Showing posts with label najib tun abdul razak. Show all posts
Showing posts with label najib tun abdul razak. Show all posts

Thursday, 10 September 2015

Negara dan rakyat akan dibangsatkan jika kita buta hati

Dipaparkan sekali lagi rakaman Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Pasir Gudang, Johor pada 29hb Ogos yang lalu.

Mungkin ahli serta pemimpin Umno akarumbi mempunyai lebih masa yang terluang pada waktu ini memandangkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dinanti-nanti dengan penuh debaran tempohari pun sudah berlalu. 

Perhimpunan Agung Tahunan Umno akan diadakan dari 8 hingga 12 haribulan Disember nanti. 

Pada waktu ini seluruh dunia terkejut dan tertanya-tanya akan berita-berita berkenaan rasuah, pengubahan dana haram, salahguna kuasa dan tuduhan penipuan yang berhubung kait dengan syarikat kerajaan Malaysia 1MDB tetapi mesyuarat induk parti yang menguasai kerajaan diberitakan sebagai telah berjalan lancar dalam suasana setiakawan. 

Ungkapan hidup dalam kepompong mungkin sesuai untuk menggambarkan kealpaan ini.

Syarikat pelaburan Abu Dhabi baru sahaja muncul dalam berita dunia berhubung ghaibnya dana bernilai lebih RM6 billion yang seharusnya merupakan bayaran dari 1MDB. 

Di Malaysia dana USD700 juta (hampir RM3 billion mengikut kadar tukaran semasa) yang tiba-tiba muncul dan kemudiannya ghaib dari akaun peribadi Presiden Umno Datuk Seri MohdNajib Tun Razak masih belum dijelaskan. 

Harus diambil maklum bahawa percubaan demi percubaan telah dibuat untuk mengalih perhatian dan memperbodohkan mereka yang ingin tahu akan dana ghaib USD700 juta dalam akaun Najib tetapi percubaan-percubaan tersebut kekal setakat percubaan kerana rakyat Malaysia masih menunggu kebenaran. 

Nyata Majlis Tertinggi Umno pun sudah tidak bermaya untuk mendesak penjelasan dari Najib kerana sebab-sebab yang diketahui umum didalam dan diluar negara. Mesyuarat MT semalam berjalan lancar. 

Mesyuarat antarabangsa badan-badan pencegah rasuah serta badan-badan bukan kerajaan yang memerangi rasuah dari seluruh dunia diadakan diPutrajaya baru-baru ini. Perdana Menteri Malaysia yang dijadualkan menyampai ucaptama tidak muncul tiba kerana dinasihatkan agar tidak menghadiri mesyuarat antarabangsa tersebut.

Mesyuarat antarabangsa anti-rasuah itu bukan setakat mencalit arang tetapi telah menjatuhkan maruah serta nama baik Malaysia dipersada dunia apabila isu wang ghaib USD700 juta dalam akaun Perdana Menteri Malaysia serta tindakan menyekat penyiasatan rasuah/salahguna kuasa oleh pentadbiran Najib ditimbulkan. Isu itu telah dilaporkan diseluruh dunia dengan pelbagai 'headline' yang amat memalukan tetapi mesyuarat MT Umno semalam berjalan lancar dalam suasana setiakawan.

Sesiapa yang menyoal Najib berhubung dana ghaib USD700 juta dan dana berjumlah lebih kurang RM40 juta dari SRC International akan pasti dibangsatkan oleh Presiden Umno serta para pencacai-nya yang kini telah dinaikkan pangkat. 

Apa yang kita, rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, mampu lakukan dalam keadaan yang serba tidak kena tetapi tersekat dari segenap penjuru ini?

Apakah kita harus memekakkan telinga membutakan mata dan hati berdiam diri ketika petualang serta gerombolan yang terbukti kebangsatan mereka terus merompak dan mencabul negara dan masa depan kita? 

Dengar baik-baik penjelasan orang tua berumur 90-tahun dalam rakaman di-atas dan berpeganglah kepada ungkapan #beranikeranabenar dan #muafakatmembawaberkat . 

Ini bukan isu politik kepartian atau isu agama dan bangsa. Ini isu masa depan negara kita. Ini bukan politik, ini isu jenayah.

Malaysia adalah sebuah negara dimana Raja-Raja Melayu pun patuh pada Undang-Undang serta Perlembagaan Persekutuan. Tiada sesiapa pun harus dibenarkan bertindak atau meletakkan diri mereka di-atas Undang-Undang negara.

Jika si-ibu yang mencuri tepung susu untuk anak kecil yang kelaparan pun di-hukum kerana kita patuh pada undang-undang, tidak mungkin individu berpangkat yang mencuri dan merompak khazanah negara dibiarkan begitu sahaja.

Jangan kita buta hati demi kepentingan peribadi.


P.S. Nilai Ringgit Malaysia dah melepasi tahap 4.36sen bagi 1Dolar Amerika namun mesyuarat Majlis Tertinggi Umno masih berjalan lancar dalam suasana aman damai diliputi sifat setiakawan. 



Tuesday, 10 March 2015

1MDB - Apa kata wakil Ketua Bahagian Umno?



Ringkasnya jurucakap untuk 160 Ketua Bahagian Umno yang berkumpul mendengar penjelasan Presiden tempohari berpuashati dengan cerita yang disampaikan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk menangkis segala fitnah dan serangan terhadap kepimpinannya. 

Jurucakap berkata mereka yang hadir dalam sesi penjelasan presiden juga menyokong penuh siasatan terperinci keatas 1MDB. 

Jurucakap menegaskan mereka yang hadir juga menyokong penuh keputusan Kabinet serta kenyataan keras Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nampaknya 'Solidariti bersama Presiden Umno' hanyalah satu lagi percubaan propaganda dalam siri propaganda umpama 'I love PM'. Tidak lebih dan tidak kurang. Majlis penerangan pun dicanang pelbagai rupa. Begitu terdesak?

Baiklah. Kembali kepada perkara pokok. Desakan bertubi untuk menyiasat 1MDB nampaknya telah berhasil dan Ketua Polis Negara sendiri telah memberi keyakinan dengan menjelaskan bahawa sudah ada satu multi-agency 'task force' untuk menjalankan siasatan forensik keatas 1MDB.

Bukan itu sahaja. KPN juga memberi jaminan bahawa Perdana Menteri sendiri akan disoalsiasat dalam skandal 1MDB ini. 

Ketua Audit Negara dalam kenyataan terkini berkata siasatan telah bermula tetapi had waktu siasatan belum ditetapkan. 

Nampaknya laporan Polis dan SPRM yang dilakukan oleh Datuk Seri Khairuddin tempohari juga berasas. Jika tidak, mana mungkin wujud task force yang dianggotai pelbagai agensi siasatan negara.

Adalah menjadi harapan sekalian rakyat, bukan hanya setakat 160 Ketua Bahagian Umno, agar siasatan dijalankan tanpa apa-apa campurtangan dari mana-mana pihak. 

Kes berprofil tinggi ini diperhatikan, bukan sahaja diseluruh dunia tetapi yang lebih penting lagi oleh seluruh rakyat Malaysia yang layak memilih kerajaan mereka. 

Rakyat Malaysia yang waras akan melihat siasatan keatas 1MDB ini sebagai petanda jelas.  

Saya menaruh keyakinan penuh bahawa task force yang telah mula menyiasat 1MDB sejak dari penubuhan dana milk kerajaan itu sekitar tahun 2008/2009, akan berjaya menjernihkan yang keruh. 

Seperti kata jurucakap akan janji Perdana Menteri, tidak ada sesiapa pun yang harus dilindungi atau terlepas dari tindakan undang-undang.

Yang menjadi pertaruhan atau penilaian bukan sahaja maruah dan dana milik Kerajaan Malaysia tetapi masa depan negara serta hati budi pemimpin yang diangkat untuk memimpin.

p/s Tidak masuk akal jika kuasa politik 160 orang boleh mengatasi kehendak berjuta rakyat, termasuk Timbalan Perdana Menteri.



Site Meter