Tuesday 28 July 2015

ABIM - Kenyataan Media JPM Cabuli Etika Perkhidmatan Awam

Merujuk kepada kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri bertarikh 27 Julai 2015, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan kekesalan yang mendalam.

Kekesalan ini adalah berdasarkan kenyataan dari perenggan ke 3 hingga ke 6 yang jelas menyamakan Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Presiden UMNO. Perkara ini sewajarnya tidak berlaku kerana ia jelas mencabuli etika dan profesionalisme kakitangan awam.

Hak bagi jawatan Perdana Menteri bukanlah hak mutlak Presiden UMNO. Presiden UMNO tidak semestinya Perdana Menteri selama-lamanya. Ia bergantung kepada pilihan rakyat menerusi sistem demokrasi pilihanraya yang diamalkan dalam pemerintahan negara.

Kenyataan akhbar tersebut jelas bertentangan dengan tataetika perkhidmatan awam sepertimana yang dipertegaskan dalam perenggan 3 dan 4 pekeliling yang diedarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 30 Jun 2011. Perkeliling tersebut dengan jelas bertujuan untuk mempertahankan prinsip 'neutrality' dan'impartiality perkhidmatan awam terhadap mana-mana pihak, kumpulan termasuk gerakan, fahaman dan parti.

Kegagalan membezakan antara parti dan kerajaan mendorong kepada pelbagai kesalahan dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan. Tidak mustahil jika satu kenyataan akhbar yang sepatutnya mewakili Perdana Menteri pun tidak boleh dibezakan apatah lagi dengan kemudahan lain termasuklah kewangan.

Kesimpulannya, jika maksud kenyataan akhbar tersebut adalah untuk memelihara keyakinan orang awam jelas ia tidak mencapai maksudnya. Ia semakin memualkan dan semakin menghakis keyakinan orang ramai terhadap tatakelola dan profesionalisme kerajaan dalam menguruskan hal ehwal rakyat. Kejengkelan rakyat terus membuak-buak melihat kelemahan tata urus terutamanya tatkala membicarakan skandal 1MDB

Amidi Abd Manan, Presiden ABIM

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dirujuk



No comments: