Showing posts with label ketua polis negara. Show all posts
Showing posts with label ketua polis negara. Show all posts

Wednesday, 2 September 2015

POLIS sudah panggil Najib Razak dan Rosmah Mansor?


Polis akan panggil Dr Mahathir kerana hadir Bersih 4, kata KPN

"Kita akan panggil beliau. Beliau membuat tuduhan dalam ucapannya. Kita akan siasat dari mana Dr Mahathir mendapat maklumat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Peringatan Pasukan Polis Marin ke-68, di Pelabuhan Klang, Selangor hari ini.
a
"Kita hendak tahu lebih lanjut maksud (ucapan) dan maklumat yang diperoleh contohnya beliau menyatakan ketua bahagian Umno dirasuah jadi kita nak tahu lebih lanjut," katanya. - TMI

Kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di-atas tidak boleh dipersoalkan kerana beliau 'hanya menjalankan tugas' sebagai seorang ketua pasukan keselamatan yang diamanahkan oleh rakyat. 

Namun demikian apa yang boleh dipersoal ialah tindakan Khalid yang ternampak tidak konsisten dalam mengeluarkan kenyataan selaku Ketua Polis Negara. 

Kenapa sehingga ke hari ini Khalid masih belum memanggil atau mengarahkan pegawainya untuk memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak untuk diambil keterangan berhubung beberapa laporan polis yang telah dibuat terhadap beliau? 

Apakah Tan Sri Khalid Abu Bakar kini bertindak sebagai seorang individu yang akrab dengan pemimpin politik atau sebagai Ketua Polis Negara, kerana seorang Ketua Polis Negara tidak boleh memilih bulu dalam menjalankan tugas. 

Apa perkembangan laporan polis yang dibuat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap PERDANA MENTERI? 

Kenapa sehingga kehari ini belum kedengaran atau kelihatan kenyataan Ketua Polis Negara untuk memanggil PERDANA MENTERI untuk disoal siasat? 

Apakah Polis bahagian Jenayah Perdagangan (CCD) sudah menyiasat dana lebih kurang RM2.6 billion yang termasuk kedalam akaun peribadi Mohd Najib bin Tun Abdul Razak serta dana RM2juta yang termasuk kedalam akaun isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor? 

Kenapa Najib Razak serta Rosmah Mansor masih belum dipanggil oleh pihak polis untuk disoalsiasat? 

Tidak mungkin Najib dan Rosmah terkecuali dari undang-undang didalam sebuah negara dimana Raja-Raja Melayu pun patuh pada undang-undang serta Perlembagaan.

Apakah memang benar pihak polis memilih bulu dalam menjalankan tugas atau ini hanya kes terpencil dimana pasukan polis dikuasai 'kuasa halimunan' bak kata Bekas Timbalan Ketua Cawangan Khas Datuk Hamid Bador? 

Jangan kerana nila setitik rosak susu se-belanga. 



Monday, 10 August 2015

Ketua Setiausaha Negara dan kawan-kawan


Kenyataan di-atas adalah jelas dan tepat. Dua orang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang 'ditukarkan serta-merta' ke Jabatan Perdana Menteri pada hari Jumaat lepas telah dikembalikan ke jabatan mereka. 

Kenyataan Tan Sri KSN ini menyusul setelah rakyat dari setiap lapisan dan pelusuk negara membantah dan membidas beberapa tindakan rakus ke-atas SPRM. 

Rakyat sedar SPRM menjadi sasaran ekoran siasatan rasuah/suapan terhadap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak. Ahli politik serta pengampu Perdana Menteri yang lain, termasuk beberapa penjawat awam tertinggi dan para menteri boleh terus menidakkan perkara ini tetapi pendapat umum nyata tidak menyebelahi mereka.

Ada ahli politik muda yang telah tampil, setelah tiada pilihan lain, untuk mempertahankan SPRM tetapi persoalan pokoknya adalah - Kenapa kita diheret kedalam satu situasi dimana institusi penting negara dicabul secara terang-terangan? Ini bukan lagi persepsi tetapi satu kenyataan yang pasti.

Beberapa persoalan penting timbul berikutan kenyataan terbaru KSN. Tan Sri sebenarnya berkhidmat untuk apa dan siapa? 

Kini telah terbukti, menerusi kenyataan Tan Sri sendiri, bahawa kedua-dua pegawai tertinggi tersebut ditukarkan keluar dengan kadar serta-merta tanpa apa-apa penjelasan dari mereka atau pertuduhan salahlaku terhadap mereka. Ini jelas dan tidak perlu didebat. Bagaimana perkara sebegini berlaku diperingkat Ketua Setiausaha Negara dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam? 

Siapa sebenarnya yang mengarahkan pegawai tertinggi SPRM yang terlibat dalam penyiasatan rasuah/suapan terhadap PERDANA MENTERI ini ditukarkan? 

Kenapa pertukaran tersebut tidak mematuhi SOP atau akal yang waras? 

Harus di-ingatkan Tan Sri KSN jugalah yang mengeluarkan arahan perlucutan jawatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara walaupun Gani Patail dijangka bersara wajib dalam masa lebih kurang tiga bulan (dalam bulan Oktober). Harus diakui bahawa kesihatan Gani Patail bukan sempurna namun beliau tidak lah terlantar sakit dihospital/rumah atau tidak dapat bergerak kesana-sini untuk menjalankan tugas. Gani Patail pun masih waras, mungkin lebih waras dari yang masih memegang beberapa jawatan tertinggi kini. 

Jadi apakah Gani Patail pun dilucutkan jawatan, tanpa pengetahuan beliau sendiri, dalam keadaan tergesa-gesa yang serupa seperti dalam kes dua pegawai SPRM ini? Kenapa tindakan sedemikian di-lihat perlu?

Apakah salah jika umum berpendapat bahawa perlucutan jawatan Gani Patail juga adalah kerana beliau terlibat secara langsung dalam penyiasatan rasuah/suapan/salahguna kuasa serta tuduhan pengkhianatan (treason) terhadap PERDANA MENTERI? 

Kenyataan KSN diatas membuktikan bahawa sejak kebelakangan ini perjalanan biasa Kerajaan telah/sedang diganggu gugat menerusi campurtangan luar yang membakulsampahkan norma-norma atau SOP jabatan dan kerajaan. Siapakah anasir-anasir ini?

Apakah ada kemungkinan dimana Kerajaan serta kerangka politik yang menunjangi kerajaan telah di-'hijack' oleh sekumpulan kecil manusia rakus yang kaya-raya dengan dana derma hartawan asing?  

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar harus menyiasat kemungkinan ini. Harus diambil maklum bahawa kritikan umum terhadap Khalid Abu Bakar, walaupun terhadap tuan punya diri dan bukan jawatan yang disandang, juga sedikit sebanyak mampu menghakis keyakinan rakyat terhadap pasukan Polis Di-Raja Malaysia. 

Kenyataan terbaru Tan Sri Ketua Polis Negara yang menjelaskan bahawa siasatan PDRM keatas SPRM adalah berikutan arahan Peguam Negara yang baru telah sedikit sebanyak menjernihkan persepsi negatif terhadap Khalid.

Pendapat umum bahawa Khlaid mengarahkan SPRM dikacau setelah di-arah oleh Perdana Menteri atau ahli politik lain adalah tidak benar. Arahan itu datangnya dari Peguam Negara baru. Peguam Negara baru juga telah membubarkan Task Force yang turut dianggotai Khalid, Gani Patail, SPRM dan Bank Negara. 

Siapa agaknya dalang serta tangan-tangan ghaib yang disebut-sebut dibelakang 'tindakan' terhadap SPRM baru-baru ini? 

Kedudukan Tan Sri Zeti Aktar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia pula kini hangat dibincangkan setelah muncul serangan peribadi serta tohmahan terhadap beliau dan keluarga. 

Tan Sri Zeti nyata mempunyai atau mengetahui banyak perkara serta butiran terperinci penyiasatan Task Force serta Bank Negara sendiri terhadap 1MDB, SRC serta DERMA RM2.6 billion yang diterima oleh Perdana Menteri Malaysia.

Serangan peribadi, menerusi media sosial dan arus perdana, terhadap sesiapa yang mengkritik Najib Razak bermula dengan asakan membuta tuli terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya terhadap Tun Daim Zainuddin. 

Kini senarai mereka yang diserang peribadi serta keluarga telah bertambah panjang. Tan Sri Zeti serta pegawai SPRM mungkin mangsa terbaru tetapi tidak mungkin yang terakhir kerana semakin hari semakin ramai yang telah mula sedar akan malapetaka yang sedang melanda negara kita.

Rakyat Malaysia serta mereka dikalangan pemimpin dan penjawat awam harus lebih berwaspada dan wajib merasa curiga demi negara bertuah ini. Saya curiga bagaimana Tan Sri KSN yang begitu berpengalaman boleh membuat kenyataan yang membuktikan bahawa tindakan keatas pegawai tertinggi SPRM diambil sebelum penjelasan atau sebarang penyiasatan. Ketidakupayaan KSN ini agak merisaukan. 

Mungkin telah sampai masa untuk KSN mempertimbangkan persaraan awal, walaupun difahamkan kontrak baru dilanjutkan sebelum Peguam Negara dipecat, kerana tindak tanduk anda telah menimbulkan keraguan yang amat membimbangkan. 

Saya tidak pasti jika lebih dari 1.5 juta penjawat awam kita masih mampu menghormati Tan Sri Dr Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara.

Jangan rosakkan negara demi kelangsungan peribadi.
p.s. Perkara pertama yang harus dilaksanakan Perdana Menteri Malaysia yang menggantikan Najib Razak adalah mencadangkan penubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk membolehkan menyiasatan menyeluruh perlakuan pengkhianatan terhadap Raja, Negara dan Rakyat Malaysia. Pengkhianat tidak boleh terlepas.