Showing posts with label bencana. Show all posts
Showing posts with label bencana. Show all posts

Thursday, 9 April 2015

Gerakan mencantas Muhyiddin Yassin?

Maklumat terkini yang diterima dari sumber-sumber yang boleh dipercayai menyatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin telah menjadi mangsa pertama dalam kemelut kepimpinan Umno masakini.

Difahamkan Mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang lewat semalam telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tradisi melantik Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Pengerusi BN untuk mengetuai kempen pilihanraya kecil.

Sebaliknya amanah Presiden Umno itu kini dianugerahkan kepada Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi (untuk kempen BN bagi pilihanraya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh ) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (bagi PRK kawasan Parlimen Rompin).

Tidak pasti jika Muhyiddin yang kini berada di Jakarta  untuk lawatan kerja telah dimaklumkan terlebih dahulu ataupun beliau sendiri telak menolak tanggungjawab tersebut.

Kenapa Muhyiddin memilih untuk ke Jakarta dan tidak menghadiri mesyuarat penting Biro Pengurusan Umno di Kuala Lumpur? 

Walau apa pun, perkembangan yang agak mengejutkan ini pasti akan menimbulkan pelbagai persoalan serta tanda tanya akan hubungan diantara Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan beliau. 

Satu lagi perkembangan yang akan mengeruhkan lagi keadaan serta menimbulkan pelbagai spekulasi ialah ura-ura akan tindakan menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Jika maklumat di-atas adalah benar serta sahih, apa maknanya? 

Apakah Najib sudah tidak lagi mempercayai Muhyiddin atau mungkinkah Muhyiddin sudah tidak yakin dengan Najib?

Apakah sudah bermula langkah drastik untuk memperkukuhkan kedudukan Najib dengan menyingkirkan Muhyiddin yang hangat diperkatakan sebagai individu paling layak menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bila Najib terpaksa berundur?

Sementara menunggu pengesahan/penafian atau pengumuman rasmi akan perkara yang disebut di-atas, marilah kita sama-sama mendengar serta mengambil iktibar dari nasihat ikhlas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.



Kata orang nasihat ini masih panas dan berhubungkait dengan kemelut kepimpinan dalam Umno. Saya tidak pasti, biarlah para pembaca sekalian yang membuat kesimpulan masing-masing.

Untuk makluman, Umno Negeri Sembilan mengadakan perjumpaan tertutup bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari yang lalu di Seremban.

p/s Ini bukan hasutan. Jika ada mana-mana maklumat dalam tulisan ini yang tidak tepat, sila perbetulkan. Jika tidak betul samasekali, sila nafikan. Jangan ada balaci yang melompat macam kera kena belacan. I stand to be corrected. TQ



Site Meter

Wednesday, 31 December 2014

BENCANA BANJIR - Tolong bantu tanpa 'politik'


Bencana alam yang sedang melanda sebahagian besar negara pada masa ini tidak ubah seperti bencana tsunami yang melanda Aceh sepuluh tahun lepas kecuali skala kemusnahan serta bilangan nyawa yang hilang. 

Keadaan di beberapa kawasan di Kelantan adalah teruk dan amat menyayat hati. Keadaan bertambah teruk apabila bantuan tidak sampai dalam kadar waktu yang munasabah. 

Mengapa dan kenapa bantuan tidak sampai dan alasan-alasan yang telah di-utarakan sebelum ini mungkin boleh diperhalusi dimasa depan agar kemampuan sebenar kerajaan tidak dipertikaikan. 

Sebagai langkah pertama, mungkin wajar jika kita mengenepikan fahaman politik demi anak-anak yang kelaparan susu, orang-orang tua yang kuyup kesejukan tanpa makanan dan minuman, ibu-ibu yg sarat mengandung, kanak-kanak yang tak ada pakaian serta keluarga yang telah hilang tempat berteduh. 

Adalah wajar jika kita berhenti bertanya atau menuding jari jika mangsa banjir disesuatu kawasan itu adalah orang dacing atau bulan. Kita lah sehina-hina mahkluk jika bantuan kepada mangsa banjir pun dihulur berdasarkan fahaman politik. 

Bencana yang melanda kita sekarang adalah peluang untuk merapatkan hubungan sesama manusia. Tidak kira kita Islam, Melayu, Pas, Umno, Kelantan, Perak, miskin atau kaya. Sedangkan binatang ternakan mangsa banjir pun telah mula diselamatkan, ini pula kita sesama manusia. 

Saya terpanggil untuk membuat coretan ini hasil pengamatan serta pengalaman peribadi ketika menghantar bekalan makanan, pakaian, minuman ke kawasan Gua Musang/Kuala Krai diKelantan dua hari yang lepas bersama pihak sukarelawan Masjid Saujana Utama, Sg Buloh.  

Video di-atas juga adalah hasil karya salah seorang sukarelawan MSU. Hanya Tuhan yang dapat membalas amal serta jasa mereka ini. 

Visual di-atas adalah BENAR. Ini bukan propaganda atau drama swasta. Begitulah keadaan sebenar di Kampung Manek Urai (Baru dan Lama), Lata Rek, kawasan Laloh dan kebanyakan kampung lain disekitar Kuala Krai. 

Sebagai manusia yang nyata mempunyai sifat perikemanusiaan, kita harus bangkit membantu sesama manusia tanpa mempersoalkan fahaman politik, agama, bangsa atau apa-apa kriteria lain. 

Dikala bencana sebegini, hentikanlah propaganda politik yang sarat dengan putar belit dan kebencian. 

Pemimpin, ahli dan penyokong parti-parti politik boleh memulakan langkah pertama dengan tidak menuding jari diantara satu sama lain. Dunia sedang perhatikan kita. 

Adalah amat diharapkan agar pemimpin-pemimpin politik dari kedua-dua pihak yang sering menyemai nilai-nilai murni dalam ucapan serta tazkirah mereka kepada umum, mampu duduk semeja untuk membantu rakyat dikala negara dilanda bencana banjir yang terburuk dalam sejarah. 

Hentikan juga penyebaran berita palsu, fitnah dan kebencian melalui facebook, blog, twitter, whatsapp dan sebagainya.

Daripada membazir masa dan tenaga mencipta fitnah serta menyediakan grafik untuk menghina, membenci dan menipu rakyat, baik kita sama-sama bangkit membantu mangsa banjir. 

Tinggalkan lah seketika sifat kenegerian yang negatif sehingga perbandingan berdasarkan khabar angin menimbulkan kebencian yang kadang-kadang tidak berasas samasekali.

Fikirkan lah!


Wallahu a’lam bish-shawabi