Wednesday, 20 July 2016

PERINGATAN - Kenyataan Raja-Raja Melayu



KENYATAAN RAJA-RAJA MELAYU
Berikutan mesyuarat Pre-Council Raja-raja yang diadakan di Istana Negara pada hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengeluarkan kenyataan berikut:

1. Raja-raja Melayu amat prihatin terhadap rasa resah dan kebimbangan yang telah disembah maklum oleh rakyat menyentuh kritikan terhadap kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam melaksanakan amanah rakyat mentadbir negara. Budi bicara Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu telah dipohon untuk membantu menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara ketika ini.

2. Sesungguhnya Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni. Justeru itu, Raja-raja Melayu setelah berbincang bersama, merasa bertanggungjawab untuk mengeluarkan satu kenyataan berkaitan dengan persoalan dan kontroversi yang sedang melanda negara ketika ini, iaitu isu 1MDB. Raja-raja Melayu maklum bahawa Kerajaan pada ketika ini sedang melakukan siasatan. Baginda sekalian menegaskan perlunya pihak Kerajaan menyelesaikan dengan secepat mungkin penyiasatan yang sedang berjalan. Jika terbukti terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang, maka Kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha dan maksud siasatan tersebut mencapai kejayaan. 

3. Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan Kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran. Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan. Akibatnya rakyat percaya sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberikan impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia.

4. Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata yang dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

5. Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara. Demi memastikan Kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang. Untuk itu badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi Kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah ILAHI dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti. Pemimpin-pemimpin hendaklah senantiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan Negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

6. Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing. Raja-raja Melayu menzahirkan peringatan bahawa hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur. Oleh itu hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.

Dikeluarkan oleh
Dato Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 6 Oktober 2015.
Mohor besar Raja-Raja Melayu
Titah Raja-Raja Melayu di-atas dikeluarkan pada bulan Oktober tahun lepas. 

Apa tindakan pihak kerajaan serta pihak bertanggungjawab lain yang disebut dalam Titah Di-Raja?

Ada sesiapa yang ingkar dan derhaka kepada Raja-raja Melayu semata-mata untuk melindung dan menyelamatkan penyamun dan pengkhianat? 

Teringat akan Rukunegara yang kita hayati dahulu. 


BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
  • memelihara satu cara hidup demokratik;
  • mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
  • menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN;
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA;
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN;
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG;
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN


Kita masih berpegang kepada prinsip-prinsip Rukunegara ?

Maruah masih ada kan ?


X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X 

Laporan terkini the Wall Street Journal dari Amerika Syarikat -1.42ptg 20/7



U.S. Readies Push to Seize Assets Tied to Malaysian Fund 1MDB 

Authorities are expected to file civil lawsuits as soon as Wednesday 

By
BRADLEY HOPEJuly 20, 2016 12:00 a.m. ET


Federal prosecutors are poised to launch one of the largest asset seizures in U.S. history as they step up their investigation into billions of dollars siphoned away from a Malaysian government investment fund, according to people familiar with the matter.

WSJ 


WSJ: AS dijangka sita aset berkaitan 1MDB

Dari kiri: Anak Rosmah/anak tiri Najib, Jho Low dan Khadem Al Quabisi  
Kita sama-sama menanti jumlah serta bentuk aset yang akan disita oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat. 

Sementara kita menanti perkembangan dari New York jangan lupa menonton lawak jenaka yang akan pasti dipersembahkan oleh Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Nazri Aziz serta kenyataan-kenyataan penting dan rahsia dari Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.  


- Tamat

p/s 

Peguam Negara dan Ketua Polis Negara harap ingat akan titah Raja-Raja Melayu. Jangan derhaka! 



Thursday, 14 July 2016

Maruah siapa ditangan Jho Low ?

Terjumpa video ini yang dimuatnaik lebih kurang 10 bulan yang lalu, pada Sept 2, 2015. Persoalan yang diutarakan didalam rakaman ini amat jelas tetapi kita masih ternanti-nanti akan penjelasan dari pihak yang terlibat. 

Skandal derma dalam akaun peribadi dan 1MDB kini telah berkembang berlipat kali ganda dari setahun yang lalu. Jumlah wang yang disyaki hilang atau disonglap oleh orang-orang yang kita kenali juga telah bertambah mencecah puluhan billion ringgit.

Wayang kulit politik semakin rancak tetapi penjelasan akan perkara pokok masih belum ada. Siapa yang mencuri? 

Kenyataan-kenyataan lawak jenaka bersifat putar belit dari balaci politik yang berniat untuk mengelirukan bukan penjelasan yang ditunggu rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu yang begitu mementingkan maruah bangsa. 

Orang Melayu yang risau akan maruah dan harga diri bangsanya amat berharap agar pemimpin Melayu yang menghadapi siasatan antarabangsa berhubung tuduhan salahguna kuasa, pengubahan wang haram, pembohongan jenayah, mencuri, khianat dan beberapa kesalahan jenayah lain akan 'come clean' atau membersihkan diri dengan membiarkan dirinya disiasat dan diadili. 

Orang Melayu yang benar-benar risau akan maruah serta harga diri bangsanya pasti mengharapkan agar pemimpin MELAYU, yang menyebabkan tercemarnya nama Melayu, membersihkan namanya menerusi proses perundangan yang termaktub dibawah perlembagaan negara. 

Pemuda pemudi Melayu yang benar risau akan tercemarnya maruah bangsa dan negara yang pemerintahannya ditunjangi orang Melayu pasti gundah gulana dengan pelbagai siasatan antarabangsa yang amat memalukan. 

Pemuda pemudi Melayu yang berpendidikan dan bermaruah dengan jatidiri yang masih utuh tahu akan punca skandal 1MDB yang kini hangat diseluruh dunia.

Melayu yang celik, yang benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara dan tidak mudah disogok pasti sedar akan malapetaka yang dibawa Melayu yang bergelar pemimpin. Semakin ramai Melayu yang celik dan mereka ini tidak mudah diperbodohkan dengan slogan dan sentimen membuta tuli.

Walau segala bentuk media perdana dikongkong, pembesar dan ilmuan dikunci mulut, yang tidak rela bersubahat diugut dan diaibkan, Melayu yang celik tahu antara yang haq dan batil. 

Percubaan untuk mengelirukan rakyat, khususnya orang Melayu beragama Islam akan berterusan dengan hasutan membakar semangat bangsa dan penyalahgunaan agama demi kepentingan peribadi dan untuk melepaskan diri. Melayu yang celik tidak bodoh.

Pastinya pelbagai lagi helah akan muncul dengan alasan mempertahankan maruah bangsa dan kesucian agama namun umum mengetahui punca sebenar segala keruntuhan. 

Mungkin mereka yang terpekik melolong demi maruah harus berhenti sejenak dan berfikir dimana sebenarnya maruah mereka dan maruah individu yang mereka ingin pertahankan itu. 

Maruah siapa ditangan Jho Low?
p/s 

Sudah tiba masanya Raja-Raja Melayu, menerusi Majlis Raja-Raja, berdiri mempertahankan maruah rakyat dan negara ini daripada terus dihina didalam dan luar negara. Sebenarnya maruah rakyat dan negara adalah asas kepada maruah Raja-Raja Melayu kita. 

Dikala alim ulama pun diam seribu bahasa walau bukti nyata pengkhianatan dan kezaliman terpampang didepan mata, hanya Raja Raja Melayu boleh menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara ini. 

Inilah harapan rakyat kebanyakan. 

Daulat Tuanku.



Monday, 4 July 2016

ADUN JORAK (Johor) letak jawatan

Surat perletakan jawatan YB Datuk Dr Shahruddin Md Salleh Ahli Dewan Undangan Negeri Jorak (Parlimen Pagoh) sebagai Naib Ketua Umno Bahagin Pagoh berkuat Kuasa serta merta.

Difahamkan Umno Bahagian Pagoh menolak perletakan jawatan ini namun YB Dr Shahruddin tetap dengan pendirian beliau dengan alasan seperti yang tertera dibawah. 

As salam

Saya amat menyanjung hasrat sahabat2 semua TETAPI saya sudah mempunyai proriti yg patut saya utamakan sekarang; iaitu masa tumpuan utk membaca, menulis dan mempelajari bahasa arab Al Quraan dan menghafal ayat2 Al Quraan; ianya memerlukan tumpuan masa dan kesungguhan,..

Harap sahabat2 dapat mendoakan saya utk terus istiqamah sambil menyempurnakan tugas sebagai ADUN hingga tempoh PRU akan datang,

Kepada Allah jua kita mohonkan doa dan ampunan dalam bulan Ramadhan Kareem
al Mubarak ini,,.

Ameeen. 

YB Dr Shahruddin Md Salleh




Wednesday, 29 June 2016

UMNO - Najib KOYAK diSemporna


Saksikan video yang dirakam ketika himpunan pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Semporna. Kita tahu sebelum ini bahawa dalam himpunan ini Umno Semporna ditalkinkan oleh ahli dan pimpinan bahagian yang sudah tidak percaya lagi kepada Najib Razak.

Sebenarnya Najib sudah koyak di Semporna. Saksikan video di-atas sekali lagi.

Rupanya orang Semporna lah yang benar-benar bersemangat pahlawan dan keberanian mereka menongkah arus seharusnya menjadi teladan kepada ramai (terutamanya ahli, pemimpin serta penyokong) yang masih berpeluk tubuh walau parti, kerajaan dan negara mereka sedang dirogol oleh penyamun dan kuncu-kuncunya. 

Siapa lagi yang berani kerana benar, seperti Semporna?


p/s Satu lagi himpunan besar-besaran di Istana Johor ?




Tuesday, 28 June 2016

UMNO bunuh diri ?

Sepatutnya rombakan kabinet yang diumumkan oleh Najib Razak semalam menjadi berita utama tetapi kemelut dalaman Barisan Nasional, khususnya Umno, lebih menonjol dan meledak menjadi berita utama. 

Barisan Nasional Sarawak menerima tamparan hebat dalam rombakan kabinet kali ini kerana satu jawatan menteri dirampas dari BN Sarawak yang masih meraikan kemenangan besar dalam pilihanraya negeri baru-baru ini. 

Cara Najib Razak menghargai sumbangan BN Sarawak adalah agak pelik dan sukar difahami umum, terutamanya pemimpin dan rakyat Sarawak yang bertungkus lumus memenangkan BN.

Perdana Menteri yang diselubungi skandal 1MDB dan salahlaku jenayah pula menerima tamparan apabila Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah 'berundur' dari kabinet. 

Husni yang memegang beberapa jawatan tinggi dalam Umno dan BN juga turut meletakkan semua jawatan parti dan BN dengan serta merta menerusi kenyataan ringkas yang dikeluarkan setiausaha politik beliau sejurus selepas Najib mengumumkan rombakan kabinet.
Kenyataan Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin, Mantan Setiausaha Politik Menteri Kewangan II, Dato' Seri Husni Hanadzlah.

Dato' Seri Husni Hanadzlah mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Malaysia, Bendahari Agung Barisan Nasional, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO  Negeri Perak, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Tambun.

Sekian.

27 Jun 2016

Laporan berita - Sinar Harian 

Kenapa seorang pemimpin yang begitu lama berkhidmat didalam parti dan kerajaan bertindak meletakkan semua jawatan yang disandang dalam masa kurang 60 minit selepas pengumuman rombakan kabinet?

Seperti lazim dalam budaya politik kotor masakini sudah terdapat cubaan untuk memperlekeh dan memperkecilkan khidmat Husni  sebagai Menteri Kewangan II namun retak sebenar dan cerita disebalik tabir mengapa beliau 'berundur' juga telah mula keluar. 

Sebenarnya kenapa Husni 'berundur' ? Persoalan ini akan terjawab dalam jangkamasa terdekat.  

Sedang penyingkiran Husni menjadi topik hangat Umno Najib menerima satu lagi tamparan hebat dari Semporna, Sabah. 





Pengerusi Tetap Umno Bahagian Semporna bersama seluruh Jawatankuasa Bahagian, bersama-sama TIGA RATUS Ketua Cawangan didalam bahagian Semporna bertindak meletakkan jawatan dan keluar dari Umno beramai-ramai dalam satu majlis ringkas. 

Umno Semporna telah terbubar dengan sendirinya apabila seluruh ahli jawatankuasa bertindak keluar parti.

Majlis letak jawatan dan keluar ramai-ramai Umno Semporna itu adalah ekoran kehilangan kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Umno yang diterajui Najib Razak. 

Menurut seorang (bekas) pemimpin kanan bahagian Semporna perletakan jawatan dan tindakan keluar Umno semalam hanya langkah permulaan. 

"Bila Majlis Tertinggi bertindak kuku besi tidak mahu mengikut peraturan dan perlembagaan maka kami tiada pilihan. Orang Semporna ada maruah bukan seperti Najib dan kuncu-kuncunya disana. Selepas ini beribu ahli Umno disini akan ikut serta".

"Kami sudah tidak percaya pada presiden dan majlis tertinggi. Umno ini sudah jadi serupa syarikat persendirian milik individu tertentu. Ahli Umno tidak boleh berdiam diri," tambah pemimpin muda itu. 

Tindakan drastik pimpinan Umno Semporna ini tercetus dengan penggantungan keahlian ketua bahagian mereka Datuk Seri Shafie Afdal yang juga Naib Presiden Umno. Shafie juga adalah antara individu yang bertanggungjawab membawa Umno ke Sabah pada tahun 1990. 

Manakala Shafie digantung keahlian, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Mentri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir telah dipecat terus dari Umno tanpa dipanggil untuk membela diri. 

Muhyiddin dan Mukhriz telah menyatakan bahawa Majlis Tertinggi telah membelakangkan perlembagaan parti kerana gagal mematuhi proses pemecatan yang termaktub didalam perlembagaan Umno.

Siapa pula yang akan Umno gantung selepas ini?


p/s Husni adalah ketua bahagian Umno Tambun (Perak) yang seharusnya mengenali 1MDB secara lebih dekat dan mendalam. 



Saturday, 25 June 2016

Kepada Allah saya berserah - Muhyiddin Yassin


KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya. 

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara. 

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba. 

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini. 

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah s.w.t terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
25 Jun 2016

Umno Pagoh tolak Najib

Datuk Seri Najib Razak yang harus ditendang keluar dari Umno kerana merosakkan parti keramat itu, bukannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Secara kesimpulan itu pendapat Umno Bahagian Pagoh yang bersidang hari ini. 

Umno Pagoh juga telah membuat pendirian berdiri teguh dibelakang Muhyiddin Yassin dan menolak keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk memecat Timbalan Presiden Umno itu dari parti kerana tindakan MT tidak mengikut perlembagaan dan peruntukan dalam parti.

Umno Pagoh juga sekali lagi memperingatkan pimpinan pusat bahawa yang melakukan salahlaku dan jenayah yang amat memalukan parti, kerajaan, negara dan rakyat adalah presiden parti dan bukannya pemimpin/ahli lain.

Yang jelas Umno Pagoh memberi amaran - Biar apapun berlaku, UMNO Pagoh akan terus padu kerana kami sayang UMNO Johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor.

Berikut adalah kenyataan penuh Umno Bahagian Pagoh dari Pekembar bertarikh 25 Jun 2016. 


KENYATAAN MEDIA
UMNO BAHAGIAN PAGOH

UMNO Bahagian Pagoh yang bermesyuarat pada hari ini 25 Jun 2016 yang dipengerusikan oleh YB. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh memutuskan 
MENOLAK keputusan MT memecat YB. Tan Sri Muhyiddin berdasarkan perkara berikut :-

1.  Tidak mengikut prosedur yang sepatutnya mengikut saluran yang berperingkat  seperti yang termaktub dalam perlembagaan Parti (Fasal 20 Disiplin). MKT dan Perlembagaan UMNO disalahguna oleh Presiden dan mengenepikan amalan demokrasi dalam UMNO. YB Tan Sri Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak awal penggantungannya.

2. Tan Sri Muhyiddin telah dipilih Timbalan Presiden UMNO dan  Ketua UMNO Bahagian Pagoh  oleh ahli Parti seluruh Negara makanya tindakan MT telah mengkhianati ahli UMNO. YB. Tan Sri Muhyiddin tidak diberi peluang dan dinafikan hak untuk berucap dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Parti. Oleh yang demikian, beliau terpaksa menggunakan pentas NGO untuk pejuangan ini. 

3. YB. Tan Sri menyatakan masalah salah laku / jenayah yang dilakukan oleh Presiden berdasarkan daripada laporan yang berintegriti daripada Agensi Kerajaan seperti bekas Peguam Negara, Bekas Gabenor Bank Negara dan SPRM. Isu ini masih terus didedahkan di peringkat Antarabangsa dan tiada penghujungnya. Laporan PAC selari dengan apa yang disuarakan oleh YB Tan Sri Muhyiddin seperti membubarkan Lembaga Penasihat 1MDB dan sebagainya.

4. YB. Tan Sri menegur Presiden adalah untuk memperkukuhkan Parti bukan untuk kepentingan peribadi.Beliau mengambil tanggungjawab mempertahankan Parti dan imej negara . Beliau tidak pernah memburukkan parti dan bertindak untuk memastikan parti diperkasakan.

5. Sebahagian besar UMNO Cawangan dalam Pagoh ( 103 cawangan daripada 106 Cawangan ) telah melahirkan rasa kekecewaan terhadap Presiden Parti yang bertindak merosakan parti terutamanya isu 2.6b dan 1MDB. Sebahagian besar menyokong Tan Sri Muhyiddin dan memutuskan Presiden Parti berundur .

6. Tindakan MT memecat YB Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puashati kepada Ahli UMNO Bahagian Pagoh dan merosakkan perpaduan serta keutuhan yang selama ini menjadi kekuatan UMNO Bahagian Pagoh. Pemecatan ini berlaku di bulan Ramadan dan kita merasai sepatutnya pemimpin mewujudkan perpaduan dikalangan ahli parti.

7. UMNO Bahagian Pagoh merasakan bangga dengan perjuangan YB. Tan Sri Muhyiddin dalam menegakkan kebenaran dan terus istiqamah dalam perjuangannya. 

UMNO Pagoh akan terus berdiri teguh bersama YB. Tan Sri Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin dalam perjuangannya dalam menegakkan kebenaran.
Biar apapun berlaku, UMNO Pagoh akan terus padu kerana kami sayang UMNO Johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor.

Berani Kerana Benar