Ada yang mengatakan bahawa perkara paling ditakuti pemimpin kuku besi adalah kesatuan rakyat. Keadaan dimana sebahagian besar, jika tidak keseluruhan, rakyat bersatu menentang kezaliman.
Harap ketakutan sebegini bukan sebab mengapa pihak berkuasa begitu risau apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia selesa dengan singkatan BERSATU. Yang pasti rakyat selesa bersatu dan hidup rukun damai bebas dari sengketa perkauman dan agama.
Tidak mungkin rakyat di bumi Malaysia yang kita kenali ini menyokong golongan pelampau yang sanggup melakukan apa saja demi wang ringgit, jawatan dan pelbagai habuan lain. Tidak mungkin majoriti rakyat kita tidak bermoral. Tidak mungkin sebahagian besar rakyat negara kita boleh ditakutkan dengan ugutan jenayah dan aksi ganas samseng jalanan. Samseng akan hilang bila rakyat bersatu.
Rakyat kebanyakan mendukung kebenaran dan tidak boleh diperdaya menerusi media arus perdana yang sudah hilang kedudukan moral dan kepercayaan umum. Syarikat media yang menjadi (atau dijadikan) alat propaganda pembohongan sudah mula gulung tikar. Ini bukan andaian. Tepuk dada tanya selera. Ada syarikat media yang sudah mula menjual hartanah dan menutup kilang.
Propaganda pembohongan menerusi media sosial juga tidak kemana. Jika setahun dahulu masih ada yang cuba menegakkan benang yang basah dalam isu skandal 1MDB kini sudah tidak ada yang berani berhujah. Segala pembohongan mereka menerusi propaganda terancang yang menelan jutaan ringgit hancur berkecai apabila Jabatan Keadilan US mengeluarkan laporan siasatan mereka.
Bila ada menteri mengakui bahawa Malaysian Official 1 itu adalah Perdana Menteri Malaysia maka tidak ada lagi yang keruh. Kita tahu siapa pengkhianat yang mencuri itu.
Kini penulis upahan serta pencacai sedar bahawa mereka sebenarnya cuba melindungi perbuatan jenayah pengkhianatan paling jijik dalam sejarah negara ini. Kalau pun tidak semua pasti yang berakal itu tahu membezakan antara yang benar dan yang bathil. Mungkin nafsu, harga diri dan kepentingan peribadi mereka melintangi susur pulang ke pangkal jalan. Ini nasib mereka.
Bila sudah tersepit maka tugas utama pencacai upahan adalah melancarkan fitnah dan pembohongan berbentuk serangan peribadi. Bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memiliki berbillion ringgit dalam akaun peribadi beliau? Ini tidak dijawab tetapi orang lain diserang dengan pelbagai fitnah untuk mengelirukan pandangan rakyat.
Yang pasti cerita derma Putera Arab yang kemudiannya bertukar menjadi Raja Arab sudah tidak boleh diterimapakai selepas pembongkaran Jabatan Keadilan US.
Masalah yang diperjuangkan rakyat kini bukan percaturan politik. Ianya bukan sekadar perlawanan politik didalam atau diluar mana-mana parti. Masalahnya bukan perebutan kuasa didalam Umno atau untuk jawatan perdana menteri. Masalah yang kita hadapi adalah jauh lebih besar dari politik.
Politik hanya digunakan dalam percubaan untuk melepaskan diri dari jenayah yang mungkin menerima hukuman gantung sampai mati dikebanyakan negara dalam dunia. Kuasa politik disalahguna demi kepentingan golongan kecil pengkhianat negara yang berleluasa seperti samseng jalanan. Jenayah berselindung disebalik politik.
Rakyat tahu dan peduli akan keadaan ini?
Perbincangan dan debat umum perkumpulan ramai, media sosial serta forum khusus lain jelas menunjukkan kadar kerisauan yang tinggi akan keadaan semasa negara.
Tafsiran perbincangan dan perkongsian dalam pelbagai kumpulan Whatsapp/Telegram pastinya memberikan petunjuk jelas.
Kadar tidak puas hati dalam setiap chat-group media sosial, jika dikumpul, mungkin mampu menghasilkan ledakan Hiroshima. Sayang, perasaan dan pandangan sekuat manapun tidak boleh mengubah apa-apa tanpa tindakan.
Tindakan awal yang boleh diambil oleh setiap rakyat Malaysia adalah untuk bersatu. Jangan hanya pandai mendesak tetapi tidak mampu berkorban demi kesatuan rakyat.
Kesatuan rakyat terletak ditangan kita sendiri dan bukannya budibicara mutlak parti politik. Rakyat harus menolak parti politik yang enggan bersatu untuk menyelamatkan negara.
Parti-parti politik yang kini tergolong sebagai 'pembangkang' mesti ikhlas dalam memberi tumpuan kepada persamaan diantara mereka dan bukan bercakaran mempertahankan perbezaan. Persetujuan dalam perjuangan menyelamatkan negara adalah jauh lebih bermakna dari apapun perbezaan yang wujud.
Sering kedengaran rungutan umum bahawa parti politik pembangkang tidak bersatu. Bagaimana mereka mungkin bersatu jika kepentingan peribadi dan kumpulan sendiri mengatasi kepentingan lain?
Rakyat juga harus memainkan peranan jika kita benar-benar ingin bersatu demi untuk menyelamatkan Malaysia. Selagi mana Perlembagaan Persekutuan itu menjadi dukungan utama selagi itu percakaran agama, bangsa atau pertembungan ideologi tidak harus wujud.
Satu-satunya kuasa yang masih ada adalah kuasa yang akan dizahirkan apabila rakyat benar-benar bersatu.
#selamatkanMalaysia
Tidak salah kita mengambil yang baik dan menolak yang haram, tidak kira dari mana datangnya. Jangan terlepas kod masa '9:50' dalam ucapan diatas.
Kuat lilit kerana simpulnya, kuat Malaysia kerana rakyatnya.
p/s
Singapura, katanya, menyimpan hasil siasatan jenayah pemimpin Malaysia.