Mungkin ahli serta pemimpin Umno akarumbi mempunyai lebih masa yang terluang pada waktu ini memandangkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dinanti-nanti dengan penuh debaran tempohari pun sudah berlalu.
Perhimpunan Agung Tahunan Umno akan diadakan dari 8 hingga 12 haribulan Disember nanti.
Pada waktu ini seluruh dunia terkejut dan tertanya-tanya akan berita-berita berkenaan rasuah, pengubahan dana haram, salahguna kuasa dan tuduhan penipuan yang berhubung kait dengan syarikat kerajaan Malaysia 1MDB tetapi mesyuarat induk parti yang menguasai kerajaan diberitakan sebagai telah berjalan lancar dalam suasana setiakawan.
Ungkapan hidup dalam kepompong mungkin sesuai untuk menggambarkan kealpaan ini.
Syarikat pelaburan Abu Dhabi baru sahaja muncul dalam berita dunia berhubung ghaibnya dana bernilai lebih RM6 billion yang seharusnya merupakan bayaran dari 1MDB.
Di Malaysia dana USD700 juta (hampir RM3 billion mengikut kadar tukaran semasa) yang tiba-tiba muncul dan kemudiannya ghaib dari akaun peribadi Presiden Umno Datuk Seri MohdNajib Tun Razak masih belum dijelaskan.
Harus diambil maklum bahawa percubaan demi percubaan telah dibuat untuk mengalih perhatian dan memperbodohkan mereka yang ingin tahu akan dana ghaib USD700 juta dalam akaun Najib tetapi percubaan-percubaan tersebut kekal setakat percubaan kerana rakyat Malaysia masih menunggu kebenaran.
Nyata Majlis Tertinggi Umno pun sudah tidak bermaya untuk mendesak penjelasan dari Najib kerana sebab-sebab yang diketahui umum didalam dan diluar negara. Mesyuarat MT semalam berjalan lancar.
Mesyuarat antarabangsa badan-badan pencegah rasuah serta badan-badan bukan kerajaan yang memerangi rasuah dari seluruh dunia diadakan diPutrajaya baru-baru ini. Perdana Menteri Malaysia yang dijadualkan menyampai ucaptama tidak muncul tiba kerana dinasihatkan agar tidak menghadiri mesyuarat antarabangsa tersebut.
Mesyuarat antarabangsa anti-rasuah itu bukan setakat mencalit arang tetapi telah menjatuhkan maruah serta nama baik Malaysia dipersada dunia apabila isu wang ghaib USD700 juta dalam akaun Perdana Menteri Malaysia serta tindakan menyekat penyiasatan rasuah/salahguna kuasa oleh pentadbiran Najib ditimbulkan. Isu itu telah dilaporkan diseluruh dunia dengan pelbagai 'headline' yang amat memalukan tetapi mesyuarat MT Umno semalam berjalan lancar dalam suasana setiakawan.
Sesiapa yang menyoal Najib berhubung dana ghaib USD700 juta dan dana berjumlah lebih kurang RM40 juta dari SRC International akan pasti dibangsatkan oleh Presiden Umno serta para pencacai-nya yang kini telah dinaikkan pangkat.
Apa yang kita, rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, mampu lakukan dalam keadaan yang serba tidak kena tetapi tersekat dari segenap penjuru ini?
Apakah kita harus memekakkan telinga membutakan mata dan hati berdiam diri ketika petualang serta gerombolan yang terbukti kebangsatan mereka terus merompak dan mencabul negara dan masa depan kita?
Dengar baik-baik penjelasan orang tua berumur 90-tahun dalam rakaman di-atas dan berpeganglah kepada ungkapan #beranikeranabenar dan #muafakatmembawaberkat .
Ini bukan isu politik kepartian atau isu agama dan bangsa. Ini isu masa depan negara kita. Ini bukan politik, ini isu jenayah.
Malaysia adalah sebuah negara dimana Raja-Raja Melayu pun patuh pada Undang-Undang serta Perlembagaan Persekutuan. Tiada sesiapa pun harus dibenarkan bertindak atau meletakkan diri mereka di-atas Undang-Undang negara.
Jika si-ibu yang mencuri tepung susu untuk anak kecil yang kelaparan pun di-hukum kerana kita patuh pada undang-undang, tidak mungkin individu berpangkat yang mencuri dan merompak khazanah negara dibiarkan begitu sahaja.
Jangan kita buta hati demi kepentingan peribadi.
P.S. Nilai Ringgit Malaysia dah melepasi tahap 4.36sen bagi 1Dolar Amerika namun mesyuarat Majlis Tertinggi Umno masih berjalan lancar dalam suasana aman damai diliputi sifat setiakawan.