Showing posts with label pilihanraya. Show all posts
Showing posts with label pilihanraya. Show all posts

Sunday, 16 August 2015

Siapa sebenarnya yang hilang akal?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas pengkritiknya paling lantang, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa beliau berbelanja kurang daripada RM10 juta dalam setiap kempen pilihan raya semasa beliau menjadi perdana menteri dan presiden Umno.
Najib, yang menghadapi kritikan kerana menerima derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya tidak lama sebelum pilihan raya umum 2013 berkata, adalah tidak logik dan tidak masuk akal sekiranya satu kempen pilihan raya hanya memakan belanja RM10 juta.
Najib berkata beliau memikirkan mengenai jumlah yang dikatakan Dr Mahathir itu berkali-kali dan mendapati ianya tidak logik.
"Dia kata dalam 90-an dia hanya belanja RM10 juta. Saya fikir tentang itu berulang kali. Dengan deposit pilihan raya untuk 193 kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri, anda akan memerlukan sekurang-kurangnya RM41 juta. (??????????)
"Itu baru perbelanjaan minimum jika anda menghabiskan RM100,000 bagi setiap kerusi Parlimen dan RM50,000 deposit bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya semasa merasmikan mesyuarat Umno bahagian Kepala Batas hari ini.
"Itu tidak termasuk wang yang parti akan habiskan untuk barang pilihan raya seperti papan iklan, kain rentang, poster, kemeja dan mesyuarat.
"RM10 juta tidak munasabah. Kalau nak mengkritik pun, lakukanlah dengan berasas. Ia mesti logik dan berfakta," katanya kepada perwakilan Umno dalam mesyuarat bahagian Kepala Batas hari ini di Pulau Pinang. - Malaysian Insider 
Tolong pakai otak ok. Please! 
Mula-mula dalam tulisan bertajuk AKAUN PERIBADI di dalam blog beliau Tun Dr Mahathir Mohamad berkata: -

Perenggan- 13. Jikalau disemak perbelanjaan pilihanraya lima kali yang diadakan semasa saya Presiden UMNO, tidak ada banyak wang yang diguna, terutama peruntukan dari Ibu Pejabat. Namun BN tidak pernah menang kurang dari 2/3 kerusi di parlimen.

Dalam tulisan seterusnya bertajuk MALAYSIA Tun Dr Mahathir mengulas secara lebih mendalam lagi tentang perkara yang sama. Beliau berkata:- 

Perenggan- 26. Kepada pemimpin bahagian UMNO dan pelbagai kuncu-kuncu, PM, dalam mesyuarat tertutup, mendakwa berbilion-bilion ini adalah untuk pilihan raya.

Perenggan- 27. RM2 bilion untuk pilihan raya adalah tidak munasabah. Saya memerlukan kurang daripada 10 juta untuk setiap satu daripada lima pilihan raya yang saya mempengerusikan dan saya memenangi semua dengan lebih daripada 2/3 majoriti. Mengapa anda perlu 2.6 bilion lebih atau 2600 juta Ringgit. Adakah ia untuk merasuah ahli-ahli politik dan kakitangan awam, atau untuk memanupulasi pilihan raya. Ini tidak betul, apatah lagi dari segi undang-undang.

Kenapa Najib terpaksa berfikir berulang kali namun gagal memahami kenyataan ringkas ini. Tidak faham atau buat-buat tak faham Datuk Seri?

Jawapan ringkas untuk merungkai kekeliruan melampaui batas yang dihidapi YAB Perdana Menteri (tidak perlu fikir berkali-kali sampai hilang akal). 

Kita kira perbelanjaan deposit bagi tahun 1999.

193 kerusi Parlimen x RM15,000 = RM 2,895,000
504 kerusi DUN x RM8,000 = RM 4,032,000 

Wang Deposit Pilihan Raya - KOS TERKINI 2013
Jumlah deposit seperti berikut:  - 
RM10,000 untuk deposit calon Parlimen  - RM5,000 untuk deposit bahan kempen Parlimen  - 
RM5,000 untuk deposit calon DUN - RM3,000 untuk deposit bahan kempen DUN -  SUMBER

Jumlah sebenar perbelanjaan bagi deposit hanya RM 6,927,000. 

Jika pada tahun 1999 pun perbelanjaan deposit yang di-uruskan ibu-pejabat tidak sampai RM 7juta ringgit maka tahun-tahun sebelumnya nyata lagi rendah kerana jumlah deposit yang lebih kecil pada ketika itu. Mungkin pada tahun 1999 pun kosnya lebih rendah lagi kerana perkiraan ini berdasarkan kos deposit terbaru tahun 2013. (Faham?)

Sebenarnya tuduhan Najib Razak bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir tidak masuk akal adalah tidak berasas dan merupakan fitnah jika Najib membuat kenyataan tersebut dalam sedar. Saya fikir, seperti kebiasaan sejak kebelakangan ini, mungkin Najib pun tidak faham apa yang beliau ungkapkan dikhalayak ramai.

Perkiraan di-atas adalah bagi semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri yang ditandingi BARISAN NASIONAL dan bukan UMNO semata-mata. Harus di-akui bahawa selain perbelanjaan deposit terdapat pelbagai perbelanjaan lain ketika pilihanraya dan terdapat had perbelanjaan yang ditetapkan mengikut Parlimen/DUN. 

Kos perbelanjaan lain yang di-hadkan ini biasanya ditampung melalui pelbagai sumber lain termasuk parti-parti politik dalam Barisan Nasional di-peringkat nasional/negeri menerusi dana sendiri atau sumbangan penyokong (yang dimasukan kedalam akaun parti dan bukan peribadi). Melampaui had yang ditetapkan adalah satu kesalahan pilihanraya dan jika disabitkan kesalahan boleh dilucutkan jawatan.

P.S. 
1. Deposit RM 41 juta untuk kerusi Parlimen dan DUN pada tahun 1999 tu you kira macam mana Datuk Seri Perdana Menteri? 

2. Mereka yang masih tidak memahami isu deposit/perbelanjaan pilihanraya ini, termasuk YAB Perdana Menteri, boleh mengemukakan permohonan agar pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengadakan satu seminar khas berhubung isu ini.  Jika tidak ada mana-mana pihak yang gundah gulana, Tun Dr Mahathir boleh dijemput untuk memberi penerangan yang lebih terperinci. 

#beranikeranabenar 


Sekadar makluman :- 









Thursday, 9 April 2015

Gerakan mencantas Muhyiddin Yassin?

Maklumat terkini yang diterima dari sumber-sumber yang boleh dipercayai menyatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin telah menjadi mangsa pertama dalam kemelut kepimpinan Umno masakini.

Difahamkan Mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang lewat semalam telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tradisi melantik Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Pengerusi BN untuk mengetuai kempen pilihanraya kecil.

Sebaliknya amanah Presiden Umno itu kini dianugerahkan kepada Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi (untuk kempen BN bagi pilihanraya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh ) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (bagi PRK kawasan Parlimen Rompin).

Tidak pasti jika Muhyiddin yang kini berada di Jakarta  untuk lawatan kerja telah dimaklumkan terlebih dahulu ataupun beliau sendiri telak menolak tanggungjawab tersebut.

Kenapa Muhyiddin memilih untuk ke Jakarta dan tidak menghadiri mesyuarat penting Biro Pengurusan Umno di Kuala Lumpur? 

Walau apa pun, perkembangan yang agak mengejutkan ini pasti akan menimbulkan pelbagai persoalan serta tanda tanya akan hubungan diantara Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan beliau. 

Satu lagi perkembangan yang akan mengeruhkan lagi keadaan serta menimbulkan pelbagai spekulasi ialah ura-ura akan tindakan menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Jika maklumat di-atas adalah benar serta sahih, apa maknanya? 

Apakah Najib sudah tidak lagi mempercayai Muhyiddin atau mungkinkah Muhyiddin sudah tidak yakin dengan Najib?

Apakah sudah bermula langkah drastik untuk memperkukuhkan kedudukan Najib dengan menyingkirkan Muhyiddin yang hangat diperkatakan sebagai individu paling layak menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bila Najib terpaksa berundur?

Sementara menunggu pengesahan/penafian atau pengumuman rasmi akan perkara yang disebut di-atas, marilah kita sama-sama mendengar serta mengambil iktibar dari nasihat ikhlas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.



Kata orang nasihat ini masih panas dan berhubungkait dengan kemelut kepimpinan dalam Umno. Saya tidak pasti, biarlah para pembaca sekalian yang membuat kesimpulan masing-masing.

Untuk makluman, Umno Negeri Sembilan mengadakan perjumpaan tertutup bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari yang lalu di Seremban.

p/s Ini bukan hasutan. Jika ada mana-mana maklumat dalam tulisan ini yang tidak tepat, sila perbetulkan. Jika tidak betul samasekali, sila nafikan. Jangan ada balaci yang melompat macam kera kena belacan. I stand to be corrected. TQ



Site Meter

Thursday, 22 January 2015

Apa yang akan bertukar ?


Demikian kupasan Tan Sri Sanusi Junid (video Din Turtle) yang ringkas tetapi amat mendalam lagi tepat. Jangan pula selepas ini ada organisasi media milik Umno mengambil tindakan menghentam dan menghina orang lama Umno dan BN ini kerana meluahkan pendapat. 

Penyelesaian kepada kemelut kepimpinan negara ini amat mudah, seperti yang dihuraikan Tan Sri Sanusi. Keputusan kini ditangan Umno dan sedikit sebanyak ditangan Najib Razak. 

Jika tidak berubah dan masih berdegil maka tidak ada cara lain kecuali Umno bertindak menggantikan Najib Razak dengan pemimpin lain dengan kadar yang segera. Ini bukan masalah peribadi tetapi masalah masa depan Umno, Barisan Nasional dan negara kita. Perubahan harus berlaku dalam masa terdekat untuk membolehkan Barisan Nasional membuat persediaan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Berdasarkan persepsi umum masakini, BN akan menjadi pembangkang selepas pilihanraya yang akan datang jika parti gergasi yang mewakili setiap kaum dan golongan etnik ini tidak diberi nafas dan pendekatan baru.

Pemimpin tertinggi Umno dan parti komponen BN sendiri mengakui bahawa BN akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang jika tidak ada perubahan yang drastik. Jika pemimpin tidak mampu memimpin dan menyegarkan BN maka harus ada perubahan. 

Yang harus ditukar ialah pemimpin, jika tidak mungkin BN itu sendiri akan ditukar oleh pengundi. 

Persoalan siapa pengganti Najib Razak tidak harus wujud kerana berdasarkan prestasi serta tahap tanggungjawab yang dipamerkan sejak pilihanraya yang lalu ramai dikalangan pemimpin Umno yang lebih dari layak untuk mengambilalih jawatan presiden Umno, pengerusi BN serta Perdana Menteri. 

Ini bukan serangan peribadi terhadap Najib Razak. Ini adalah kenyataan yang harus diterima dengan hati yang terbuka. Kalau sudah tidak berdaya dan hilang arah baik serahkan sahaja tanpa menyebabkan perpecahan. 

Kepentingan parti dan negara harus mengatasi kepentingan peribadi, itu tandanya pemimpin yang sejati. Menyalahguna kuasa serta kedudukan demi kepentingan serta kelangsungan politik peribadi adalah jijik.

Tanda-tanda bahawa kepimpinan Najib Razak lemah dan akan membawa kepada kekalahan BN pada pilihanraya yang akan datang amat jelas. Salah satu daripada petanda nyata ialah apabila pemimpin pembangkang mula mempertahan dan menyokong pengerusi Barisan Nasional. Kita harus ingat bagaimana satu ketika dahulu pembangkang begitu jitu mempertahankan perdana menteri sebelum Najib Razak. Apa motif sokongan mereka? 

Pembangkang amat gemar dan begitu mesra dengan pemimpin BN yang lemah dan tidak berpedoman kerana amat mudah bagi mereka untuk mengorak langkah mencatur kehancuran BN. 

Kemunculan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim didada akhbar arus perdana serta kaca TV memberi sokongan tidak langsung kepada Najib Razak adalah manifestasi tahap kelemahan presiden Umno pada masa ini.

Apakah Najib Razak sudah menjalinkan hubungan politik dengan PKR atau sudah ada suatu pakatan sulit dengan Anwar Ibrahim demi kelangsungan politik peribadi beliau? 

Kenapa Najib Razak begitu terdesak sehingga sanggup tidur dengan musuh? Apakah sudah ada push factor dari Umno untuk Najib bertidak demikian?  

Situasi sebenar nampaknya seperti nasi telah menjadi bubur. Jika Najib Razak masih gagal berpijak dibumi nyata dan berterusan hidup dalam dunia khayalan yang dijana tukang kipas, kaki ampu serta mengamalkan permainan politik kotor yang lebih teruk dari propaganda jahat komunis maka bubur akan basi tidak lama lagi. 

Kenyataan Tan Sri Sanusi Junid diatas seperti masih melahirkan harapan agar Najib 'bertukar' demi kelangsungan politik serta masa depan Umno serta Barisan Nasional. 

Sama-samalah kita tunggu dan lihat apa atau siapa yang akan ditukar. 

p/s Kita harus mula berdoa agar bukan kerajaan BN yang ditukar kelak.

* Terima kasih Din Turtle 

Site Meter