapi dalam sekelip mata buat U-turn 180 darjah. 

Kepada semua pegawai SPRM saya menyeru supaya jangan sekali-kali takut dengan gertakan/ugutan sesiapapun. Pertahankan kesucian peranan dan tanggungjawab agensi. Jalankan kerja dengan niat yang ikhlas demi kepentingan negara. Contohilah integriti agensi anti rasuah negara jiran kita, Indonesia. Para pegawai KOMISI PEMBERANTASAN KORUPSI di negara tersebut berani dan telus bertindak tanpa memilih bulu. Orangramai dapat merasakan betapa ikhlas SPRM memainkan peranannya untuk menyingkap segala salahlaku oleh pemimpin2 negara. Just carry on with your tasks without fear or favour......rakyat tahu menilai di antara yang baik dengan yang buruk!!!. KIPIDAP DONGIBAB!!!

Bagi diri saya, in syaa allah, saya yakin bahawa tindakan saya ini tidak menyalahi mana2 undang-undang negara. Sebagai seorang pegawai polis saya telah mengangkat sumpah untuk menjalankan kewajipan saya dengan sebaik2nya bagi memenuhi kehendak Akta Polis. 

Peranan dan fungsi utama saya adalah untuk mengesan dan mencegah jenayah. Undang-undang itu sendiri mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat mengenai perlakuan jenayah. 

Jika KPN mendapat arahan dari langit Putrajaya untuk menangkap saya maka saya redha. Hati ini semakin redha apabila mengenangkan Hari Polis 25 Mac depan semakin hampir. Masih kuat lagi semangat di dalam hati ini untuk menyanyikan lagu POLIS SEDIA BERKHIDMAT. Sewaktu dalam lokap nanti saya akan kumandangkan lagu keramat ini.

Semua manusia mempunyai harga untuk dibeli dan dikompromi. Begitulah kata orang tua-tua dulu. Harga bagi diri saya ialah........mengaku sajalah dan bertaubat. 

Sudahlah tu.....

Salam hormat dan GONGXI FA CAI

ABDUL HAMID BADOR
1 Feb 2016

p/s 

Datuk Hamid Bador ialah bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Di-Raja Malaysia yang 'ditamatkan perkhidmatan' dan ditukar ke Jabatan Perdana Menteri secara tergesa-gesa ketika skandal 1MDB meletus.  


Wednesday, 27 January 2016

Siapa percaya ?


Nampaknya sebahagian besar rakyat tidak menerima baik kenyataan serta tindak tanduk Peguam Negara Tan Sri Apandi yang mengarahkan agar SPRM menutup fail-fail siasatan terhadap Najib Razak. 

Letusan perasaan serta pendapat umum di alam maya amat ketara. Jika penyokong, pendukung serta pengampu tegar Najib Razak masih dalam 'denial' atau menidakkan kenyataan ini maka saya saranakan agar diadakan satu pungutan suara kebangsaan yang bebas atau independent national poll. 

Tanya rakyat Malaysia jika mereka mempercayai Najib Razak dan Apandi Ali. Saya fikir sebahagian besar rakyat tahu akan jawapannya tetapi sila adakan pungutan suara ini demi memuaskan hati sendiri, itupun kalau sudah cukup berani berhadapan dengan kenyataan.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah tampil sekali lagi membuat laporan polis (seperti diatas) dan kali ini laporan polis beliau adalah agar pihak berkuasa menyiasat jika Apandi telah melakukan perbuatan jenayah dalam keterujaan beliau untuk membebaskan Najib Razak dari sebarang pertuduhan jenayah. 

Nampaknya ramai yang masih menaruh harapan agar pihak Polis DiRaja Malaysia akan menjalankan tugas demi raja dan negara tanpa apa-apa pertimbangan lain. 

Difahamkan pihak SPRM telah mengesyorkan lebih 20 pertuduhan terhadap Najib dan pegurusan tertinggi SRC International. Bagaimana kesemuanya bebas dari segala pertuduhan? 

Pihak penyiasat SPRM pasti terkejut. Rakyat yang mengikuti perjalanan putar belit RM2.6 billion dalam akaun peribadi dan RM42 juta dari SRC lagi terkejut. 

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM

ISU SRC INTERNATIONAL DAN DANA RM2.6 BILION: SPRM RUJUK KEPUTUSAN PEGUAM NEGARA KEPADA PPO

PENGURUSAN Tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Januari 2016 telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengarahkan SPRM agar menutup kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Pengurusan Tertinggi SPRM memutuskan untuk membentangkan keputusan Peguam Negara kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), salah satu badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009, untuk penilaian dan pertimbangan PPO dan sebuah panel khas yang akan dilantik.

Salah satu terma rujukan PPO ialah memberi pendapat berhubung tindakan kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya.

PPO dianggotai oleh Tan Sri Dr Hamid Bugo sebagai Pengerusi, Tan Sri Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Dato’ Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr. Normah Omar, Dr Sundramoorthy M. Pathmanathan dan Tuan Lim Chee Wee.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

27 JANUARI 2016

Kenyataan terbaru SPRM ini jelas bahawa badan penyiasat rasuah negara ini tidak berdiam diri apabila usaha mereka memerangi rasuah dan salah guna kuasa diperingkat tertinggi pentadbiran negara menghadapi rintangan. 

Kita harus ingat bahawa sebelum kertas siasatan terhadap Najib Razak disampaikan kepada pejabat Peguam Negara satu lagi panel bebas SPRM telah meneliti hasil siasatan badan pencegah rasuah itu. Seharusnya ahli-ahli panel tersebut tahu akan intipati serta butiran sahih.

Mungkin laporan hasil siasatan SPRM terhadap Najib Razak juga telah dipanjangkan kepada Majlis Raja-Raja atau beberapa orang Sultan yang prihatin akan skandal yang melingkari pemimpin politik tertinggi negara. 

Sementara pihak polis menjalankan siasatan terhadap Apandi Ali kita hanya boleh tunggu dan lihat akan reaksi atau tindakan susulan dari Majlis Raja Raja.

Majlis Raja Raja harus mengambil maklum bahawa tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta beberapa agensi tunjang adalah pada tahap yang amat membimbangkan. Keadaan ini tidak sihat untuk negara bertuah ini.


p/s 

Suruhanjaya Siasatan Raja mungkin boleh diadakan, tanpa apa-apa kekangan, hanya setelah Najib berundur atau diundurkan.  



Tuesday, 21 July 2015

1MDB - Najib dah saman akhbar Wall Street Journal?

Kenyataan ini dibuat diperkarangan Masjid Rincing di Semenyih lebih DUA MINGGU yang lalu. Dua minggu telah berlalu, Ramadan pun dan berlalu, Syawal pun sudah dirayakan. Perdana Menteri sudah mengambil apa-apa tindakan keatas akhbar The Wall Street Journal atau belum? 

Laporan Utusan Malaysia ini yang disiarkan beberapa hari selepas kenyataan Perdana Menteri di-atas memberi gambaran seolah-olah Najib telah SAMAN akhbar the Wall Street Journal tetapi rupa-rupanya laporan akhbar atau paparan 'headline' mereka tidak benar. Difahamkan Perdana Menteri belum SAMAN akhbar WSJ. 

Persoalannya kini, kenapa Perdana Menteri Malaysia masih belum menyaman akhbar WSJ yang kononnya telah memfitnah beliau? Ini bukan hanya soal peribadi Najib malah telah menjadi soal maruah negara kerana Najib adalah Perdana Menteri.

Bukankah kita harus berani kerana benar, atau apakah laporan WSJ yang mendedahkan konon-nya wang tunai berjumlah hampir 700 juta Dolar Amerika dimasukkan kedalam akaun bank peribadi Najib Bin Tun Razak itu memang berasas serta benar?

Yang pasti rakyat Malaysia ternanti-nanti akan sidang akhbar Perdana Menteri untuk mengumumkan hasil nasihat peguam-peguam beliau akan tindakan tegas terhadap akhbar The Wall Street Journal. 

Terbaru - Pihak berkuasa telah memulakan tangkapan berhubung siasatan tentang dakwaan penyaluran dana berbillion ringgit ke akaun peribadi Perdana Menteri. 

Siapa seterusnya?



Tuesday, 7 July 2015

KENYATAAN MEDIA SIASATAN PASUKAN PETUGAS KHAS BERKENAAN DAKWAAN DANADISALURKAN KE AKAUN PERDANA MENTERI

KENYATAAN MEDIA 
SIASATAN PASUKAN PETUGAS KHAS BERKENAAN DAKWAAN DANA DISALURKAN KE AKAUN PERDANA MENTERI

Susulan kepada kenyataan media bertarikh 4 Julai 2015, Pasukan Petugas Khas ingin memaklumkan kemajuan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Pasukan ini sehingga kini. 

Perintah pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes ini telah pun dikeluarkan pada 6 Julai 2015. 

Selain itu, Pasukan Petugas Khas telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan. 

Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit. 

Siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.

Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara Malaysia
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
Gabenor Bank Negara Malaysia

Tan Sri Khalid Abu Bakar
Ketua Polis Negara Malaysia
Tan Sri Abu Kassim Mohamed
Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
7 Julai 2015 

Friday, 24 April 2015

Laporan POLIS terhadap Najib Razak

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bekas Naib Ketua Bahagian Batu Kawan yang dipecat dari jawatan Umno atas alasan beliau telah muflis sejurus selepas membuat laporan POLIS dan laporan SPRM berhubung SKANDAL 1MDB tempohari, telah tampil membuat satu lagi laporan POLIS hari ini. 
Laporan terbaru ini adalah lebih khusus.
Selain memohon siasatan ke-atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan merangkap Penasihat Numero Uno 1MDB, Khairuddin juga telah memohon pihak POLIS menyiasat Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamarudin dan President 1MDB Arul Kanda Kandasamy. 
Jangan belit-belit Datuk Seri. Mana wang berbillion ringgit milik Kerajaan Malaysia yang hilang itu?
p/s Sebelum ini, setahu saya, Khairuddin tidak pernah membuat cadangan untuk membina jambatan bengkok dan difahamkan beliau juga tidak membuat laporan-laporan ini kerana ingin anak beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Terima Kasih.

Site Meter

Saturday, 29 September 2012