May 13, 2008. - (39 years later)
Ucapan sulung YB Dato’ Mukhriz Mahathir, MP Jerlun di Dewan Rakyat
Terima kasih Tan Sri Yang DiPertua kerana memberi saya julung2 kalinya peluang untuk saya membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Persidangan Penggal Pertama Parlimen Keduabelas.
Negara Perindustrian
Tan Sri Yang DiPertua, seperti yang kita sedari, di era serba mencabar dalam ekonomi dunia, negara mesti menarik minat pelabur langsung asing (FDI) untuk membuka kilang, mewujudkan industri-industri dan syarikat- syarikat yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan untuk pasaran global. Kita lihat kebelakangan ini, Malaysia tidak dilihat sebagai destinasi pelaburan utama bagi setiap pelabur yang meninjau rantau ini dalam usaha mencari lokasi untuk membuka bisnesnya.
Buat masa ini bukan sahaja negeri penduduk ramai seperti China, India dan Indonesia yang dapat menawarkan harga buruh yang murah, tapi kita lihat kemunculan Vietnam, Cambodia dan juga Laos mendapat FDI - yang lama kelamaan akan melebihi FDI yang datang ke Malaysia.
Malah, sekarang ini China dan India sudah menarik perhatian pelabur-pelabur yang memberi penekanan kepada keupayaan teknologi, dan bukan hanya kos buruh yang murah.
Bagi Malaysia yang berhubung rapat dengan dunia perdagangan dan perniagaan, sudah tentu kadar kemasukan FDI menjadi petanda survivabiliti negara.
Pada waktu yang sama, dalam usaha kita untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, sudah tentu kita perlu memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan bilangan industri industri besar dan juga IKS yang menjadi tulang belakang negara perindustrian. Soalnya, adakah industri-industri besar dan juga IKS Malaysia boleh diiktiraf sebagai bertaraf dunia? Untuk menjadi negara perindustrian sudah tentu kita perlu wujudkan syarikat syarikat perindustrian ala Sony, Hyundai, Acer dan sebagainya. Sudah tentu kita juga perlu lahirkan “industrialists” seperti Akio Morita, Chung Ju-Yung dan Stan Shih untuk menerajui syarikat syarikat ini. Soalnya, syarikat Malaysia yang manakah yang boleh kita bangga sebagai syarikat teknologi tinggi yang diri dan duduknya sama tinggi sama rendah dengan syarikat syarikat ternama didunia, dan siapakah industrialist Malaysia yang akan memacu negara kearah menjadi negara perindustrian?
Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin, pengasas Naza Motors yang telah meninggal dunia baru baru ini. Sebelum ini juga, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, pengasas DRB Hicom - juga seorang tokoh yang dilihat sebagai industrialist negara - telah meninggal dunia sebelum sempat membantu dalam usaha mengindustrikan negara.
Saya berharap Kerajaan akan terus dengan pendekatan Pensyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporated supaya jenama jenama Malaysia industri besar dapat menerokai pasaran dunia untuk produk dan perkhidmatan hasil usaha Malaysia - sekaligus merealisasikan aspirasi negara menjadi negara maju berindustri.
Kita mahu lihat GLC memainkan peranan yang lebih bermakna dalam usaha memacu negara kearah menjadi negara industri. Pada waktu yang sama, kita harap ruang dan peluang akan diberikan kepada mana mana usahawan pihak swasta untuk mengusahakan industri besar. Dalam penglibatan GLC dalam industri besar, biarlah ianya tidak bersaing dengan syarikat swasta yang mencebur diri dalam sektor industri yang sama. Ini adalah kerana perbelanjaan dan pelaburan yang diperlukan untuk industri besar ini punyai kos dan risiko yang tinggi. Sudah tentu merugikan negara sekiranya syarikat syarikat swasta ini berhadapan dengan saingan daripada GLC dalam sektor industri yang sama.
Kewujudan industri intensif buruh sudah tentu akan menyediakan banyak peluang kerja untuk anak-anak muda kita. Industri intensif kapital pula memerlukan tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi tercanggih.
China dan India makin hari makin berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya kreatif dan inovatif. Banyak produk dari negara maju yang dulunya direka bentuk di Barat dikeluarkan di kilang-kilang di India dan China. Kini kita lihat kerja kerja rekabentuk juga dilakukan oleh syarikat design di kedua India dan China. Nilai tambah yang disumbangkan oleh kedua negara ini mampu mengurangkan kos untuk syarikat induk di negara maju, sambil itu membuktikan bahawa syarikat India dan China juga mampu menyaingi Barat dalam fungsi mereka bentuk.
Dimana Malaysia dalam soal ini? Walaupun India dan China sudah kurang dilihat sebagai negara pengeluaran kos rendah, tetapi negara membangun yang lain telah mengambil alih tempat kedua negara tersebut. Indonesia, Vietnam dan Cambodia pula dilihat sebagai destinasi pelaburan terbaru yang menarik.
Mahu tak mahu, Malaysia tidak dapat elak daripada menarik pelabur yang lebih mementingkan kualiti produk dan tahap penguasaan teknologi tinggi daripada kos buruh yang rendah. Adakah tenaga kerja Malaysia bersedia untuk menerima kehadiran pelabur-pelabur seperti ini? Sudah tentu Dasar Pendidikan Negara memainkan peranan yang amat penting untuk merealisasikan matlamat ini.
Pendidikan
Tan Sri Yang Di Pertua, sambil kita membina modal insan seperti yang kerap kali diuar-uarkan oleh Kerajaan, kita juga perlu memastikan peluang kerja yang mencukupi untuk anak-anak muda kita termasuk graduan IPT tempatan dan juga yang menuntut di luar negara. Malangnya kita lihat kadar pengangguran yang masih membimbangkan. Atas sebab sebab tertentu, ramai juga graduan kita yang tidak berpeluang untuk mencari kerja yang menepati kelulusan mereka, dan ada juga yang masih menganggur.
Ramai graduan diluar negara pula mencari kerja dinegara tersebut. Ada juga bakat terbaik diantara anak muda kita yang diambil kerja diluar negara - ramai juga ke Singapura. Ada diantara mereka yang berpendapat bahawa gaji yang ditawar di Malaysia untuk kerja mengikut kelulusan mereka tidak memenuhi keperluan mereka, maka itulah sebabnya mereka berhijrah keluarnegara untuk cari nafkah.
Ini bermakna bahawa belanja yang banyak yang dikeluarkan oleh Kerajaan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak kita tidak membawa hasil seperti yang diharapkan kerana peluang kerja yang tidak mencukupi. Lebih merugikan lagi apabila bakat bakat terbaik antara mereka bekerja di luar negara, menetap di sana dan membayar cukai pendapatan di sana juga.
Kalau trend ini tidak dibendung, negara akan mengalami kerugian yang amat besar dan kesannya akan berpanjangan.
PPSMI
Tan Sri Yang Di Pertua, kita sering diberitahu bahawa ada diantara guru-guru di sekolah tidak mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang secukupnya untuk mereka menjayakan program Pengajaran, Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Apabila guru-guru ini dikehendaki menjalani Peperiksaan Tahap Profisiensi (atau PTP), kerap kali peperiksaan ini dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dan ianya menjadi satu bebanan kepada guru-guru. Oleh itu, guru guru ini tidak mempunyai tempoh waktu yang mencukupi untuk membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan ini. Supaya mendapat gambaran yang sebenarnya mengenai tahap penguasaan Bahasa Inggeris, saya cadangkan agar PTP ini diadakan sewaktu cuti penggal sekolah atau apabila guru-guru menghadiri kursus.Sekiranya diberi masa yang mencukupi,saya yakin tahap pencapaian guru-guru yang menduduki PTP ini akan lebih memuaskan.
Saya ingin ucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran kerana mewujudkan program Pedagogy Enhancement & Reinforcement of Learning Strategy atau PEARLS dimana guru guru Sains dan Matematik berkumpul dan berbincang mengenai pendekatan pendekatan yang terbukti membawa hasil yang diingini dalam menjayakan PPSMI. Program ini diterima baik oleh guru-guru tersebut, dan nampaknya memberangsangkan mereka untuk terus berusaha ke arah matlamat yang ditetapkan.
Membantu usahawan muda
Kebelakangan ini kita lihat begitu ramai belia yang memerlukan bantuan kewangan dalam bentuk modal untuk memulakan perniagaan kecil kecilan. Mereka tidak memerlukan wang yang banyak. Sekadar RM10,000 hingga RM20,000 pun memadai untuk perniagaan mereka. Tetapi kerana tidak dianggap “credit worthy”, mungkin kerana punyai hutang-hutang lain yang belum diselesaikan, atau kerana tidak ada aset yang boleh dicagarkan untuk pinjaman tersebut, maka bakal bakal usahawan muda ini tidak dapat membuat pinjaman dari institusi institusi kewangan atau dari agensi-agensi peminjam Kerajaan.
Olehitu, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana memansuhkan beberapa syarat untuk pinjaman dibawah Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB). Ini membolehkan lebih ramai belia menyertai bidang keusahawanan, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran dikalangan belia.
Untuk memastikan bahawa jumlah dana STEB sebanyak RM40 juta itu digunakan sepenuhnya bagi tujuan ini, saya cadangkan supaya pegawai Kementerian Belia & Sukan turun mencari usahawan usahawan kecil yang sudah berniaga seperti mereka yang mempunyai gerai makanan yang popular untuk ditawarkan pinjaman supaya dapat membantu meluaskan perniagaan yang mereka usahakan.
Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?
Tan Sri Yang Di Pertua, saya ingin menyentuh sedikit mengenai apa yang telah dikatakan oleh YB dari Gombak yang telah menyatakan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim adalah insan yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya tertanya-tanya mengenai tiga perkara yang telah dilaporkan dalam media asing tetapi tidak diberi liputan oleh media tempatan.
Yang pertama mengenai artikel dalam majalah TIME dalam edisinya bertajuk “The 2008 TIME 100”. Laporan mengenai Dato Seri Anwar ditulis oleh rakan karibnya, Paul Wolfowitz - bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat merangkap ketua strategist Perang Iraq untuk George W. Bush. Mengapa harus Dato Seri Anwar bersekongkol dengan pembunuh lebih 1 juta rakyat Iraq ini?
Yang keduanya mengenai artikel dalam akhbar Israel, iaitu Jerusalem Post, yang menggambarkan Dato Seri Anwar sebagai “Malaysia’s Future Prime Minister” seperti yang telah disebut oleh YB dari Gombak dalam dewan yang mulia ini. Adakah ini bukti bahawa Israel juga setuju Dato Seri Anwar menjadi perdana menteri Malaysia? Dan kalau setuju, mengapa?
Yang ketiganya ialah mengenai sebuah badan bukan kerajaan atau NGO yang bernama Foundation of the Future. NGO ini menerima dana sebanyak US$35juta dari Jabatan Negara atau State Department, kerajaan Amerika Syarikat, US$10 juta dari Bahrain dan US$11 juta dari lain lain sumber yang tidak diketahui. Pengerusi Foundation of the Future ialah tak lain tak bukan Dato Seri Anwar Ibrahim, insan yang dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia. Di NGO ini jugalah, Dato Seri Anwar mengambil kerja Shaha Riza, teman wanita Paul Wolfowitz yang telah mencetuskan kontroversi di Bank Dunia tempohari.
Soalnya, adakah Dato Seri Anwar Ibrahim yang terlibat secara langsung dalam organisasi yang diragui latarbelakangnya, dan berkawan rapat dengan pengikut fahaman Neo Conservative yang membunuh rakyat Islam di Iraq, Paul Wolfowitz, hendak kita benarkan mengambil alih kepimpinan negara tercinta ini?
Sudah tentu tidak! Selagi nyawa dikandung badan, UMNO tetap akan mempertahankan kedaulatan negara kita.
“Tsunami Politik”
Tan Sri Yang Di Pertua, apa yang berlaku didalam pilihanraya yang lepas sebenarnya memberikan hikmah dan pengajaran yang besar kepada UMNO. UMNO sudah mendengar dan memahami isihati rakyat, dan akan membuka satu lebaran yang baru. Sejarah UMNO telah membuktikan setiap kali ia jatuh ia akan bangun dengan lebih gagah dan perkasa. UMNO tidak akan berpeluk tubuh berdiam diri dan membuang masa.
Percayalah kami akan menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Setiap apa yang kami lakukan dan bakal lakukan pembangkang harus gusar dan gentar kerana perubahan dan kebangkitan semula UMNO sudah bermula. Ia akan mendatangkan seribu satu impak positif kepada semua pihak. Pihak pembangkang tidak perlu masuk campur atau menjaga tepi kain UMNO, kerana kami tahu bagaimana untuk mengurus dan menjaga parti yang kami cintai ini. Dan sesungguhnya tsunami politik akan berlaku di dalam pilihanraya yang akan datang - cumanya,pasa ketika itu pihak pembangkang pulalah yang akan dilanda badai tersebut.
Oleh itu, diatas dasar perjuangan agama, bangsa dan tanahair, saya ingin mengajak Ahli2 Yg Berhormat dari pihak pembangkang kembali ke pangkal jalan dan menyertai kami.
Tan Sri Yang DiPertua, oleh itu saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Apabila Perisik Barat Membela Mullah, Maulana Dan Ayatollah
-
*Sedikit sejarah permainan politik dan perisikan Barat (secret services) di
negara Islam.*
*1. MI6 Britain Dan Revolusi Ayatollah di Iran*
*Apabila r...
20 hours ago
No comments:
Post a Comment