Nampaknya selera semasa dalam negara adalah untuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan diRaja atau RCI (Royal Commission of Inquiry).
Sejajar dengan selera ini, mungkin masanya amat sesuai untuk mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat skandal rasuah Scorpene dan pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu.
Skandal Scorpene, terutamanya pembunuhan wanita Mongolia tersebut masih belum terjawab sepenuhnya.
Rasuah bernilai ratusan juta ringgit dalam urusniaga pembelian kapal selam Scorpene masih dalam siasatan pihak berkuasa di Perancis, walaupun terdapat pelbagai desakan dan lobi diplomatik supaya kes itu ditutup.
Badan bukan kerajaan dari Malaysia, SUARAM juga sedang mengikuti perkembangan kes ini dengan lebih dekat.
Individu-individu yang dinamakan dalam siasatan pihak Perancis termasuk orang-orang yang berstatus VIP dan VVIP dari Malaysia. Laporan media antarabangsa menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pun akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Mungkin pihak berkuasa dinegara kita mahu menunggu keputusan siasatan di Perancis sebelum mengambil apa-apa langkah siasatan disini atau membuka fail siasatan rasuah yang sudah berhabuk.
Walaupun demikian penubuhan suruhanjaya siasatan diraja untuk merungkai skandal rasuah dan pembunuhan ini penting kerana banyak persoalan yang masih belum terjawab.
Perbicaraan pembunuhan Altantuya membebaskan Abdul Razak Baginda (teman Altantuya dan pemegang saham terbesar dalam syarikat berkepentingan dalam pembelian Scorpene) dan menghukum dua anggota Polis yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia itu dan meletupkan mayatnya.
Seorang daripada dua anggota Polis itu telah berjaya melarikan diri ke Australia (ketika kes dalam proses rayuan) manakala seorang lagi masih merenguk dalam penjara.
Antara persoalan yang harus dirungkai menerusi Suruhanjaya Siasatan DiRaja adalah :-
1. Mengapa Altantuya dibunuh? Motif pembunuhan masih belum dikenalpasti sehingga hari ini.
2. Apa pertalian diantara Abdul Razak Baginda dan Altantuya dalam urusniaga pembelian kapal selam Scorpene?
3. Apakah hubungan sebenar antara Altantuya, Razak Baginda dan Najib Razak?
4. Bagaimana seorang individu yang telah dihukum gantung kerana membunuh boleh melarikan diri ke Australia ketika kes masih dalam proses rayuan. Ketika penuntut yang gagal membayar balik pinjaman PTPTN pun tidak dapat melepasi sempadan negara bagaimana Korporal Sirul Azhar Umar boleh terlepas sampai ke negara lain?
5. Siapa yang membantu, melindungi dan membiayai Sirul dan anak beliau di Australia ?
Bila ditubuhkan nanti banyak lagi soalan yang boleh dikemukakan pihak suruhanjaya siasatan diraja berdasarkan siasatan dan pemantauan yang dilakukan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa Perancis.
Mungkin pihak berkuasa Singapura juga boleh membantu siasatan suruhanjaya ini dengan mengemukakan bukti-bukti bergambar akan hubungan sebenar Altantuya dengan VVIP dari Malaysia, jika bukti itu masih wujud.
Anggota suruhanjaya siasatan diraja juga boleh diterbangkan ke Australia untuk mendapatkan kenyataan Sirul tanpa apa-apa bentuk gangguan.
Besar kemungkinan pihak SUARAM juga mempunyai maklumat yang masih belum didedahkan setakat ini.
p/s
Nak suruhanjaya sisatan khas untuk merungkai skandal artis digulung dalam tikar di SiRusa Inn Port Dickson? Rasanya tidak perlu tumpu pada skandal peribadi lagi. Kita cuba rungkaikan dulu skandal rasuah dan pembunuhan kejam Altantuya.






