Showing posts with label tukar. Show all posts
Showing posts with label tukar. Show all posts

Thursday, 22 January 2015

Apa yang akan bertukar ?


Demikian kupasan Tan Sri Sanusi Junid (video Din Turtle) yang ringkas tetapi amat mendalam lagi tepat. Jangan pula selepas ini ada organisasi media milik Umno mengambil tindakan menghentam dan menghina orang lama Umno dan BN ini kerana meluahkan pendapat. 

Penyelesaian kepada kemelut kepimpinan negara ini amat mudah, seperti yang dihuraikan Tan Sri Sanusi. Keputusan kini ditangan Umno dan sedikit sebanyak ditangan Najib Razak. 

Jika tidak berubah dan masih berdegil maka tidak ada cara lain kecuali Umno bertindak menggantikan Najib Razak dengan pemimpin lain dengan kadar yang segera. Ini bukan masalah peribadi tetapi masalah masa depan Umno, Barisan Nasional dan negara kita. Perubahan harus berlaku dalam masa terdekat untuk membolehkan Barisan Nasional membuat persediaan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Berdasarkan persepsi umum masakini, BN akan menjadi pembangkang selepas pilihanraya yang akan datang jika parti gergasi yang mewakili setiap kaum dan golongan etnik ini tidak diberi nafas dan pendekatan baru.

Pemimpin tertinggi Umno dan parti komponen BN sendiri mengakui bahawa BN akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang jika tidak ada perubahan yang drastik. Jika pemimpin tidak mampu memimpin dan menyegarkan BN maka harus ada perubahan. 

Yang harus ditukar ialah pemimpin, jika tidak mungkin BN itu sendiri akan ditukar oleh pengundi. 

Persoalan siapa pengganti Najib Razak tidak harus wujud kerana berdasarkan prestasi serta tahap tanggungjawab yang dipamerkan sejak pilihanraya yang lalu ramai dikalangan pemimpin Umno yang lebih dari layak untuk mengambilalih jawatan presiden Umno, pengerusi BN serta Perdana Menteri. 

Ini bukan serangan peribadi terhadap Najib Razak. Ini adalah kenyataan yang harus diterima dengan hati yang terbuka. Kalau sudah tidak berdaya dan hilang arah baik serahkan sahaja tanpa menyebabkan perpecahan. 

Kepentingan parti dan negara harus mengatasi kepentingan peribadi, itu tandanya pemimpin yang sejati. Menyalahguna kuasa serta kedudukan demi kepentingan serta kelangsungan politik peribadi adalah jijik.

Tanda-tanda bahawa kepimpinan Najib Razak lemah dan akan membawa kepada kekalahan BN pada pilihanraya yang akan datang amat jelas. Salah satu daripada petanda nyata ialah apabila pemimpin pembangkang mula mempertahan dan menyokong pengerusi Barisan Nasional. Kita harus ingat bagaimana satu ketika dahulu pembangkang begitu jitu mempertahankan perdana menteri sebelum Najib Razak. Apa motif sokongan mereka? 

Pembangkang amat gemar dan begitu mesra dengan pemimpin BN yang lemah dan tidak berpedoman kerana amat mudah bagi mereka untuk mengorak langkah mencatur kehancuran BN. 

Kemunculan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim didada akhbar arus perdana serta kaca TV memberi sokongan tidak langsung kepada Najib Razak adalah manifestasi tahap kelemahan presiden Umno pada masa ini.

Apakah Najib Razak sudah menjalinkan hubungan politik dengan PKR atau sudah ada suatu pakatan sulit dengan Anwar Ibrahim demi kelangsungan politik peribadi beliau? 

Kenapa Najib Razak begitu terdesak sehingga sanggup tidur dengan musuh? Apakah sudah ada push factor dari Umno untuk Najib bertidak demikian?  

Situasi sebenar nampaknya seperti nasi telah menjadi bubur. Jika Najib Razak masih gagal berpijak dibumi nyata dan berterusan hidup dalam dunia khayalan yang dijana tukang kipas, kaki ampu serta mengamalkan permainan politik kotor yang lebih teruk dari propaganda jahat komunis maka bubur akan basi tidak lama lagi. 

Kenyataan Tan Sri Sanusi Junid diatas seperti masih melahirkan harapan agar Najib 'bertukar' demi kelangsungan politik serta masa depan Umno serta Barisan Nasional. 

Sama-samalah kita tunggu dan lihat apa atau siapa yang akan ditukar. 

p/s Kita harus mula berdoa agar bukan kerajaan BN yang ditukar kelak.

* Terima kasih Din Turtle 

Site Meter